Tag: RMT

  • Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan RM150, diberi kepada semua murid

    Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan RM150, diberi kepada semua murid

    KERAJAAN menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 dan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya pada tahun hadapan.

    Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan itu akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah.

    “Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450,” katanya.

    Beliau berkata peruntukan yang disediakan untuk BAP ialah RM825 juta pada 2023, jauh melebihi peruntukan tahun ini iaitu RM450 juta.

     Tengku Zafrul menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar sebanyak RM55.6 bilion dalam belanjawan Persekutuan pada 2023 berbanding RM52.6 bilion tahun ini.

    Selain itu, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung manakala RM4 berbanding RM3 sebelum ini bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang berkuat kuasa pada bulan ini.

    Katanya, RM777 juta yang disediakan itu akan memberi manfaat kepada lebih 800,000 murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan.

    Tengku Zafrul turut mengumumkan RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah dengan RM1.1 bilion daripada jumlah itu disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.

    Beliau berkata RM1.2 bilion pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan 123 projek di Sabah manakala 182 projek di Sarawak.

    Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, beliau memaklumkan kerajaan akan membina lima sekolah baharu dengan kos RM430 juta pada tahun depan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu, Sabah; SMK Dudong, Sarawak; Sekolah Kebangssan (SK) Paya Dusun, Terengganu serta SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam, Selangor. – BERNAMA

  • KKM cadang kadar RMT sekolah rendah dinaikkan

    KKM cadang kadar RMT sekolah rendah dinaikkan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mencadangkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) sedia ada bagi RMT iaitu RM2.50 bagi murid di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos bahan mentah mengikut menu RMT.

    “Ia bukan kesalahan KPM (kerana) peruntukan KPM tidak cukup. Ia juga berikutan peningkatan kos harga bahan mentah dan barangan lain dalam negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hematogenix Malaysia iaitu makmal penyelidikan klinikal onkologi pusat yang pertama di Malaysia, di Cyberjaya hari ini.

    Khairy berkata, beliau akan mengemukakan syor agar peruntukan KPM bagi RMT ditingkatkan kepada Kabinet bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

    Menurut Khairy, berdasarkan pemantauan kepatuhan menu program RMT yang dijalankan Bahagian Pemakanan KKM dari Januari hingga Jun lepas, hanya 61 peratus sekolah dipantau mematuhi menu RMT.

    Beliau juga berkata, KKM akan mencadangkan supaya bantuan RMT terus diberikan kepada kanak-kanak dari kumpulan miskin tegar iaitu seramai 789,902 orang.

    Mengenai Hematogenix Malaysia, Khairy berkata, ia merupakan makmal bertaraf antarabangsa yang memberi tumpuan pada penyelidikan klinikal terutamanya bidang kanser.

    Beliau berkata, makmal tersebut memberi satu nilai tambah kepada KKM kerana boleh digunakan bagi tujuan diagnostik dan saringan kanser di Malaysia, selain bertujuan menghantar sampel hasil daripada penyelidikan klinikal yang dijalankan di negara ini.

    Hematogenix berpusat di Chicago, Amerika Syarikat dan mempunyai tiga cawangan iaitu di United Kingdom, China dan yang terbaharu di Cyberjaya bagi rantau Asia Pasifik meliputi pasaran Jepun, Australia, New Zealand, dan Korea Selatan. – BERNAMA

  • Gambar tular dalam media sosial bukan makanan RMT

    Gambar tular dalam media sosial bukan makanan RMT

    SIASATAN terperinci Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati bahawa gambar yang memaparkan nasi dan kuah itu di media sosial, bukanlah makanan disediakan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT), kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    “Saya telah menerima maklum balas bagi perkongsian mengenai gambar yang didakwa sebagai makanan untuk murid di bawah Program RMT. Wakil KPM telah turun ke sekolah terbabit untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan pemilik Facebook berkenaan.

    “Siasatan mendapati gambar yang ditularkan itu bukan makanan yang disediakan untuk penerima RMT di sekolah. Makanan bagi semua penerima RMT disediakan oleh pihak kantin untuk murid makan di sekolah sahaja,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

    Beliau berkata, KPM mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak berhubung perkara berkenaan, dan sentiasa berusaha menambah baik program RMT termasuk dalam penyediaan makanan dan bekalan susu untuk penerima.

    Katanya pada masa ini, pemberian susu kepada murid RMT telah ditambah baik daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan, mulai tahun lepas. – BERNAMA

  • Kementerian Pendidikan siasat isu menu RMT – Radzi

    Kementerian Pendidikan siasat isu menu RMT – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan mengenai menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang didakwa hanya menyediakan nasi putih dan kuah kepada murid-murid sekolah seperti ditularkan di media sosial.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau turut mengarahkan supaya sekolah terlibat dikenal pasti.

    “Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenal pasti sekolah yang terlibat. KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid,” katanya dalam catatan di akaun Facebooknya.

    Semalam, tular satu kiriman seorang pemilik Facebook berserta gambar yang dimuat naik sambil mendakwa cucu saudaranya hanya menerima menu RMT sedemikian.

    Pemilik Facebook itu juga mempersoalkan sama ada peruntukan RMT terlalu sedikit sehingga pengusaha kantin menyediakan menu makanan tambahan sebegitu kepada murid-murid sekolah rendah. – BERNAMA