Tag: Risda

  • 232,000 pekebun kecil getah RISDA layak terima Bantuan Musim Tengkujuh

    232,000 pekebun kecil getah RISDA layak terima Bantuan Musim Tengkujuh

    SEJUMLAH 232,000 pekebun kecil getah berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, BMT tahun ini akan dibayar kepada pekebun kecil sebanyak RM300 sebulan bagi bulan November dan Disember.

    “Sekarang dah siap (senarai penerima), jumlah penerima itu dah ada, cuma kita tunggu peruntukan, kalau peruntukan itu masuk kita bayar, tak terjejaslah, bayaran itu memang berjalan. InshaAllah kita bayar.  
    “Untuk tahun ini, itu dasar sedia ada yang kita guna bagi tujuan pembayaran BMT tetapi kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar BMT tahun 2023 daripada RM600 sekarang kepada RM800,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Peringkat Negeri Pahang di Dewan Terbuka Kampung Mela di Lipis, Pahang hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

    Jelas Mahdzir, bayaran BMT tahun ini membabitkan peruntukan berjumlah RM191 juta.

    Sementara itu Mahdzir berkata, Program Tanam Semula Getah setakat ini telah mencapai lebih 10 ribu hektar melibatkan 7,180 Pekebun Kecil dengan bayaran berjumlah hampir RM61.6 juta.

    Tahun ini katanya RISDA menerima permohonan untuk tanam semula semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil.

    “Walaupun sektor getah berdepan dengan pelbagai cabaran, saya percaya peningkatan keluasan penanaman getah ini adalah berikutan peningkatan nilai bantuan kepada RM13,710 bagi Semenanjung Malaysia berbanding RM9,230 sebelum ini yang telah menarik minat ramai pemilik tanah untuk mengusahakan tanaman getah”.

    Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan dividen Program Tanam Semula Komersil (TSK) RISDA peringkat negeri Pahang yang berjumlah lebih RM39 juta.

    Dividen tersebut adalah hasil pulangan melalui pengurusan yang cekap oleh RISDA Plantation Sdn Bhd kepada 5,590 orang peserta projek TSK seluruh negeri Pahang.

  • Risda, Felcra kolaborasi ternak ayam daging

    Risda, Felcra kolaborasi ternak ayam daging

    PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) meluaskan peranannya untuk terlibat dalam agromakanan negara dengan merancang menternak ayam daging bagi membantu menampung bekalan makanan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain lembu, ternakan ayam menjadi sasaran baharu agensi itu memandangkan terdapat isu kekurangan bekalan bagi keperluan tersebut, baru-baru ini.

    “Selain lembu, Risda dan Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) sedang berbincang berkolaborasi bagi terlibat dalam penternakan ayam. Ia akan melibatkan ladang-ladang dua agensi ini di seluruh negara, perkara ini sedang dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Risda di Kuala Lumpur hari ini.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, kira-kira 82,000 kilogram jagung bijian untuk dijadikan bahan makanan ternakan dijangka dituai Julai ini.

    Beliau berkata, ia merupakan sebahagian program tanaman jangka pendek melibatkan 750,000 pokok dalam kawasan seluas 15 hektar di Perlis secara ladang kontrak.

    “Tanaman jagung bijian ini menjadi fokus Risda pada tahun ini dalam membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan,” katanya.

    Mahdzir berkata, program tanaman berkenaan termasuk dalam membantu sasaran kerajaan mengeluarkan 600,000 tan metrik jagung bijian untuk makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

    Sementara itu, Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, rancangan ternakan ayam menyasarkan 500,000 ekor ayam daging organik bagi sekali tuaian.

    “Risda mampu membantu kerajaan mengatasi isu bekalan ayam, kita akan bekerjasama dengan MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan).

    “Kita akan menguruskan ladang ternakan ini dan kita merancang menghasilkan ayam yang lebih sihat, halal dan bersih untuk keperluan rakyat dengan harga berpatutan, ia juga akan melibatkan peladang dan pekebun di samping mereka menjalankan aktiviti penanaman mereka,” katanya sambil menambah projek tersebut akan dimulakan tahun ini.

    Dalam pada itu, Mohd Salim berkata, buat julung kali agensi itu akan membekalkan keperluan 1,000 ekor lembu untuk tujuan korban bagi Aidiladha tahun ini.

    Ibadah korban akan diuruskan melalui agensi-agensi yang menguruskan ibadah korban termasuk secara dalam talian seperti EzyQurban.

    Beliau berkata, Risda juga menyediakan rumah penyembelihan di Semenyih, Selangor dan kemudahan untuk mengagihkan daging korban melalui syarikat kurier tempatan.

    Risda setakat ini mempunyai 6,000 ekor lembu di ladang-ladang yang disediakan seluruh negara dan menyasarkan untuk menambah kepada 10,000 ekor lembu akhir tahun ini, katanya. – BERNAMA