Tag: rempuh

  • Anggota pasukan kecemasan beri bantuan dirempuh kenderaan lain, 32 orang maut

    Anggota pasukan kecemasan beri bantuan dirempuh kenderaan lain, 32 orang maut

    SEKURANG-kurangnya 32 orang maut di tenggara Turki semalam dalam dua kejadian berasingan apabila pasukan kecemasan yang memberi bantuan kepada mangsa kemalangan di lebuh raya dirempuh kenderaan lain yang tidak dapat mengelak.

    Dalam kejadian pertama di wilayah Gaziantep, tenggara negara itu, 16 orang termasuk petugas kecemasan dan wartawan maut apabila sebuah bas merempuh lokasi kemalangan sebelum itu.

    Gabenor Davut Gul berkata, 20 orang cedera dalam kejadian itu dan diberikan rawatan.

    “Kira-kira pukul 10.45 pagi, sebuah bas terbabit kemalangan di sini,” kata Gul dari lokasi kejadian.

    Ketika anggota bomba, pasukan perubatan dan agensi lain sedang memberi bantuan kepada mangsa, sebuah lagi bas terbabit nahas 200 meter dari belakang.

    Namun bas itu tergelincir ke lokasi pertama kemalangan merempuh anggota kecemasan dan mangsa yang cedera di atas jalan raya.

    Sementara itu, dalam satu lagi kejadian di timur daerah Derik di Mardin, sebuah trak merempuh pasukan kecemasan yang memberi bantuan kepada mangsa kemalangan sebelum itu.

    Akibat kemalangan itu, Menteri Kesihatan Turki, Fahrettin Koca berkata, seramai 16 orang terbunuh manakala 29 lagi cedera dengan lapan daripadanya kritikal.

  • [VIDEO] Kereta rempuh pintu kaca kedai serbaneka

    [VIDEO] Kereta rempuh pintu kaca kedai serbaneka

    SEORANG lelaki dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh pintu kaca kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Bukit Rambai di Melaka malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, pemandu berusia 57 tahun terbabit baru sahaja selesai melakukan pengisian minyak di sebuah pam di stesen minyak berkenaan.

    “Sejurus menghidupkan enjin kereta untuk beredar, dia dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kereta jenis Proton Saga dipandunya hilang kawalan dan bergerak lurus seterusnya melanggar empat panel pintu kaca di lokasi kejadian.

    “Ketika kejadian keadaan cuaca baik dan kering. Mangsa dan orang awam yang berada di tempat kejadian juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian telah diperoleh daripada pengadu berusia 50 tahun yang juga pemilik stesen minyak itu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BERNAMA

  • Pemandu kereta rempuh khemah SJR diburu polis

    Pemandu kereta rempuh khemah SJR diburu polis

    SEKUMPULAN anggota keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Talak, Chabang Empat Tumpat berdepan detik cemas apabila sebuah kereta tiba-tiba merempuh khemah di kawasan itu.

    Dalam kejadian di kampung yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada pukul 11.45 pagi itu mengejutkan beberapa anggota keselamatan yang kemudiannya lari menyelamatkan diri.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, sebuah kereta Proton Iswara hitam secara tiba-tiba merempuh khemah di SJR berkenaan.

    Beliau berkata, anggota polis kemudiannya bertindak mengejar kenderaan terbabit apabila melihat pemandu mengundurkan kenderaannya.

    “Namun pemandu berjaya melepaskan diri dan gagal dikesan. Anggota sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan,” katanya hari ini.

    Ab Rashid berkata, tiada anggota tercedera akibat rempuhan itu dan hanya beberapa barangan rosak.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967.