Tag: remaja

  • Seramai 866 remaja, kanak-kanak dijangkiti COVID-19 di Sabah

    Seramai 866 remaja, kanak-kanak dijangkiti COVID-19 di Sabah


    SERAMAI 866 orang daripada keseluruhan 3,224 kes positif COVID-19 direkodkan di Sabah semalam adalah remaja serta kanak-kanak berusia 17 tahun dan ke bawah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

    Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata, daripada jumlah itu, seramai 565 orang berumur enam hingga 17 tahun, 268 orang berusia satu hingga lima tahun, manakala 33 orang berusia kurang setahun.

    “Kesemua 866 orang didapati positif COVID-19 ini masih belum layak untuk diberikan vaksin. Sehingga semalam, 53.9 peratus penduduk dewasa Sabah telah memperoleh satu dos vaksin dan 32.5 peratus telah melengkapkan pengambilan dua dos,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

    Beliau berkata, daripada jumlah kes direkodkan semalam juga seramai 2,119 orang positif pandemik itu berusia antara 18 hingga 59 tahun, manakala 239 orang adalah warga emas berusia 60 tahun atau lebih.

    Masidi berkata, seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat dengan Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi hari ini iaitu 630 kes, Penampang (413) dan Tuaran (348).

    “Dengan jumlah catatan sebanyak 2,098 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.

    Beliau berkata, jumlah kes dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan di Sabah mencapai 131,030 kes, manakala seramai 2,020 pesakit COVID-19 sembuh semalam menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 101,624 dan 4,763 pesakit sedang menerima rawatan.– BERNAMA

  • PICK akan mulakan vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun – KJ

    PICK akan mulakan vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun – KJ

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan memulakan proses vaksinasi kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, kata Menteri Penyelarasnya Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata PICK akan memulakan vaksinasi mengikut keutamaan iaitu remaja (12 hingga 17 tahun) yang mempunyai masalah penyakit kronik, diikuti individu remaja (12 hingga 17 tahun) tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.

    Khairy berkata kaedah ini dilaksanakan mengikut saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    “Pengumuman akan dibuat minggu depan oleh @JKJAV tentang bagaimana vaksinasi COVID-19 untuk remaja akan dilaksanakan selari dengan pekeliling @DGHisham dan garis panduan klinikal terkini,” kata Khairy menerusi satu ciapan di laman Twitter.- BERNAMA

  • Empat pelajar tingkatan 4 antara 15 remaja ditahan terbabit parti liar

    Empat pelajar tingkatan 4 antara 15 remaja ditahan terbabit parti liar

    SEBANYAK 15 remaja termasuk empat pelajar tingkatan empat ditahan selepas disyaki terbabit dalam parti liar dalam satu serbuan di sebuah kondominum mewah di Seksyen 7, Shah Alam di sini, awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, hasil dari aduan awam bahawa terdapat sejumlah individu berkumpul di lokasi terbabit, polis telah melakukan serbuan sekitar 1.30 pagi dan mendapati empat daripada mereka adalah remaja yang masih bersekolah.

    Katanya, ketika serbuan dibuat, suspek berumur antara 16 hingga 20 tahun dilihat dalam keadaan berkhayal dipercayai di bawah pengaruh dadah dan keletihan setelah berparti dari pukul 9 malam.

    “Pihak polis telah merampas satu peket disyaki ganja dengan anggaran berat 2.3 gram di lokasi kejadian.

    “Unit kondominium mewah tersebut disewa oleh salah seorang suspek dengan kadar RM200 semalam dan semua suspek berhubung menggunakan aplikasi WeChat,” katanya hari ini.

    Baharuddin berkata, semakan juga mendapati tiga termasuk penganjur parti liar itu yang bekerja sebagai penghantar makanan mempunyai satu rekod lampau membabitkan dadah.

    Ujarnya, hasil ujian saringan awal polis yang dijalankan mendapati seramai lapan remaja lelaki positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), amphetamine, methamphetamine dan benzo.

    “Kesemua mereka kemudiannya dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

    Sementara itu, Baharudin berkata, Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari ini telah membenarkan reman ke atas mereka yang terlibat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.