Tag: remaja perempuan

  • Pekerja kontrak didakwa culik remaja perempuan di pagi raya

    Pekerja kontrak didakwa culik remaja perempuan di pagi raya

    SEORANG pekerja kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini, selepas dituduh menculik remaja perempuan pada pagi Aidilfitri, Sabtu lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, tertuduh, Mohamad Khairul Firdaus, 26, dari Pekan, Pahang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

    Mengikut kertas pertuduhan, pada pukul 5.30 pagi, 22 April lalu, di hadapan sebuah rumah di gugusan Felda Raja Alias, Bandar Seri Jempol di Jempol dia didapati menculik remaja perempuan berusia 14 tahun daripada penjaga yang sah.

    Susulan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

    Selain itu, tertuduh diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Mei ini di Mahkamah Majistret Bahau.

  • 248 jam terperangkap runtuhan gempa, remaja perempuan ditemui selamat

    248 jam terperangkap runtuhan gempa, remaja perempuan ditemui selamat

    KISAH keajaiban terus dilaporkan berlaku di lokasi terjejas gempa di Turkiye apabila mangsa masih hidup ditemukan walau sudah lebih seminggu terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan.

    Kali ini, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun selamat dibawa keluar dari runtuhan bangunan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas lebih 248 jam terperangkap di Antakya, Turkiye hari ini.

    Astro AWANI yang memetik agensi antarabangsa, mangsa itu berjaya ditemui, namun dikatakan dalam keadaan lemah akibat kecederaan dan dehidrasi.

    Mangsa dilihat dibawa keluar dari kawasan runtuhan, ditutup dengan selimut haba oleh pasukan menyelamat sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Sebelum ini, beberapa mangsa turut ditemui selamat di sekitar Turkiye, sekali gus dilihat menjadi penyuntik semangat buat pasukan SAR terus mempertingkatkan usaha mereka.

    Bagaimanapun, belum ada angka rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Turkiye dan Syria berhubung jumlah sebenar mangsa yang masih hilang.

    Sehingga kini, lebih 42,000 mangsa disahkan maut dalam kejadian gempa bumi di dua negara itu dan lebih 12,000 bangunan di Turkiye dilaporkan hancur atau rosak.

  • Polis sahkan kehilangan remaja perempuan di Sepang

    Polis sahkan kehilangan remaja perempuan di Sepang

    POLIS mengesahkan kehilangan seorang remaja perempuan dari Taman Salak Maju di Sepang, yang ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata laporan kehilangan Salsabila Putri Mad Nasir, 13, dibuat oleh abang remaja itu Mohammad Fitra Mad Nasir, di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, kira-kira pukul 10 pagi semalam.

    “Menurut laporan yang dibuat abangnya, kehilangan Salsabila Putri disedari pada pukul 2.30 pagi semalam (25 Dis).

    “Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Kamarul Azran berkata menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan homestay itu mendapati, Salsabila Putri telah keluar rumah dengan berpakaian serba hitam dan berjumpa dengan seorang lelaki, yang telah membawa remaja itu keluar daripada kawasan perumahan tersebut.

    “Pengadu juga telah menghubungi adiknya beberapa kali tetapi tidak dapat,” katanya.

    Sementara itu, Mohammad Fitra ketika dihubungi berkata sebelum kejadian, adik bongsu dari enam beradik itu tidak merajuk atau bergaduh, dengan mana-mana ahli keluarga.

    “Kami sekeluarga baru sampai dari Pulau Pinang dan kami datang ke sini untuk bercuti.

    “Adik saya berketinggian 165 sentimeter dengan anggaran berat 50 kilogram,” katanya, menambah semasa keluar dari homestay itu, Salsabila Putri berpakai serba hitam, berpelitup muka warna kelabu dan kasut bewarna kelabu.

    Mohammad Fitra berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai adiknya untuk menghubungi beliau di talian 017-4807301 atau 011-11232617. – BERNAMA

    orang hilang, polis, Wan Kamarul Azran, Salsabila Putri

  • Remaja perempuan 18 tahun ‘bookie’ Piala Dunia ditahan

    Remaja perempuan 18 tahun ‘bookie’ Piala Dunia ditahan

    POLIS menahan dua orang ‘bookie’pertaruhan keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 dan ejen nombor loteri haram dalam serbuan di Matang Jaya, dekat Kuching, petang semalam.

    Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun antara bookie ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan ke sebuah kedai makan, kira-kira pukul 3.45 petang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, suspek disyaki menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak dan ejen nombor loteri tanpa lesen.

    Katanya, suspek turut mengaku melakukan kesalahan tersebut.

    “Polis turut merampas dua unit telefon, empat keping kertas jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 serta wang tunai berjumlah RM420,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Abang Zainal Abidin berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dalam serbuan kedua di sebuah gerai buah-buahan pada pukul 4.45 petang.

    Katanya, suspek juga dipercayai menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak dan ejen jual nombor loteri tanpa lesen.

    “Polis merampas dua telefon bimbit dan wang tunai RM540,” katanya.

    Beliau menambah, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.