Tag: Ringgit perkukuh

  • Ringgit dijangka kukuh dalam jajaran ketat minggu hadapan

    Ringgit dijangka kukuh dalam jajaran ketat minggu hadapan

    RINGGIT dijangka mengukuh tetapi bergerak dalam jarak yang ketat antara 4.1700 dan 4.1800 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan berdasarkan sentimen pasaran yang bercampur-campur, kata seorang penganalisis.

    Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan harga komoditi akan membantu menyokong ringgit memandangkan ekonomi negara akan mendapat keuntungan daripada harga minyak mentah, gas asli cecair dan minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

    “Bagaimanapun, situasi di China yang berkaitan dengan isu pasaran hartanahnya termasuk perkembangan geopolitik antara AS dan China dalam kaitannya dengan Taiwan cenderung memberi tekanan ke atas pasaran mata wang baru muncul,” katanya kepada Bernama.

    Oleh itu, beliau berpendapat pelabur biasanya akan mencari perlindungan dalam mata wang komoditi selamat.

    Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd melaporkan ringgit mungkin mengumpulkan beberapa momentum dan kenaikan berbanding dolar AS dalam waktu terdekat berdasarkan keyakinan pada pembukaan semula ekonomi Malaysia, walaupun siling hutang AS mampu mencetuskan beberapa permintaan untuk komoditi selamat.

    “Selanjutnya, mulai November dan seterusnya, arah ringgit akan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti pengumuman Rizab Persekutuan, ketidaktentuan ekonomi China, hubungan perdagangan AS-China dan situasi Covid-19 global,” katanya.

    Sepanjang minggu ini, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding dolar AS disebabkan peningkatan sentimen ke atas mata wang tempatan dan sentimen pelabur yang berhati-hati menjelang pengeluaran data gaji bukan ladang AS pada Jumaat.

    Secara mingguan, ringgit naik 20 mata asas (bps) kepada 4.1750/1800 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada 4.1770/1810 seminggu sebelumnya.

    Unit tempatan itu didagangkan bercampur-campur dengan mata wang utama yang lain.

    Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8292/8350 daripada 4.8361/8408 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7320/7368 daripada 3.7580/7616.

    Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0771/0810 daripada 3.0756/ 0788 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6880/6948 daripada 5.6373/6427. – Bernama

  • Perkembangan politik tempatan perkukuh ringgit

    Perkembangan politik tempatan perkukuh ringgit

    Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika SYarikat (AS) pada pagi Isnin dengan sentimen pasaran semakin baik selepas persekitaran politik Malaysia yang lebih pasti telah membantu melonjakkan selera risiko pelabur.

    Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.2300/2340 berbanding dolar AS daripada 4.2380/2400 pada penutupan urus niaga Jumaat minggu lalu.

    Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohamed Rahim, berkata ringgit dijangka diniagakan antara RM4.23 dan RM4.24 berbanding dolar AS minggu ini dengan pasaran kembali tenang selepas menyaksikan perkembangan baik politik terkini negara.

    Bagaimanapun, pergerakan mungkin terhad menjelang persidangan Jackson Hole Rizab Persekutuan AS yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 Ogos ini.

    “Sekiranya gambaran awal yang telah dijangkakan mengenai pengurangan pembelian aset oleh Persekutuan dibangkitkan dalam simposium itu, dolar AS mungkin mengukuh dan ini akan menjejaskan ringgit,” kataya kepada Bernama.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu lalu.

    Sementara itu, ringgit dibuka bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

    Unit tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8497/8536 daripada 3.8654/8676 Jumaat lepas dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7706/7760 daripada 5.7709/7736 sebelumnya.

    Namun begitu, ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1073/1107 daripada 3.1070/1087 pada penutupan Jumaat minggu lepas dan menyusut berbanding euro kepada 4.9491/9538 daripada 4.9474/9498 sebelumnya.-BERNAMA