Tag: reman

  • Penolong jurutera JKR direman bantu siasatan terima rasuah lebih RM500,000

    Penolong jurutera JKR direman bantu siasatan terima rasuah lebih RM500,000

    SEORANG penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah berjumlah RM516,325, antara 2018 hingga 2022.

    Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu yang berkhidmat di Bahagian Jalan jabatan tersebut.

    Suapan yang dibuat dalam jumlah RM1,000 hingga RM95,000 itu didakwa sebagai balasan untuk mencadangkan syarikat proksi seorang kontraktor sebagai subkontraktor bagi projek pembaikan cerun dan membantu mendapatkan bayaran tuntutan.

    Lelaki itu ditahan 6.55 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.- BERNAMA

  • Disyaki terima rasuah Mitsubishi Lancer CT9A, penolong jurutera PBT direman

    Disyaki terima rasuah Mitsubishi Lancer CT9A, penolong jurutera PBT direman

    SEORANG penolong jurutera kanan di Majlis Perbandaran Bentong direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana dipercayai menerima rasuah iaitu sebuah kereta Mitsubishi Lancer CT9A pada 2021.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Aisyah Ahmad terhadap lelaki berumur 49 tahun itu.

    Suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Raub semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Lelaki berkenaan dipercayai telah menerima kenderaan itu daripada seorang kontraktor yang telah mendapat projek di bawah seliaannya dengan membocorkan maklumat anggaran harga jabatan kepada kontraktor itu bagi pengisian borang tender.

    Terdahulu, seorang kontrator lelaki berumur 44 tahun turut direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes sama selepas ditahan di SPRM Cawangan Raub pada Isnin.

    Dalam kes berasingan, dua kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM5,940.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah terhadap suspek lelaki dan wanita masing-masing berumur 41 dan 42 tahun.

    Mereka ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM di sini, semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Pada 23 Feb 2022, lelaki terbabit selaku ketua jabatan bersama wanita yang berkhidmat sebagai penolong operasi dipercayai berpakat memperakukan kerja bagi menyediakan makan dan minum serta peralatan berkaitan untuk peserta kursus pada 24 dan 25 Feb 2022, sedangkan ia tidak dilaksanakan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan kesemua tangkapan berkenaan. – BERNAMA

  • Sarjan polis direman tujuh hari minta rasuah RM7,000

    Sarjan polis direman tujuh hari minta rasuah RM7,000

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta rasuah RM7,000, bagi melepaskan individu yang melakukan kesalahan memiliki air ketum.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman terhadap lelaki berusia 33 tahun itu yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. 

    Lelaki itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA

  • Tuntutan palsu lebih RM100,000, kakitangan sekolah direman 3 hari

    Tuntutan palsu lebih RM100,000, kakitangan sekolah direman 3 hari

    SEORANG kakitangan di sebuah sekolah di Johor yang ditahan semalam bagi membantu siasatan disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000, direman tiga hari bermula hari ini.

    Perintah reman hingga 9 Feb terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret R.Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ia bagi membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Semalam, SPRM Cawangan Batu Pahat menahan individu itu di pejabat SPRM di Johor Bahru pada 5 petang selepas hadir memberikan keterangan.

    Menurut sumber, pada 2021, individu itu menyediakan dokumen atas nama sebuah syarikat bagi menuntut bayaran kerja pembekalan modul bahan pengajaran dan pembelajaran untuk kegunaan pelajar sekolah itu bagaimanapun kerja pembekalan itu didapati tidak dilaksanakan. – BERNAMA

  • Pemandu lori lawan arus direman empat hari

    Pemandu lori lawan arus direman empat hari

    PEMANDU lori yang dipercayai memandu melawan arus dan berada di bawah pengaruh alkohol di Kilometer 5.5 Lebuh Raya Linkedua, petang semalam, direman selama empat hari mulai hari ini hingga Sabtu.

    Perintah reman terhadap lelaki berumur 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurzihan Abdul Rehman di Mahkamah Majistret Johor Bahru, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin dilaporkan berkata lelaki berkenaan ditahan petang semalam selepas menerima laporan mengenai sebuah lori yang dipandu melawan arus di Linkedua, Iskandar Puteri, sehingga menyebabkan kemalangan ke atas dua kereta yang datang dari arah bertentangan.

    Menurut siasatan awal, kejadian pada 4.30 petang itu dipercayai berlaku apabila pemandu lori berkenaan dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Pelabuhan Tanjung Pelepas tetapi telah terlepas susur ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

    Beliau berkata pemandu lori berkenaan kemudiannya memandu melawan arus untuk masuk semula ke susur Pelabuhan Tanjung Pelepas dan bertembung dengan dua kereta jenis Mercedes Benz dan Nissan Almera, yang berada di laluan itu sehingga menyebabkan seorang daripada pemandu kereta berkenaan cedera. – BERNAMA

  • Mayat lelaki dalam bonet kereta: Tujuh warga asing direman

    Mayat lelaki dalam bonet kereta: Tujuh warga asing direman

    TUJUH warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam bonet kereta di Jalan Tugu di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata permohonan reman sehingga 5 Sept itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini.

    “Kebenaran reman ini akan membantu polis dalam menyiasat motif pembunuhan dan setakat hari ini tiada tangkapan baharu dilakukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata proses bedah siasat mayat mangsa belum selesai dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Semalam polis menahan lima lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga asing berusia 20 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun itu.

    Media melaporkan mayat lelaki dipercayai pemandu e-hailing ditemukan dengan kaki diikat menggunakan kain serta kesan cedera pada muka dan telinga dalam bonet Perodua Bezza yang ditinggalkan di Jalan Tugu kira-kira 6.30 pagi. – BERNAMA

  • Reman tiga lelaki pukul guru pusat tahfiz disambung

    Reman tiga lelaki pukul guru pusat tahfiz disambung

    REMAN tiga lelaki yang ditahan berhubung kes serangan terhadap seorang guru di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, Kuala Lipis, Pahang, Khamis lalu, disambung dua hari lagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, tempoh reman ketiga-tiga suspek berusia 30-an terbabit disambung sehingga Khamis ini selepas permohonan reman sebelum ini tamat, hari ini.

    “Kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi ini. Kita akan maklumkan semula (kepada media) tarikh pertuduhan kes terbabit,” katanya memetik laporan Harian metro.

    Kesemua suspek terbabit ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, Terengganu serta Bandar Jengka, Pahang, bermula 1 pagi hingga 8 pagi, Sabtu lalu.

    Ia susulan kes tular seorang guru yang cedera selepas diserang lima lelaki kerana tidak berpuas hati soal pembayaran makanan.

    Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang Khamis lalu, suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan yang mana tiga suspek menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga premis terbabit.

  • Penjawat awam direman bantu kes rasuah RM35,000

    Penjawat awam direman bantu kes rasuah RM35,000

    SEORANG penjawat awam direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berjumlah RM35,000.

    Suapan itu dipercayai sebagai balasan untuk membantu kes mahkamah yang dikendalikan oleh lelaki berusia 40-an berkenaan, yang bertugas di bahagian penguatkuasaan sebuah jabatan kerajaan di Terengganu.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Diana Abd Aziz setelah mendapat permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

    Menurut sumber SPRM, lelaki berkenaan ditahan pada 4.15 petang semalam di sekitar Kuala Terengganu, lanjutan daripada operasi yang dijalankan oleh pihak SPRM negeri.- BERNAMA

  • Reman doktor jual sijil vaksin palsu sambung 2 hari

    Reman doktor jual sijil vaksin palsu sambung 2 hari

    PERINTAH tahanan reman terhadap seorang doktor klinik swasta yang didakwa menjual sijil vaksinasi COVID-19 palsu di Terengganu disambung dua hari lagi oleh Mahkamah Majistret Marang.

    Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan tahanan reman dilanjutkan sehingga Khamis ini terhadap doktor lelaki berusia 51 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dijalankan pihak polis.

    Sabtu lepas doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik berkenaan untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu itu.

    Doktor berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar. – BERNAMA

  • Pengasuh hempas kepala bayi direman enam hari

    Pengasuh hempas kepala bayi direman enam hari

    SEORANG pengasuh wanita yang dipercayai menghempas kepala bayi berusia tujuh bulan sehingga mengalami kecederaan parah direman enam hari bermula semalam.

    Perintah reman hingga 29 September ini dikeluarkan ke atas suspek berusia 22 tahun bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika memaklumkan perkara itu turut memberitahu perkembangan keadaan mangsa.

    “Bayi masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil,” katanya kepada BH, hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang pengasuh wanita tempatan disyaki mendera dan cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan.

    Berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

    Suspek bertindak demikian kerana mangsa tidak berhenti menangis baru-baru ini.

    Mior Faridalathrash dipetik sebagai berkata, pada pukul 3.03 pagi Khamis, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan.

    Beliau berkata, menurut laporan itu, pukul 7.10 pagi Rabu, mangsa telah dihantar bapa kandungnya ke rumah pengasuh di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, dalam keadaan sihat dan baik.

    “Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada pukul 2.35 petang untuk datang semula ke rumah pengasuh untuk mengambil mangsa kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker’.

    “Setibanya ke rumah pengasuh, bapa mangsa mendapati kepala bayinya mengalami kesan bengkak dan dimaklumkan bahawa mangsa terjatuh ketika didukung.

    “Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan didapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepalanya retak,” katanya.

    Polis kemudiannya bertindak menahan suspek.