Tag: RMK-12

  • RM20 juta untuk pendigitalan usahawan luar bandar

    RM20 juta untuk pendigitalan usahawan luar bandar

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM20 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi mempergiatkan program e-dagang dan pendigitalan usahawan luar bandar di bawah bimbingannya.

    Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, menerusi peruntukan tersebut, KPLB akan memastikan sasaran RMK-12 yang ditetapkan sebelum ini mampu dicapai menerusi usaha berterusan dan kolektif melibatkan agensi-agensi kementerian.

    “KPLB menerusi inisiatif yang telah diperkenalkan iaitu Desamall@KPLB diyakini mampu untuk membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-Dagang dan aplikasi digital,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Pendigitalan Usahawan (PPU) Siri 3 Tahun 2022 Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.

    Turut hadir, Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat E-Lokal Sdn. Bhd, Ahmad Shah Wahid.

    Mengulas lanjut, Ramlan memberitahu, pelbagai usaha digerakkan melibatkan kolaborasi agensi di bawah KPLB bagi melatih dan membangunkan persekitaran keusahawanan luar bandar yang sebelum ini bergantung secara konvensional kepada platform digital bagi meningkatkan akses pasaran.

    “Kita tahu terdapat cabaran dan halangan bagi produk luar bandar menembusi pasaran secara dalam talian, bagaimanapun menerusi platform Desamall@KPLB, kita bantu luaskan pasaran produk serta perkhidmatan ke pelbagai platform e-dagang selain menambah baik mutu dan kualiti produk dari segi pembungkusan, maklumat produk, foto serta video pendek yang berkualiti dan menarik untuk kesediaan usahawan berniaga dalam talian.

    “KPLB juga menyasarkan sebanyak 5,000 produk dipasarkan di platform e-dagang melibatkan 5,000 usahawan luar bandar di seluruh negara”, ujar beliau.

    Ramlan menjelaskan, jualan terkumpul Desamall@KPLB sejak diperkenalkan pada 2017 adalah sebanyak RM 4.49 juta dengan jumlah produk terkini sebanyak 3,886 unit manakala bilangan usahawan melebihi 3,000 orang.

    “Berdasarkan perancangan untuk usahawan luar bandar, KPLB optimis kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang penghujung RMK-12,” katanya.

    Mengenai Program Pendigitalan Usahawan (PPU) pula, jelas Ramlan program itu dirangka khusus untuk mempersiapkan usahawan beralih kepada pendigitalan selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

    Beliau menjelaskan, rakan-rakan strategik yang terdiri daripada pihak bank, penyedia perkhidmatan pembayaran dalam talian serta aplikasi pemasaran dalam talian turut menawarkan khudmat bagi memudahcara proses peralihan perniagaan secara dalam talian.

    “PPU Siri 3 ini adalah siri terakhir pada tahun 2022. Pada tahun hadapan, kita akan merancang lebih banyak siri PPU di seluruh negara bergantung kepada kelulusan peruntukan yang akan diputuskan oleh EPU menerusi Rolling Plan (RP) 3 Tahun 2023.

    “Setakat ini, seramai 700 usahawan luar bandar telah mengikuti PPU yang dianjurkan pada tahun ini,” tambah beliau.

  • RMK-12: PM sebak sentuh isu kemiskinan tegar

    RMK-12: PM sebak sentuh isu kemiskinan tegar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghentikan sebentar ucapan pembentangan usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara hari ini selain kelihatan sebak ketika menyentuh isu kemiskinan tegar.

    Mengimbau sejarah dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga penoreh getah, Ismail Sabri yang selalunya kelihatan tenang di Parlimen, kelihatan bersedih dan menghentikan ucapannya untuk menenangkan diri sebelum kembali menyambung pembentangan.

    “Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat,” katanya ketika berucap mengenai fokus kelima RMK-12 iaitu Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan komited untuk menjayakan fokus tersebut dan akan menggunakan pendekatan keseluruhan negara dalam menangani isu kemiskinan termasuk menubuhkan Unit Kemiskinan di bawah Unit Perancang Ekonomi.

    “Pandemik COVID-19 yang melanda telah meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan,” katanya.

    Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk badan korporat, orang perseorangan dan majlis agama Islam negeri yang sentiasa prihatin dan menyokong kerajaan dalam membantu masyarakat yang terkesan sepanjang pandemik itu. – BERNAMA

  • Perdana Menteri bentang RMK-12 di Dewan Negara

    Perdana Menteri bentang RMK-12 di Dewan Negara

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini.

    Rancangan Malaysia dari 2021 hingga 2025 itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat Khamis lepas selepas dibentang pada 27 Sept lepas dan dibahas 106 Ahli Parlimen.

    Ia yang menjadi landasan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun, selepas ini akan melalui sesi perbahasan Ahli Dewan Negara sebelum diluluskan di peringkat Dewan Negara.

    Ismail Sabri ketika membentangkan perancangan lima tahun berkenaan di Dewan Negara berkata, RMK-12 adalah pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama.

    Bermatlamatkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, beliau berkata pembaharuan yang diperkenalkan dalam RMK-12 meliputi tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan.

    “Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (atau CSO) serta rakyat dalam penggubalan dan pelaksanaan rancangan ini.

    “Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis berkembar ini (ekonomi dan kesihatan). Kerajaan akan memperuntukkan RM400 bilion bagi memenuhi keperluan RMK12, terutamanya untuk membiayai projek pembangunan,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau berkata dalam keadaan kewangan semasa yang terhad, tumpuan perbelanjaan pada tahun ini dan 2022 adalah untuk melindungi nyawa dan kehidupan serta memenuhi komitmen projek sambungan.

  • Dewan Rakyat lulus Rancangan Malaysia Ke-12

    Dewan Rakyat lulus Rancangan Malaysia Ke-12

    DEWAN Rakyat hari ini meluluskan Usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), rancangan pembangunan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, usul itu disetujukan apabila menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas dibahaskan selama empat hari mulai 28 Sept oleh 106 Ahli Parlimen dan disusuli dengan penggulungan oleh 27 kementerian terlibat selama tiga hari.

    Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan adalah mengenai kesihatan, vaksin COVID-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan, impak pasca-COVID-19 dan pengurusan bekalan air negara.

    Persidangan hari ini menyaksikan tiga kementerian meneruskan penggulungan perbahasan termasuk lima jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

    Pada 27 Sept lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara.

    Mengikut takwim Dewan Rakyat, persidangan pada Isnin ini akan diteruskan dengan Rang Undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

    Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. – BERNAMA

  • Mustapa nafi kos buku RMK-12 capai RM2 bilion

    Mustapa nafi kos buku RMK-12 capai RM2 bilion

    UNIT Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM) tidak pernah membelanjakan wang sebanyak RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perancangan pembangunan negara untuk lima tahun itu disediakan oleh pegawai-pegawai UPE JPM di bawah seliaannya, hasil input daripada libat urus dengan pelbagai pihak.

    Menurut beliau, penyediaan RMK-12 melibatkan kos yang amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perunding media.

    “Saya berharap Datuk Seri Anwar dapat memperbetulkan kenyataan beliau bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pegawai UPE JPM dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Anwar membuat dakwaan tersebut ketika membahaskan RMK-12 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Berikut adalah petikan ucapan beliau: “… kita boleh belanja bilion ringgit untuk konsultan. Saya difahamkan 5-6 tahun dulu, sudah belanja RM1.8 billion. Jadi saya nak tanya, lebih daripada RM2 bilion ringgit telah diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan buku RMK-12 ini.”

  • Hanya 5 menteri dengar Anwar bahas dalam dewan

    Hanya 5 menteri dengar Anwar bahas dalam dewan

    HANYA lima menteri dan timbalan menteri dikatakan berada dalam sidang Dewan Rakyat hari ini ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) mendakwa, situasi itu dapat dilihat di blok penyokong kerajaan yang kebanyakannya didapati kosong.

    Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tentang kehadiran menteri dan timbalan menteri yang lain.

    “Selaku Ketua Pembangkang, saya rasa adalah penting dalam aspek transformasi Parlimen. Ini apabila Ketua Pembangkang berucap (dewan kosong). Mengambil kira populasi, negara kita mempunyai Kabinet yang paling besar di dunia dengan 69 menteri dan timbalan menteri.

    “Apakah ada kemungkinan untuk kita tetapkan kehadiran mereka untuk mendengar bahas Ketua Pembangkang sebagai salah satu usaha transformasi Parlimen?

    “Saya sedih, hanya ada lima menteri dan timbalan menteri yang hadir, mana yang lain?” katanya ketika mencelah perbahasan tersebut.

    Kor Ming seterusnya meminta Ketua Whip penyokong kerajaan mengambil langkah sewajarnya agar situasi serupa tidak berulang.

    Ketika menyambung semula perbahasannya, Anwar berkata, beliau tidak pernah ketinggalan mendengar ucapan Ketua Pembangkang semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu.

    “Saya semasa Menteri Kewangan, setiap kali Ketua Pembangkang berucap saya akan hadir di depan dengar sampai habis walaupun ‘sakit telinga’ (hanya) Tuhan yang tahu.

    “Waktu itu Ketua Pembangkang adalah Yang Berhormat Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri), ini etika Parlimen.

    “Kita dengar ucapan Perdana Menteri walaupun kita tak bersetuju, kita tidak ganggu kerana dia agak sopan berbanding sebelum-sebelumnya,” ujarnya.

    Pada masa yang sama, beliau berpandangan mungkin menteri dan timbalan menteri mengikuti sesi perbahasan dari bilik mereka di Dewan Rakyat.

    Walau bagaimanapun, Anwar berkata, ia tidak sama dengan hadir secara fizikal semasa perbahasan berlangsung.

  • Sasaran agenda bumiputera dalam RMK-12 lebih jelas – MTEM

    Sasaran agenda bumiputera dalam RMK-12 lebih jelas – MTEM

    RMK12

    AGENDA bumiputera yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mempunyai sasaran lebih jelas melibatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bumiputera, kata Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.

    Beliau berkata, inisiatif itu juga selari dengan hasrat yang dinyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) selain perancangan meletakkan beberapa sasaran tidak berdasarkan ekuiti tetapi mengikut sumbangan kepada KDNK dan pendapatan isi rumah.

    “Ini menunjukkan kerajaan ingin mengubah strategi yang lebih fokus kepada bukan ekuiti semata-mata, tetapi lebih kepada sumbangan kepada KDNK dan pendapatan isi rumah dengan menggunakan median bagi menggambarkan realiti semasa,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, pendapatan isi rumah untuk bumiputera khususnya perlu dikenal pasti dengan jelas supaya selari dengan segala perancangan dan mencapai objektif yang ditetapkan dalam RMK-12.

    “Kita perlu perhalusi balik supaya kita tiada keadaan yang kaya makin kaya, yang miskin kekal miskin. Isunya nak memastikan pendapatan isi rumah itu, khususnya bumiputera mencapai apa yang selari dengan dapatan sumbangan KDNK,” katanya.

    Selain itu, beliau turut menghargai pewujudan semula Bahagian Kemakmuran Bumiputera menerusi RMK-12 dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan agenda bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan, sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan Melayu dan anak negeri, iaitu peribumi Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad berkata, beliau berharap kerajaan tidak memperkasakan agenda bumiputera secara terasing daripada agenda nasional dan harus dengan kelebihan diberi kepada golongan itu apabila mereka memerlukan bantuan.

    “Ia dengan memberi fokus terhadap kumpulan yang kurang berdaya saing. Kalau dia usahawan dah boleh bersaing, biarkan saingan dalam pasaran terbuka. Bukan semestinya semua bumiputera dah berdaya saing di peringkat global nak diberi layanan sama dengan yang kurang berdaya saing tadi, tidak.

    “Katakanlah dia dah berjaya, tiba-tiba dia jatuh, bukan kerana dia cuai atau berjoli, boros, tetapi jatuh kerana keadaan pasaran. Dalam keadaan begitu kena dimudahcarakan, bagaimana nak susunkan pinjaman bank, atau tukar perniagaan, dalam keadaan itu kerajaan kena campur tangan,” katanya.

    Pada masa sama, beliau turut menghargai pewujudan semula Bahagian Kemakmuran Bumiputera dan berharap kementerian serta agensi dapat memahami skop tugasan masing-masing supaya masalah lama tidak berulang.

    Katanya, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) perlu faham bahawa mereka hanyalah sekretariat kepada agenda bumiputera manakala pelaksana ialah kementerian dan agensi. – BERNAMA

  • Kerajaan komited selesai isu Sabah, Sarawak secara tuntas

    Kerajaan komited selesai isu Sabah, Sarawak secara tuntas

    RMK12

    KOMITMEN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah gambaran jelas kesungguhan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikannya secara tuntas.

    Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, Perdana Menteri yang menyentuh perkara itu semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) semalam, telah mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam mengharmonikan lagi hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    “Isu berkenaan MA63 ini tidak boleh dilewat-lewatkan lagi sebab ia sudah sekian lama dibincangkan. Harus dilihat pencapaian yang pantas, yang konkrit melalui strategi di bawah tempoh tertentu (dalam mencari penyelesaian).

    “Hanya dengan (penyelesaian) ini sahaja bukan sahaja dapat memuaskan hati rakyat Sabah dan Sarawak tetapi akan lebih memberi makna kepada aspirasi awal pejuang kemerdekaan dan juga gagasan Keluarga Malaysia yang dikemukakan Perdana Menteri,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Menurutnya, jika tuntutan di bawah MA63 ini dapat dipenuhi dalam tempoh terdekat ini, sudah pasti akan memberikan kelebihan kepada kerajaan negeri sekarang dalam persiapannya menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

    “Ini (menyelesaikan isu MA63) merupakan langkah ke hadapan untuk memastikan akan wujud keharmonian dalam hubungan antara negeri dan Persekutuan dan kemudiannya memberi kesan kepada bagaimana rakyat di negeri ini bertindak balas dalam pilihan raya akan datang,” kata Jeniri.

    Menurutnya, Perdana Menteri turut memberikan komitmen yang jelas untuk memastikan pembangunan di kedua-dua negeri di kepulauan Borneo itu dapat dipacu dengan lebih pesat berdasarkan perancangan untuk merapatkan lagi jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    “Saya percaya jika semua projek ini dilaksanakan dengan efektif tanpa ketirisan, dilaksanakan mengikut jadual akan memberi kesan limpahan besar dalam usaha untuk memacu dari segi pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di bandar dan luar bandar,” tambahnya. – BERNAMA

  • Tingkat purata pendapatan selari cadangan pengenalan SSM baharu

    Tingkat purata pendapatan selari cadangan pengenalan SSM baharu

    RMK12

    MATLAMAT kerajaan meningkatkan purata pendapatan isi rumah kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025 selaras dengan harapan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu untuk perkhidmatan awam diwujudkan.

    Presidennya Adnan Mat berkata pihaknya berharap kerajaan menyediakan peruntukan dalam Belanjawan 2022 bagi mewujudkan SSM baharu memandangkan sejak penggubalannya pada November 2002, ia tidak pernah dikaji atau ditambah baik sehingga hari ini.

    “Pelaksanaan sistem saraan baharu perlu dilakukan bagi memastikan ia relevan dengan persekitaran ekonomi semasa dan bukannya menggunakan dapatan daripada sistem yang diwujudkan 19 tahun lalu.

    “Ia juga boleh menjadi permulaan kepada kerajaan dalam merangka jalan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah yang ketika ini sekitar RM7,901 pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mengenai inisiatif untuk mengkaji cadangan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Awam, Adnan berkata ia wajar disokong bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam urus tadbir perkhidmatan awam kerana membolehkan pengasingan kuasa dan tanggungjawab antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam.

    “Jika berlakunya campur tangan dalam urusan penjawat awam, sudah tentu akan mewujudkan isu konflik kepentingan dalam kalangan anggota pentadbiran manakala penjawat awam sukar untuk melaksanakan dasar dengan jayanya.

    “Pengasingan kuasa sebenarnya sudah wujud, namun sering kali disalah erti kerana tidak wujud ketegasan dalam undang-undang atau akta sedia ada…cadangan ini amat baik dan wajar disokong,” katanya.

    Menyentuh cadangan memperkenalkan Indeks Tadbir Urus Malaysia, Adnan berkata ia wajar bagi memastikan sesuatu dasar untuk rakyat dapat disampaikan dengan baik.

    “Ia bukan suatu perkara baharu dalam sesebuah organisasi termasuklah dalam perkhidmatan awam kerana sudah tentu setiap perkara yang mahu dilaksanakan perlu ada suatu petunjuk prestasi utama (KPI) atau indeks ditetapkan bagi mengukur kejayaan tersebut.

    “Mungkin namanya sahaja berubah tetapi pelaksanaannya tetap bermatlamat untuk memastikan rakyat menikmati hasil terbaik dan pada masa sama menjadi garis panduan kepada perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat agar selari dengan apa yang ditetapkan,” katanya.

    Selain itu, Adnan berkata Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi yang dilaksanakan kerajaan perlu didukung supaya setiap strategi dan inisiatif di bawah RMK-12 dapat dilakukan secara tersusun dengan penuh integriti serta bertanggungjawab. – BERNAMA

  • Pertingkat peranan MKN teraju, selaras dasar keselamatan

    Pertingkat peranan MKN teraju, selaras dasar keselamatan

    RMK12

    TADBIR urus keselamatan negara akan diperkukuh dengan menambah baik fungsi dan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju yang menyelaras dasar berkaitan keselamatan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, penyelarasan pelbagai jawatankuasa di bawah MKN akan ditambah baik bagi memastikan arahan dan langkah berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dilaksana dengan lebih berkesan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

    RMK-12 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut dokumen berkenaan penyelarasan itu akan memberi tumpuan kepada isu keselamatan termasuk siber, jenayah rentas sempadan, wabak penyakit, bencana alam serta krisis ekonomi dan sosial.

    “Di samping itu, Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) akan diperkukuhkan melalui penyelarasan yang lebih baik antara pihak berkepentingan yang berkaitan serta menghubungkan semua sistem pengurusan keselamatan, pertahanan dan bencana.

    “Ini akan membolehkan pengumpulan maklumat dengan lebih pantas dan mempercepat proses membuat keputusan serta penyelarasan yang lebih baik dalam kalangan agensi untuk menangani ancaman dan krisis,” menurut dokumen itu.

    Menurut dokumen itu, undang-undang berkaitan jenayah merangkumi Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas ) 2012, Akta Pencegahan Keganasan 2015 dan Kanun Keseksaan 1957, selain menyemak semula Akta Hasutan 1948 serta Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 untuk memastikan kesesuaian dan keberkesanannya meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.

    Sementara itu, langkah pencegahan rasuah akan diperkukuh meliputi semua agensi penguatkuasaan dan Angkatan Tentera Malaysia termasuk pelaksanaan piawaian Sistem Pengurusan Antirasuah yang digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional secara mandatori.

    “Bagi mengurangkan risiko rasuah, semua agensi penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri dikehendaki melaksana Sistem Peprofilan Pengambilan bagi jawatan berisiko tinggi dan sensitif selain pusingan kerja juga akan dilaksana secara mandatori,” menurut dokumen itu.

    Untuk menambah baik penyelarasan dan kerjasama, dokumen itu menyatakan majlis perundingan keselamatan dan ketenteraman awam akan ditubuhkan untuk menyelaras usaha menangani ancaman keselamatan dan sebagai platform perkongsian pengetahuan dalam kalangan pakar keselamatan.

    Bagi menangani jenayah rentas sempadan, usaha bersepadu akan dilaksanakan untuk menyatukan pelbagai mandat dan kuasa ATM serta semua agensi penguatkuasaan berkaitan kawalan sempadan termasuk di semua pintu masuk.

    “Dalam tempoh lima tahun ini, dasar identiti digital nasional akan diperkenal bagi membolehkan pergerakan data yang dipercayai, selamat dan telus selain memastikan semua sistem yang berkaitan dengan pendaftaran penduduk diintegrasi bagi membolehkan perkongsian data dalam kalangan agensi berkaitan,” menurut dokumen itu. – BERNAMA