Tag: ribut petir

  • Ribut petir diramal mulai esok hingga hari pengundian PRU-15 – MetMalaysia

    Ribut petir diramal mulai esok hingga hari pengundian PRU-15 – MetMalaysia

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berlaku di kebanyakan tempat di pedalaman dan barat Semenanjung, Sarawak serta barat Sabah bermula 13 hingga 19 November, iaitu hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Mengikut analisis model-model cuaca, MetMalaysia menjangkakan fenomena cuaca itu berlaku pada sebelah petang hingga malam sepanjang tempoh tersebut.

    Menurut Pakar meteorologi, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah semalam, tempoh tiga hari mulai Sabtu hingga Isnin amat penting bagi meramalkan keadaan cuaca semasa hari pengundian PRU15.

    “Luruan angin timuran masih ada, tetapi yang menarik ialah terdapat tekanan rendah di bahagian selatan negara iaitu berhampiran Johor. Ini menunjukkan negara kita mempunyai semua elemen yang merangsangkan hujan,” katanya dalam program Malaysia Memilih, hari ini lapor Astro Awani.

    Sebelum itu, MetMalaysia meramalkan Monsun Timur Laut mula melanda negara pada pertengahan November dan berterusan sehingga Mac depan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai hak menangguhkan PRU15 jika banjir besar berlaku dan perbincangan lanjut akan dibuat sekiranya keadaan mendesak.

    Bagaimanapun katanya, persediaan telah dilakukan lebih awal melibatkan semua agensi sebelum pembubaran Parlimen.

  • 12 negeri diramal ribut petir hari penamaan calon

    12 negeri diramal ribut petir hari penamaan calon

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir di semua kawasan Parlimen 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada sebelah petang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

    Menurut paparan laman web MetMalaysia hari ini, negeri-negeri tersebut ialah Pahang, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

    Di Selangor, situasi itu melibatkan beberapa kawasan antaranya Sabak Bernam, Hulu Langat, Gombak, Pandan dan Sungai Besar.

    Bagi kawasan Sabah pula, hanya lapan Parlimen sahaja yang mengalami ribut petir termasuk Kimanis, Sipitang, Keningau, Silam dan Tawau.

    Bagaimanapun lapor Sinar Harian, pada sebelah pagi di kawasan berkenaan diramalkan cuaca cerah selain di beberapa Parlimen di negeri Pantai Timur, Utara dan Sabah.

    Kebanyakan kawasan di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sarawak pula diramalkan hujan pada waktu pagi.

    Selain itu, cuaca di Parlimen Putrajaya cerah pada waktu petang pada hari sama.

  • Ribut petir dijangka landa negara 27-30 Ogos

    Ribut petir dijangka landa negara 27-30 Ogos

    NEGARA dijangka menerima tiupan angin lemah dan pelbagai hala dari 27 hingga 30 Ogos ini yang berpotensi menyebabkan pembentukan awan ribut petir terutama pada sebelah petang sehingga malam.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara kawasan terlibat adalah negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, Sarawak (tengah dan utara), barat Sabah serta Labuan.

    Menurut kenyataan itu, fenomena berkenaan dikesan berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMRWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).

    Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan orang awam supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial agensi itu serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.- BERNAMA

  • Fasa peralihan monsun dijangka mula Jumaat ini – MetMalaysia

    Fasa peralihan monsun dijangka mula Jumaat ini – MetMalaysia

    FASA peralihan monsun dijangka bermula 24 Sept ini dan sehingga awal November menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 19 Mei lepas. 

     Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata semasa fasa itu, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk  ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

    “Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya. 

    Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia. 

    Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MetMalaysia di nombor 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut, katanya. – BERNAMA