Tag: ringgit merudum

  • Ringgit merudum, rakyat terpaksa tanggung kesan, kata Muhyiddin

    Ringgit merudum, rakyat terpaksa tanggung kesan, kata Muhyiddin

    KELEMAHAN ringgit akan mempengaruhi kehidupan pengguna apabila mereka dibebankan dengan kenaikan harga akibat peningkatan kos import yang lebih tinggi, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurutnya, walaupun itu bukan satu situasi yang unik kepada Malaysia, kerajaan harus mengakui bahawa ringgit yang lemah, mempunyai implikasi yang serius kepada ekonomi.

    “Ringgit yang lebih lemah juga akan menyebabkan kos import terutamanya makanan menjadi lebih tinggi dan kenaikan harga akan dibebankan kepada pengguna.

    “Mereka dalam bidang perkilangan yang mengimport bahan mentah dari luar negara juga turut merasai keperitan, apatah lagi mereka yang mempunyai anak lelaki atau perempuan belajar di luar negara.

    “Walaupun keadaan ekonomi semasa dan daya tahan perniagaan kita mungkin dapat menahan kesan inflasi yang tinggi dan kelemahan ringgit ini, tetapi untuk berapa lama? Tekanan inflasi dan ringgit yang lemah digabungkan boleh menghapuskan keuntungan yang kita perolehi dalam tahun pemulihan,” katanya dalam wawancara bersama media baru-baru ini.

    Untuk rekod nilai ringgit jatuh lagi setelah urusniaga ditutup jam 6 petang semalam (3 November 2022), kali ini ke paras terendah dalam sejarah apabila mencatat 4.7425 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

    Nilai terendah pernah dicatat sebelum ini ialah pada Jumaat, 21 Oktober 2022, apabila menjunam 110 mata asas kepada 4.7380 berbanding satu dolar AS. Paras ini mengatasi catatan 4.7250 pada 7 Januari 1998, ketika krisis kewangan Asia.

    Ketika urus niaga dibuka pagi ini (4 November), ringgit kekal diniagakan pada 4.7425 berbanding dolar, sama seperti ditutup semalam.

    Kejatuhan nilai mata wang tempatan itu dikatakan kesan daripada tindakan Rizab Persekutuan (Fed) AS yang menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 75 mata asas (bps), selain kekukuhan mata wang dolar itu sendiri.

    Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berpendapat pelebaran spread yang berterusan antara Kadar Dana Persekutuan (FFR)-Kadar Dasar Semalaman (OPR) boleh membawa kepada kelemahan ringgit selanjutnya.

    Ia berkata pelebaran spread FFR-OPR, yang meningkat daripada +63 mata asas (bps) kepada +113 mata asas, pada umumnya negatif untuk FBM KLCI (korelasi -58 peratus) dan berpotensi menyebabkan ringgit terus lemah.

    HLIB menjangkakan pergerakan dolar AS berbanding ringgit berpurata pada 4.44 untuk tahun ini dan 4.80 pada akhir tahun.

    Menjawab soalan, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan berkata apabila memasuki 2022, kerajaan yakin ia akan menjadi tahun pemulihan dan terbukti dengan pertumbuhan separuh pertama ialah 6.9 peratus dan pertumbuhan suku kedua kami ialah 8.9 peratus, yang tertinggi di Asia Tenggara.

    “Sekali lagi, angka-angka ini adalah susulan dasar ekonomi yang telah diambil sejak Mac 2020, kami dipengaruhi oleh isu-isu global terutamanya perang di Ukraine, yang telah mengganggu rantaian bekalan global dan membawa kepada pengetatan dasar monetari di negara maju.

    “Ini membawa kepada penurunan ringgit dan juga kenaikan kadar dasar semalam (OPR) berturut-turut oleh BNM.

    “Tekanan inflasi dan kenaikan kadar faedah ini akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi. Kita harus ingat bahawa inflasi dikatakan sebagai cukai tambahan kepada golongan miskin dan seterusnya menjejaskan kuasa perbelanjaan memandangkan pertumbuhan gaji kita akan terjejas.

    “Ia juga akan memberi kesan kepada kos pinjaman dan pelaburan,” katanya, lapor Agendadaily.

  • Ringgit merudum, Anwar bidas Tengku Zafrul

    Ringgit merudum, Anwar bidas Tengku Zafrul

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai bukan menteri kewangan yang bertanggungjawab, Malaysiakini dalam laporannya hari ini.

    “Kita pernah melalui krisis ekonomi yang besar (pada 1997). Serangan di Thailand ke atas baht, merudum ekonomi Thailand. Disambung rupiah di Indonesia, merudum Indonesia. Kemudian won di Korea dan kita mendapat tempias yang dahsyat.

    “Apa kita lakukan? Kita adakan mesyuarat perbincangan langkah-langkah setiap hari dan rakyat dimaklumkan tentang langkah-langkah yang diambil dan langkah-langkah yang perlu dimaklumkan kepada rakyat.

    “Hari ini, seperti saya sebut, merudum ringgit dalam keadaan ekonomi Asia tidak merudum kita merudum dan tidak ada maklumat (daripada menteri kewangan),” katanya mengikut laporan Malaysiakini itu.

    Anwar berkata demikian di perhimpunan “Rapat Mega Keadilan” pertama parti itu di Taman Melawati, Kuala Lumpur semalam yang berlangsung dari lima petang hingga tengah malam.

    Acara itu merupakan siri perhimpunan mega di seluruh negara.

    Anwar mengkritik Zafrul sebagai kekurangan jawapan yang boleh dipercayai.

    “Di Parlimen, saya malas untuk bertanya banyak soalan kepada Zafrul kerana saya tidak fikir jawapan itu jawapan yang sepatutnya disampaikan oleh mana-mana menteri kewangan yang bertanggungjawab.

    “Bila kita cakap soal bank, rakyat susah peniaga-peniaga kecil susah. Dia jawab mempertahankan bank bukan mempertahankan rakyat di bawah.

    “Itu pun ada yang orang masih berkata Yang Berhormat! Yang Berhormat!” tambah Anwar, melakonkan seseorang yang bergegas untuk mencium tangan menteri kewangan.

    “Menyampah betul. Ini yang saya sebut bangang ini. Bila sebut bangang, (kata) kasar, apa dia kasar?

    “Kamu ambil duit rakyat, Kamu curi duit 1MDB, sebut sahaja masalah Mara curi, Felda curi lembu (NFC) pun curi,” kata Anwar yang merupakan bekas menteri kewangan pada tahun 90-an.

    Ringgit Malaysia (RM) jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), melepasi paras psikologi RM4.50 pada 6 Sept.

    Ini adalah kali pertama paras RM4.50 ditembusi sejak Januari 1998, beberapa bulan selepas bermulanya Krisis Kewangan Asia.

    Ringgit kehilangan sembilan peratus nilainya jika dibandingkan dengan dolar AS dalam tempoh setahun.

    Sikap berdiam diri perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan Zafrul berhubung isu itu dikecam oleh pembangkang.

    Isu ekonomi

    Menyentuh mengenai keadaan ekonomi semasa, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, awal malam tadi, menegaskan apabila Bank Negara menaikkan kadar faedah akibat kehilangan pelabur, rakyat yang menjadi mangsa.

    “Rakyat biasa macam saudara-saudari, walaupun saudara-saudari tak tukar duit dalam dolar, walaupun tiada simpanan di luar negara, rakyat biasa menjadi mangsa dengan dua cara, melalui bayaran faedah yang tinggi dan kos sara hidup naik,” katanya.

    “Kalau kita ada lima anak, kereta nak kena bayar, minyak nak kena bayar, rumah nak kena bayar, selama ini pun hidup dengan hutang, tambahan bayaran faedah bulan-bulan itu kita kena hutang kredit kad silap-silap kita hutang dengan along,” katanya.

    Dia juga menyindir Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai “blur”.

    “Jadi, nak marah pun tak sampai hati. UMNO pun marah dia, PAS pun marah dia, kita pula marah dia. Tapi itu yang menjadi masalah sekarang.

    “Kita berhadapan dalam keadaan rakyat terpaksa tanggung kegagalan terhadap pengurusan kerajaan. Bukan sahaja gagal, tapi kita punya ruang untuk kita bertindak itu makin nipis,” katanya.

    Demikian katanya ketika merujuk kepada ruang fiskal negara yang semakin menipis.

    “Saya sebut semua ini supaya rakyat tahu bahawa semasa kita memasuki pilihan raya, walaupun Najib (Razak), Rosmah (Mansor) sudah (dihukum) penjara, Zahid (Hamidi)… terpulang kepadanya, sama ada dia masuk atau tidak…

    “Ismail Sabri, walaupun muka dia kesian, kita kena ingat kita nak tukar kerajaan, bukan sebab nak Anwar jadi PM atau nak bagi jawatan orang kita sendiri dalam kuasa.

    “Kami mahu menukar kerajaan kerana kerosakan ini, jika kami tidak memperbaikinya sekarang, kami akan mewarisi masalah itu, yang akan menjadi lebih besar dan lebih besar dalam tempoh lima hingga enam tahun,” kata Rafizi.