Tag: RFID

  • Pakar RFID, SMTRack nafi lantik menantu Zahid kerana hubungan politik

    Pakar RFID, SMTRack nafi lantik menantu Zahid kerana hubungan politik

    SYARIKAT pakar dalam penyelesaian Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), SMTRack menafikan Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif kerana hubungan politiknya.

    Untuk rekod, Saiful Nizam ialah menantu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan berkahwin dengan Datuk Nurul Hidayah.

    Memetik laporan BH, Pengerusi Eksekutif SMTrack, Azmi Osman berkata, pelantikan Saiful Nizam dibuat berdasarkan merit dan pengalaman beliau semata-mata.

    “Kumpulan tidak akan mendiskriminasi mana-mana individu berdasarkan latar belakang mereka dan akan mengambil langkah tambahan untuk mendedahkan sebarang kemungkinan konflik kepentingan jika ada.

    “Sebagai Pengarah Bebas, Saiful Nizam tidak terbabit dalam keputusan dan operasi perniagaan seharian,” katanya.

    Sementara itu, SMTrack menegaskan, kumpulan itu juga tidak membabitkan Tan Sri Lee Kim Yew dalam sebarang lobi untuk mana-mana projek bagi syarikat walaupun beliau muncul sebagai pemegang saham yang besar.

    Azmi berkata, SMTrack ialah entiti senaraian awam dan mana-mana pelabur yang mempunyai keyakinan dengan syarikat boleh melabur dalam syarikat melalui pasaran terbuka.

    “Kami berbangga bahawa Kim Yew melihat potensi dalam kumpulan dan telah mengambil keputusan berdasarkan kapasiti pelaburannya sendiri.

    “Bagaimanapun, kami ingin mengulangi bahawa beliau bukan sebahagian daripada pasukan strategik dan operasi kumpulan dan tidak terbabit dalam sebarang lobi projek untuk kumpulan,” kata Azmi.

    SMTrack turut menegaskan, propaganda politik yang disebarkan terhadap syarikat itu adalah tidak bertanggungjawab.

    Ia berkata, tuduhan dan pembohongan tidak berasas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengelirukan orang ramai, memusnahkan reputasi entiti tersenarai dan integriti pasaran modal Malaysia dan mengelirukan orang ramai mengenai faedah teknologi RFID.

    Azmi berkata, tuduhan tidak berasas itu akan memberi kesan negatif terhadap integriti syarikat serta pasaran modal Malaysia, yang penting untuk memacu pertumbuhan dalam negara.

    Oleh itu, beliau berkata, pihaknya merayu kepada kerajaan dan penguatkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap pembohongan berkenaan.

    “Kumpulan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan tidak berasas ini untuk melindungi integriti syarikat kami.

    “Jika tuduhan tidak berasas ini membawa kepada pemergian pelabur terkemuka dan pemimpin berwibawa seperti Kim Yew dan Saiful Nizam, akan ada kesan merosakkan kepada reputasi kumpulan, prestasi kewangan dan juga harga saham kami. Oleh itu, saya merayu agar Kim Yew dan Saiful Nizam kekal bersama kumpulan,” katanya.

    Azmi menambah, SMTrack Bhd turut menafikan pembabitan dalam projek RFID di plaza tol, sekali gus mengecam tuduhan tidak berasas terhadapnya berhubung perkara itu.

    Pakar penyelesaian RFID itu berkata, ia kebiasaannya tidak memberikan maklum balas terhadap berita sensasi dari Internet, namun tuduhan semasa memberikan reputasi yang teruk terhadap integriti SMTrack dan menjejaskan keyakinan pelabur.

    Katanya, sebagai syarikat pakar dalam penyelesaian RFID, sudah tentu ia percaya pada nilai tambah yang akan dibawa oleh teknologi itu kepada komuniti.

    Malah, beliau berkata, SMTrack yakin bahawa pengenalan RFID di plaza tol akan meningkatkan kecekapan dan trafik memandangkan ujian yang betul dijalankan dan ia sudah digunakan selama lebih dua tahun.

    “Perjalanan akan menjadi lancar dan ini adalah sesuatu yang kami percaya syarikat boleh membantu menyumbang kepada projek itu, dengan matlamat utama untuk menyumbang kepada kemudahan orang ramai. Bagaimanapun, pada ketika ini, kami tidak terbabit dalam projek itu,” ujarnya.

  • MyCC pantau pelaksanaan RFID jika ada isu persaingan

    MyCC pantau pelaksanaan RFID jika ada isu persaingan

    SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) akan memantau pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di bawah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go Sdn Bhd agar kepentingan pengguna lebuh raya terpelihara.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata, walaupun inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol ini dialu-alukan, MyCC percaya bahawa pelaksanaan sistem itu perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mencapai objektifnya.

    Menurut beliau, MyCC mengambil maklum tentang rancangan untuk memastikan peralihan lancar kepada RFID untuk pengguna lebuh raya dan kerjasama antara PLUS dan Touch ‘n Go dalam sistem kutipan tol.

    “Memandangkan terdapatnya peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya dalam mesyuarat yang sama mengenai pelaksanaan tersebut termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit tetapi juga sistem e-dompet yang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Iskandar mengulas tentang hasil perjumpaan antara MyCC dengan PLUS dan Touch ‘n Go pada 17 Januari lalu berhubung pelaksanaan RFID.

    Perbincangan itu merupakan satu inisiatif yang diambil oleh MyCC untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut berkenaan perlaksanaan tersebut serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID.

    Beliau menambah, MyCC juga akan menumpukan usahanya dengan memantau secara konsisten perkembangan pelaksanaan tersebut selaras dengan peranannya dalam memperjuangkan dan mempromosikan persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.

    “Dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran-pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari masa ke semasa dan apabila sebarang isu persaingan telah dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.

    “Seterusnya, adalah penting untuk diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian.

    “Oleh itu, MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna,” jelasnya.

    Sejak Isnin lalu, ramai netizen berkongsi kekesalan mereka akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk akibat kegagalan beberapa kenderaan melepasi imbasan RFID di plaza tol.

    Kesesakan bertambah teruk pada waktu puncak ketika ramai pengguna lebuh raya mahu ke tempat kerja masing-masing.

    Kelmarin, PLUS dalam satu kenyataan menjelaskan, pengguna lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.

    Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go (TNG) yang terdekat akan disediakan dan jika masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TNG akan menggantikannya dengan tag RFID baru secara percuma.

    PLUS juga berjanji akan melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan RFID.

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, baru-baru ini memaklumkan sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.

  • PLUS dalam usaha tambah baik teknologi RFID

    PLUS dalam usaha tambah baik teknologi RFID

    ANALISIS data, pemantauan semasa dan kajian dalam usaha menambah baik penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua laluan lebuh raya adalah langkah-langkah yang diambil oleh PLUS Malaysia Berhad.

    PLUS dalam kenyataan hari ini berkata, langkah-langkah terbabit diambil bagi memastikan pelanggan yang menggunakan RFID di laluan lebuh rayanya menerima pengalaman yang terbaik dan perjalanan yang mudah serta lancar.

    “Pembayaran tol menggunakan sistem RFID yang sudah dilaksanakan di seluruh rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan baru-baru ini, menerima pelbagai maklum balas, sama ada yang menyambut baik usaha ini dan ada juga yang memberi pandangan untuk penambahbaikan.

    “Pada peringkat awal pelaksanaan sistem ini, pembantu khidmat pelanggan dan kakitangan teknikal PLUS bersiap siaga terutama sekali di plaza tol yang kritikal dan pada waktu puncak untuk membantu pelanggan yang menggunakan lorong RFID untuk mencapai pengalaman perjalanan yang lebih baik,” jelas PLUS dalam ciapan Twitter hari ini.

    Pagi tadi ramai netizen berkongsi kekesalan mereka akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk akibat kegagalan beberapa kenderaan melepasi imbasan RFID di plaza tol.

    Antara plaza tol yang dilaporkan mengalamani masalah tersebut adalah Sungai Besi dan Senawang.

    Kesesakan bertambah teruk pada waktu puncak ketika ramai pengguna lebuh raya mahu ke tempat kerja masing-masing.

    Semalam, PLUS dalam satu kenyataan menjelaskan, pengguna lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.

    Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go (TNG) yang terdekat akan disediakan dan jika masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TNG akan menggantikannya dengan tag RFID baru secara percuma.

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, kelmarin memaklumkan sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.

  • LLM sedia bincang kurangkan harga pelekat RFID

    LLM sedia bincang kurangkan harga pelekat RFID

    KERAJAAN sedang berusaha meredakan kemarahan para pengguna lebuh raya berhubung masalah yang dicetuskan oleh penggunaan pelekat identifikasi frekuensi radio (RFID).

    Memetik laporan FMT, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersedia mengadakan pertemuan dengan PLUS dan Touch ‘n Go untuk membincangkan pengurangan harga pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

    Antara masalah yang dikenal pasti adalah pelekat RFID mudah rosak sehingga menyebabkan ia sukar dikesan oleh alat pengimbas di plaza tol.

    “Ia dilekatkan pada bahagian luar cermin atau lampu hadapan. Masalahnya adalah ia cepat lusuh. Ia boleh rosak selepas kereta dicuci beberapa kali,” kata sumber kepada FMT.

    Sumber berkenaan mengakui perkara itu menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna jalan raya berhubung kos untuk beralih kepada penggunaan RFID.

    “Idea unuk beralih kepada RFID daripada Touch ‘n Go dan SmartTAG bagus, tetapi semuanya mestilah berjalan lancar.

    “Kerajaan telah memberitahu PLUS dan Touch ‘n Go supaya memastikan semua berjalan secara teratur,” jelasnya.

    FMT memaklumkan cuba menghubungi pihak Touch ‘n Go untuk mengulas perkara itu.

    Kelmarin, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu, Touch ‘n Go dan PLUS supaya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah yang timbul akibat penggunaan sistem pembayaran RFID.

    Ini susulan maklum balas orang ramai berhubung kesesakan teruk di sesetengah plaza tol selepas RFID mula digunakan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Plaza Tol Juru di Pulau Pinang ke Plaza Tol Skudai di Johor.

    PLUS memberitahu bahawa sekurang-kurangnya satu laluan RFID disediakan di setiap 83 plaza tol di sepanjang laluan sejauh 657 kilometer (km) itu.

    Media dalam talian dan warga net melaporkan keadaan trafik di beberapa plaza tol seperti di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Besi dikatakan sesak, didakwa berpunca daripada penggunaan RFID.

    Pada 16 Dis 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Jan 2022.

  • RFID: PLUS perlu selesai isu kesesakan plaza tol

    RFID: PLUS perlu selesai isu kesesakan plaza tol

    MENTERI Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan PLUS Malaysia Bhd (PLUS), mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

    Menurutnya, RFID itu sedang dilaksanakan secara rintis oleh syarikat konsesi PLUS dan ia dibekalkan oleh syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd (TnG).

    “Saya telah hubungi mereka (PLUS dan TnG) selepas mendapat aduan, dan meminta mereka jelaskan kepada orang ramai serta cari penyelesaian…penyelesaian kepada segala isu berbangkit kepada pelaksanaan (RFID) ini,” katanya.

    “Apabila ia projek rintis, ada beberapa perkara akan lalui dan perlu selesaikan,” kata Fadillah ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 di Dengkil hari ini

    Media dalam talian dan warga net melaporkan keadaan trafik di beberapa plaza tol seperti di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Besi dikatakan sesak, didakwa berpunca daripada penggunaan RFID.

    Pada 16 Dis 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Jan 2022.

    Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

    RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet, tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai,

    Fadillah berkata, pelaksanaan RFID itu adalah projek rintis iaitu dengan bilangan tol terhad dipasang teknologi RFID, manakala lorong kad TnG dan SmartTAG masih lagi dikekalkan.

    “Kita belum wajibkan untuk gunakan RFID dan ia terserah kepada orang ramai untuk gunakan,” katanya.

    Beliau memberi jaminan bahawa KKR akan sentiasa memantau perkara tersebut dan mengambil serius aduan, supaya ia tidak menyusahkan pengguna sebaliknya kemudahan. – BERNAMA

  • Jangan paksa pengguna lebuh raya guna RFID

    Jangan paksa pengguna lebuh raya guna RFID

    KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) tidak sepatutnya memaksa pengguna lebuh raya bertol menggunakan teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID).

    Ketua Aktivus Persatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamarudin Hussain berkata, penggunaan kad TnGo dan peranti Smart Tag sepatutnya dikekalkan.

    Menurut beliau, para pengguna seharusnya diberi peluang memilih perkhidmatan yang ingin mereka gunakan.

    “Apakah KKR akan membayar semula kerugian yang bakal dihadapi oleh puluhan juta pengguna yang selama ini telah mengeluarkan wang mereka untuk membeli kad TnGo dan mesin Smart Tag?

    “Adakah KKR tidak mempedulikan kerugian yang bakal rakyat hadapi kelak?” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

    Kamarudin berkata, KKR perlu memberi fokus kepada masalah yang lebih penting daripada mengunakan kuasa yang ada untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu.

    Beliau menambah, kebanyakan lebuh raya yang ketika ini masih mengekalkan dua lorong yang perlu ditingkatkan kepada empat lorong atau setidak-tidaknya tiga lorong.

    “Jumlah tol yang ketika ini tidak mencukupi sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan perlu ditambah agar masalah tersebut dapat diselesaikan,” katanya.

    Katanya, KKR juga perlu melihat kesesakan yang sering berlaku di hentian rehat dan rawat (RnR) khususnya untuk kenderaan berat juga perlu ditangani, bukannya membiarkan ia berlarutan.

    Semalam, KKR memaklumkan transaksi tol menggunakan RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Jan depan.

    Namun, kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID.