Tag: renjatan elektrik

  • Dua beradik maut terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumah

    Dua beradik maut terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumah

    DUA kanak-kanak lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumahnya di Kampung Teras Jernang, Kajang dalam kejadian petang semalam.

    Lapor Sinar Harian, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali berkata, tragedi menimpa dua beradik berumur 10 dan 11 tahun itu disaksikan oleh adik bongsu kepada mangsa.

    Menurutnya, kejadian berlaku semasa kedua-dua murid sekolah terbabit sedang bermain air di luar rumah selepas bapanya pergi ke kedai yang jaraknya kira-kira 1 hingga 2 kilometer.

    “Ada wayar elektrik pada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan terjatuh atas bumbung rumah.

    “Ketika mereka bermain di luar rumah, mangsa (berumur 11 tahun) terpegang besi ampaian baju dalam keadaan basah dan terkena renjatan elektrik.

    “Adiknya cuba bantu selamatkan abangnya, tapi turut terkena renjatan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian hari ini,

    Dalam pada itu, Norazlin Syahidah memaklumkan kedua-dua mangsa ketika ini masih berada di Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang dekat sini.

    Ujarnya, buat masa ini, pihak sekolah sedang melaksanakan kutipan derma kilat untuk membantu keluarga tersebut yang dikatakan asnaf tanpa pendapatan tetap.

    “Kutipan ini dilakukan bagi meringankan beban keluarga mangsa. Ibu bapa mangsa hanya bekerja sendiri, kutip botol, tin, tangkap ikan di sungai untuk dijual,” katanya.

    Orang ramai yang ingin membantu keluarga mangsa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun PIBG SK Bandar Baru Bangi iaitu 12100000758712 (Bank Muamalat Malaysia Berhad) sehingga 5 Oktober.

    Transaksi tersebut kemudiannya perlu dihantar kepada Norazlin Syahidah di talian 016746818 untuk pengesahan penerimaan dan rekod.

  • Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di pekarangan sebuah rumah di Kampung Numbak di Kota Kinabalu pagi tadi.

    Pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

    “Sepasukan empat anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian selepas pusat operasi JBPM Sabah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.03 pagi,” menurut kenyataan itu.

    Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut tiba di lokasi kejadian untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan operasi membantu mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.

    Menurut kenyataan itu, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pihak bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada 9.02 pagi.

    Kampung Numbak merupakan sebuah penempatan yang majoritinya terdiri daripada rumah atas air dan terletak lebih 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu. – BERNAMA