Tag: Rogol Anak Tiri

  • Pencuci kereta didakwa rogol, liwat anak tiri usia 7 tahun

    Pencuci kereta didakwa rogol, liwat anak tiri usia 7 tahun

    SEORANG pencuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak perempuan tirinya yang berusia tujuh tahun, Februari lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, lelaki berusia 26 tahun dari Segari, Manjung membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anak tiri di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 7, Segari, Manjung, Februari lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan tidak kurang dari 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat mangsa sama di lokasi dan tarikh yang sama.

    Sabit kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan hendaklah dihukum dengan sebatan.

    Dalam prosiding sama, tertuduh bersama isterinya berusia 30 tahun yang mengandung 10 minggu turut didakwa atas pertuduhan mengabaikan mangsa, Januari lalu.

    Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu.

    Mengikut kertas pertuduhan, pasangan terbabit didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian badan pada Januari lalu di lokasi sama.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Evangelin tidak menawarkan sebarang jaminan diberikan atas alasan tertuduh yang merupakan bapa tiri dan ibu kandung mangsa selain tidak mempunyai alamat tempat tinggal tetap.

    Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan dan laporan perubatan penuh mangsa.

    Sinar Harian pada 18 April lalu melaporkan penemuan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dalam keadaan tidak terurus di tepi jalan Batu 7 Segari, Manjung membongkar satu kejadian dera dan rogol.

    Hasil pemeriksaan dilakukan pihak perubatan mendapati, mangsa dipercayai telah dirogol dan didera berdasarkan kesan kecederaan lama dan baru pada tubuh mangsa.

    Berdasarkan laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah membuat tangkapan ke atas ibu kandung dan dua bapa tiri mangsa disyaki terlibat dalam kejadian itu.

  • Rogol anak tiri: Lelaki berdepan hukuman penjara maksimum 830 tahun

    Rogol anak tiri: Lelaki berdepan hukuman penjara maksimum 830 tahun

    SEORANG lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual dan menggunakan objek bagi tujuan seksual terhadap anak tirinya sejak tiga tahun lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, tertudug berusia 36 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu fakta lengkap hukuman.

    Tertuduh yang berdepan hukuman sebatan serta penjara maksimum 830 tahun bagi kesemua pertuduhan tidak dibenarkan diikat jamin bagi tujuan melindungi mangsa dan memastikan kehadirannnya di MAHKAMAH.

    Dalam kedua-dua prosiding, tertuduh yang bekerja sebagai pengajar kelas renang mengaku bersalah atas semua 32 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

    Tertuduh turut mengaku salah melakukan 12 perbuatan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek di bawah Seksyen 377 CA KK.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap seorang remaja perempuan yang kini berusia 16 tahun antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023 lalu di sebuah rumah di sini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim dan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari.

    Sepanjang prosiding, tertuduh yang berambut panjang hanya tunduk dan mengaku bersalah bagi semua pertuduhan serta tidak mengemukakan sebarang rayuan hukuman ringan.

    Dalam pada itu Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan manakala Seksyen 376 (2) pula penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan.

    Bagi Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 pula boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

    Bagi setiap kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula mengikut Seksyen 377CA Kanun KK boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    Sinar Harian pada 9 April lalu menyiarkan sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan.

    Pasangan itu ditahan polis setiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 kira-kira jam 9.30 malam Sabtu lalu.

    Penahanan dibuat selepas mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang membuat laporan menjadi mangsa rogol bapa tirinya itu.

    Ibu mangsa yang merupakan isteri suspek turut ditahan kerana dipercayai mengetahui perbuatan suaminya.