Tag: Rohana Abdullah

  • Dokumen sokongan diperlukan untuk bantu Rohana – Hamzah

    Dokumen sokongan diperlukan untuk bantu Rohana – Hamzah

    SIASATAN menyeluruh akan dilakukan sebelum dokumen identiti diberikan kepada Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu, selepas ibunya pulang ke Indonesia, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, dokumen sokongan tertentu turut diperlukan bagi membolehkan isu berkenaan diselesaikan.

    “Nak beri seseorang kewarganegaraan mesti ada dokumen diperlukan…banyak lagi yang ada (kes) seperti ini di Sabah dan Sarawak malah di seluruh negara dan ia melibatkan angka yang agak besar.

    “Saya difahamkan bapa kepada Rohana adalah warganegara, sebab itu kalau ada dokumen yang membuktikannya mudah untuk kami berikan (dokumen identiti). Jadi ini suatu tanggungjawab yang diberikan kepada saya dan akan dilakukan dengan sebaik mungkin.

    “Isu (dokumen identiti) berkenaan juga saya lihat sebagai antara agenda kementerian untuk tahun ini bagi mengurangkan bilangan mereka yang menghadapi masalah sebegini,” katanya ketika ditanya mengenai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membantu Rohana menerusi video yang dikongsi di laman sosial semalam.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur, di Kuantan hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

    Media sebelum ini melaporkan Rohana, 22, ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan dijaga selama hampir 20 tahun oleh seorang wanita, Chee Hoi Lan, 83, yang merupakan guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

    Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat daripada masalah yang dihadapinya.

    Sementara itu, Hamzah memaklumkan pihaknya telah menempah 50 bot pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM3.05 juta yang sesuai diatur gerak ketika banjir, yang tujuh daripada bot berkenaan telah diserahkan untuk kegunaan di negeri Pantai Timur hari ini.

    Katanya, kesemua tujuh bot buatan Belanda itu diperbuat daripada bahan High Density Polyethylene (HDPR) yang tahan lasak bernilai RM267,000 terdiri daripada pelbagai kapasiti penumpang.

    “Saya dimaklumkan baki bot-bot pelbagai saiz dan jenis berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh 10 minggu lagi,” katanya. – BERNAMA

  • Ismail Sabri beri komitmen bantu Rohana Abdullah

    Ismail Sabri beri komitmen bantu Rohana Abdullah

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan komitmen untuk membantu Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika di sini, 22 tahun lalu selepas ibunya pulang ke Indonesia.

    Perkara itu dinyatakan Ismail Sabri menerusi satu video yang dikongsi di laman sosial Setiausaha Akhbarnya, Asyraf Afnan Ahmad Murtadza.

    Menerusi perkongsian itu, Perdana Menteri yang dilihat berada dalam kenderaan telah menghubungi sendiri Rohana bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kesulitan yang dihadapi gadis berkenaan.

    Ismail Sabri berkata, beliau mengetahui mengenai kesulitan yang dialami Rohana selepas membaca mengenainya di akhbar.

    Perdana Menteri berkata, pihaknya akan menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara bagi membantu urusan dokumentasi Rohana bagi membolehkan dokumen identiti diberikan kepadanya.

    “Kalau ada apa-apa (perkembangan) nanti, pegawai saya akan hubungi awak,” kata Perdana Menteri menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 5 saat itu.

    Rohana juga didengar mengucapkan terima kasih dan berharap Perdana Menteri dapat membantunya.

    Media sebelum ini melaporkan Rohana, 22, ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan dijaga selama hampir 20 tahun oleh seorang wanita, Chee Hoi Lan, 83, yang merupakan guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

    Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat daripada masalah yang dihadapinya.

    Dalam pada itu, menerusi catatan di laman Facebooknya, Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada Chee yang menjaga Rohana dengan penuh kasih sayang.

    Beliau berkata Rohana dibesarkan dengan baik dan mendapat didikan agama Islam walaupun berbeza agama dengan ibu angkatnya.

    “Insya-Allah demi masa depan Rohana, saya akan bantu beliau mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

    Buat Chee Hoi Lan, terima kasih…salam hormat jua dari saya kerana menjaga Rohana dengan penuh kasih sayang tanpa sempadan,” katanya. – BERNAMA

  • Hamzah tersentuh kisah Rohana hidup 22 tahun tanpa kewarganegaraan

    Hamzah tersentuh kisah Rohana hidup 22 tahun tanpa kewarganegaraan

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tersentuh dengan kisah Rohana Abdullah yang ditinggalkan ibunya ketika berumur dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu.

    Beliau juga telah mengarakan pegawainya untuk menyiasat kesahihan maklumat dalam kes tersebut terlebih dahulu.

    “Saya berasa tersentuh apabila dimaklumkan berhubung perkara ini pada minggu lalu dan telah mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Rohana dibesarkan oleh seorang guru tadika, Chee Hoi Lan, 83, selepas ibunya pulang ke Indonesia pada 1999.

    Ibu Rohana yang berkahwin dengan seorang lelaki tempatan bekerja sebagai kakitangan pembersihaan di tadika berkenaan.

    Hoi Lan seterusnya membesarkan Rohana mengikut cara hidup Islam sejak 22 tahun lalu namun gadis itu masih belum beroleh dokumen untuk mengesahkan taraf kewarganegaraannya.

    Hoi Lan berkata, dia berusaha menyediakan segala keperluan Rohana seperti menghantarnya ke Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), mempelajari perkara asas Islam dan memastikan makanannya halal serta melakukan ibadat sebagai seorang Islam.

    Dia yang tidak berkahwin, meluahkan rasa kasihnya terhadap Rohana dan lega kerana dapat membesarkan gadis itu sebagai seorang Islam, namun dia berharap dapat melihat Rohana berkahwin sebelum ajalnya.

    Bagaimanapun, ekoran situasi dirinya, Rohana berdepan masalah mendapatkan status kewarganegaraan.

    Dia telah memohon taraf kewarganegaraan pada 2016 namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas.