Tag: Rogol remaja

  • Polis jamin siasatan telus, adil kes inspektor didakwa rogol remaja 16 tahun

    Polis jamin siasatan telus, adil kes inspektor didakwa rogol remaja 16 tahun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SIASATAN terhadap inspektor polis berusia 30 tahun yang didakwa merogol remaja perempuan berumur 16 tahun di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan minggu lalu, kini dijalankan oleh pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan siasatan tersebut dijalankan secara telus, adil dan saksama.

    Selain itu katanya, kertas siasatan berhubung kes tersebut akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri Kedah dengan kadar segera agar penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan walaupun dia merupakan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), tanpa kompromi.

    ” Suspek telah ditahan dan direman untuk tujuan siasatan hingga esok. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, suspek boleh dipenjara hingga 20 tahun dan disebat.

    “Pihak polis sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab seagai agensi penguatkuasa utama negara. PDRM Kedah memberi jaminan bahawasa siasatan yang telus, adil dan saksama akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam, kredibiliti polis serta mengganggu siasatan dijalankan.

    “Orang ramai juga disarankan memberi kerjasama serta membantu PDRM membanteras perlakuan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

  • Rogol remaja, gantung mayat mangsa di pokok

    Rogol remaja, gantung mayat mangsa di pokok

    SERAMAI enam lelaki ditahan polis India kelmarin kerana dituduh melakukan jenayah rogol beramai-ramai dan membunuh dua beradik perempuan yang mayatnya ditemukan tergantung pada pokok di luar kampung mereka, sehingga mencetuskan protes.

    Mangsa berusia 15 dan 17 tahun itu adalah daripada komuniti Dalit, etnik terendah dalam sistem kasta Hindu, yang kerap mengalami tahap keganasan seksual di negara mempunyai kadar jenayah terhadap wanita itu.

    Ketua polis tempatan, Sanjiv Suman berkata, semalam, suspek memikat mangsa ke padang di mana mereka menyerang mereka secara seksual dan kemudian membunuh gadis berkenaan dengan selendang mangsa.

    Berpuluh-puluh penduduk tempatan termasuk keluarga remaja terbabit mengadakan protes jalanan berhampiran kampung mereka di negeri utara Uttar Pradesh, bagi menuntut hukuman terhadap tertuduh.

    Seorang suspek utama, yang adalah jiran remaja perempuan itu sudah pun ditahan selepas pertempuran dengan polis yang menyebabkan dia ditembak di kaki, menurut Harian Metro yang memetik laporan AFP.

    Laporan bedah siasat mengesahkan serangan seksual dan sesak nafas sebagai punca kematian, kata Sanjiv.

    Hampir 32,000 kes rogol dilaporkan di India pada 2021, menurut angka kerajaan, tetapi lebih banyak lagi dianggap tidak dilaporkan.

    Tahun lalu, pihak berkuasa Uttar Pradesh segera melakukan bedah siasat ke atas mangsa rogol Dalit yang dibunuh oleh seorang lelaki Hindu turut menyebabkan kemarahan yang meluas.

    Insiden terbaharu, mengimbau kepada kes rogol dan pembunuhan dua sepupu berusia 14 dan 15 tahun daripada komuniti Dalit pada 2014 di negeri sama, yang mencetuskan kekecohan.

    Gadis-gadis itu ditemukan tergantung pada pokok mangga dan polis pada mulanya menuduh lelaki kasta atas tempatan melakukan serangan seksual dan membunuh mereka tetapi siasatan polis tidak berjalan dengan lancar dan tiada siapa yang disabitkan kesalahan.