Tag: Rembau

  • Ribuan telur ayam pecah, bertaburan atas lebuh raya

    Ribuan telur ayam pecah, bertaburan atas lebuh raya

    RIBUAN telur ayam pecah dan bertaburan di atas jalan raya selepas sebuah lori membawa muatan itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 242.6 Lebuhraya Utara Selatan(PLUS) arah utara dekat Rembau, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku selepas lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

    “Ia mengakibatkan lori itu terbalik dan muatan telur dibawanya bertaburan di atas jalan.

    “Pemandu lori iaitu lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

    Menurutnya, kesesakan lalu lintas bagi arah utara berpanjangan dalam tempoh kira-kira dua jam bagi tujuan pembersihan lokasi kemalangan.

  • PN tawar enam agenda tambahan untuk Rembau

    PN tawar enam agenda tambahan untuk Rembau

    CALON Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus Parlimen Rembau melancarkan manifesto tambahan bagi mengukuhkan peluang gabungan parti itu memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Tawaran itu yang dikenali sebagai Rembau Maju Bersama meliputi enam agenda berkaitan wanita, pelancongan, pendidikan, belia, budaya dan komuniti.

    Mohd. Nazree berkata, tawaran itu dibuat selepas beliau dan pasukan kempen parti itu turun padang menemui orang ramai sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu.

    “Semasa turun padang orang ramai telah menyatakan pelbagai isu dan hasrat mereka yang memerlukan perhatian oleh kerajaan. Berikutan itu saya telah merangka manifesto tambahan ini khusus untuk Parlimen Rembau bagi memenuhi hasrat rakyat tersebut,” katanya, semalam lapor BeritaBersatu.

    Menjelaskan lebih lanjut manifesto tambahan itu, Mohd. Nazree berkata, pihaknya bercadang mendirikan Pusat Pemerkasaan Wanita Rembau, Pusat Pelancongan Eko Rembau dan Pusat Pengembangan Pendidikan Komuniti Rembau.

    Katanya, selain itu pihaknya merancang mendirikan Pusat Kreativiti Pemuda Rembau, Perkampungan Budaya Rembau serta Pusat Integrasi Khidmat dan Bantuan Komuniti Rembau.

    Beliau menarik perhatian, kesemua agenda itu akan dilaksanakan secepat mungkin sekiranya PN berjaya meraih kerusi Parlimen Rembau dalam pilihan raya umum, Sabtu ini.

    “Kami berhasrat melaksanakan agenda ini secepat mungkin demi manfaat penduduk di Rembau. Ia tidak terlalu rumit malah munasabah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya memetik laporan Utusan Online.

    Mohd. Nazree akan berdepan saingan lima penjuru di Parlimen Rembau menentang Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), Jufitri Joha (Pakatan Harapan), Ramly Awalludin (Parti Pejuang Tanahair) dan S. Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).

  • Tragedi pergi pusat undi: Trak tentera terbalik, seorang parah

    Tragedi pergi pusat undi: Trak tentera terbalik, seorang parah

    SEORANG anggota tentera cedera parah dalam satu kejadian trak terbalik di Jalan Chengkau-Pilin, dekat sini, tengah hari tadi, ketika dalam perjalanan ke pusat pengundian awal di Port Dickson.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata trak Regimen ke-11 Kor Armor Diraja, Kem Syed Sirajuddin, Gemas itu membawa 24 anggota tentera berumur lingkungan 24 hingga 30 tahun.

    “Mereka dalam perjalanan ke pusat mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, untuk tujuan mengundi awal. Setibanya di tempat kejadian, trak berkenaan didakwa gagal dikawal dan terbalik. 

    “Susulan kejadian berkenaan, seorang anggota mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Rembau, empat berada di Zon Kuning (cedera sederhana) dan 19 lagi Zon hijau (cedera ringan). Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. – BERNAMA

  • UMNO akan cari tempat sesuai untuk KJ – Tok Mat

    UMNO akan cari tempat sesuai untuk KJ – Tok Mat

    UMNO akan mencari tempat sesuai untuk penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Khairy yang juga Menteri Kesihatan merupakan pemimpin muda berkaliber dan baik untuk negara dan sudah tentu UMNO tidak mahu beliau ‘hilang’ begitu sahaja.

    “Kita cuba cari tempat sesuai untuk beliau untuk bertanding di PRU15,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau, di Seremban hari ini.

    Terdahulu, pada mesyuarat sama, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dalam ucapan penggulungannya berkata beliau memberi laluan kerusi Parlimen Rembau kepada Mohamad pada PRU15.

    “Itu semangat kekeluargaan di Rembau, kami beradat. Alhamdulil     lah kita akan pastikan jentera di Rembau dipertingkatkan lagi, tiada isu kerusi Rembau lagi,” kata Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau.

    Mengenai mesyuarat perwakilan hari ini, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata parti itu perlu memberi tumpuan di beberapa kawasan yang mengalami kekalahan tipis pada PRU14.

    “Kita tidak cakap tentang sasaran kerusi,  sasaran kita nak menang jadi mesti melepasi 112 kerusi supaya dapat tubuhkan kerajaan pada PRU15 ini.

    “Kalau boleh menang banyak, lagi baik dan kawasan dulu yang kalah tipis perlu diberikan tumpuan yang lebih oleh pimpinan di kawasan tersebut,” katanya.- BERNAMA

  • Isteri Undang Luak Rembau meninggal dunia

    Isteri Undang Luak Rembau meninggal dunia

    TOK Puan Siti Ramalah Yunus, isteri kepada Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja, Datuk Muhamad Sharip Othman meninggal dunia pagi tadi akibat kegagalan buah pinggang.

    Datuk Perba, Abdul Razak Mohd Yassin berkata, Allahyarhamah, 77, meninggal dunia di kediaman rasmi Datuk Undang Luak Rembau kira-kira 9.15 pagi tadi.

    “Jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan selepas asar. Allahyarhamah dan Datuk Muhamad Sharip memiliki enam anak lelaki,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Jenazah akan disolatkan di surau Balai Kediaman Rasmi Undang Luak Rembau sebelum dibawa ke Kampung Mungkal, Rembau untuk dikebumikan. – BERNAMA

  • JPKKP bantu masyarakat tanpa mengira fahaman politik

    JPKKP bantu masyarakat tanpa mengira fahaman politik

    SEMUA Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) di daerah Rembau diminta membantu semua anggota masyarakat tanpa mengira fahaman politik mereka.

    Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Rembau, Datuk Seri Dr Awaludin Said berkata, keutamaan sewajarnya diberikan terhadap usaha menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan masing-masing.

    “Kita kesal dengan perbuatan pihak tertentu yang melampirkan borang masuk parti bersama dengan borang permohonan bantuan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Pelantikan JPKKP Daerah Rembau di Rembau, hari ini.

    Yang turut hadir, ADUN Chembong, Datuk Zaiful Bahri Idris.

    Zaiful Bahri Idris bersama pengerusi-pengerusi JPKKP di DUN Chembong. – Gambar: Facebook Awaludin Said

    Terdahulu, dalam ucapannya, Zaiful Bahri membangkitkan tentang cubaan pihak tertentu yang ingin memancing penduduk yang memerlukan bantuan untuk menyertai parti politik mereka.

    Pihak terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan rejim Pakatan Harapan (PH) yang menguasai Negeri Sembilan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Pada majlis tersebut, sebanyak 44 JPKKP di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota dan DUN Chembong menerima surat pelantikan masing-masing yang disampaikan oleh Dr Awaludin dan Zaiful Bahri.

    Pelantikan mereka berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu dan diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Sebahagian pengerusi dan setiausaha JPKKP di sekitar Rembau yang menghadiri Majlis Penyampaian Surat Pelantikan JPKKP Daerah Rembau di Rembau, hari ini.

    JPKKP memainkan peranan penting selaku pemudahcara dalam pelaksanaan program dan aktiviti sosioekonomi di bawah kerajaan Persekutuan khususnya yang di bawah KPLB.

    Jawatankuasa tersebut dibentuk di tiga negeri yang masih dikuasai rejim PH iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    Cadangan mewujudkan JPKKP timbul selepas rejim PH tumbang di peringkat kerajaan Pusat selepas berkuasa selama hanya 22 bulan.