Tag: reman

  • Pegawai kanan majlis perbandaran, kontraktor direman kes rasuah RM200,000

    Pegawai kanan majlis perbandaran, kontraktor direman kes rasuah RM200,000

    SEORANG pegawai kanan Jabatan Kejuruteraan di sebuah majlis perbandaran di Kedah dan seorang kontraktor direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan jumlah RM200,000 dua tahun lalu. 

    Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Nur Fardrina Zulkhairi membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bermula hari ini sehingga 14 Ogos ini. 

    Kedua-dua suspek, lelaki masing-masing berusia 41 dan 48 itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang di sini, kira-kira pukul 11 pagi semalam. 

    Menurut sumber SPRM, pegawai kanan berusia 41 tahun itu dipercayai menyalahgunakan kuasanya bagi mencadangkan syarikat milik bapanya memperoleh projek yang dikeluarkan kerajaan pada 2019. 

    Katanya, suspek dikatakan membuat cadangan itu kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah membabitkan projek kerja menurap dan menyelenggara jalan di sebuah daerah di negeri ini. 

    Jelasnya, kontraktor lelaki berusia 48 tahun itu pula dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kes tersebut. 

    Kedua-dua tertuduh yang tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi ini dengan memakai baju SPRM diwakili peguam Parmjit Singh. 

    Difahamkan SPRM akan memanggil beberapa orang saksi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

  • Salah guna kuasa: Pengurus Felda direman lima hari

    Salah guna kuasa: Pengurus Felda direman lima hari

    Oleh:Bernama

    SEORANG pengurus Felda direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan projek pertanian berjumlah RM64,739.

    Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Kuantan Humairah KM Haider selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

    Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pahang, di sini, selepas hadir memberi keterangan kira-kira 7 malam semalam.

    Suspek yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan pada 9.30 pagi dengan berkemeja-T lokap SPRM, disyaki menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perolehan Rancangan (JKPR) melantik syarikat yang mempunyai kepentingan dengan dirinya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim mengesahkan penahanan lelaki itu dan menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – BERNAMA