Tag: Remaja maut

  • Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA remaja lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Kilometer 111.3, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dekat Sungai Petani, Kedah, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang berusia 19 dan 16 tahun maut di lokasi kejadian.

    Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

    “Siasatan awal dijalankan mendapati kesemua motosikal tersebut ditunggang secara laju dalam jarak dekat sebelum hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri.

    “Kejadian itu mengakibatkan motosikal berkenaan terbabas ke tengah-tengah laluan lebuh raya dengan dua daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

    Tamabhnya, dua lagi mangsa yang berusia 18 dan 19 tahun, dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya seorang daripada hanya mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di zon hijau manakalah seorang lagi turut mengalami kecederaan parah menyebabkannya dimasukkan ke zon kuning.

    “Mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke unit forensik HSAH untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Kereta rempuh kedai runcit: Remaja maut, tiga lagi selamat

    Kereta rempuh kedai runcit: Remaja maut, tiga lagi selamat

    REMAJA lelaki maut manakala tiga lagi selamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh kedai runcit di Kampung Morak di Tumpat, awal pagi tadi.

    Dalam kejadian 1.30 pagi itu, remaja berkenaan yang juga penumpang kereta berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kerana tersepit.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah dalam satu kenyataan berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika Proton Saga itu yang dipandu remaja berusia 17 tahun dalam perjalanan dari Kampung Semat Jal menghala ke Kampung Kebakat.

    Katanya, kenderaan dipercayai hilang kawalan ketika pemandu menukar gear apabila menghampiri bonggol dan ia meluru laju hingga terbabas ke kiri jalan serta melanggar kedai runcit.

    “Akibatnya empat mangsa berusia 15 hingga 19 tahun tersepit dan saksi mendakwa sempat melihat seorang penumpang keluar dari kereta itu dan melarikan diri,” katanya, lapor Harian Metro.

    Amran berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat, manakala tiga yang cedera dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, pemilik kedai runcit yang enggan dikenali berkata, dia baru hendak tidur apabila terdengar bunyi kuat dari luar rumah.

    “Hati sudah terdetik mengatakan berlaku kemalangan, namun tidak menyangka ia membabitkan kedai runcit saya yang terletak di sebelah rumah.

    “Alangkah terkejut saya apabila melihat kereta merempuh sebahagian kedai dan terperosok masuk ke dalam,” katanya yang memberitahu segera menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian itu.

    Katanya, dia menganggarkan kerugian berjumlah RM80,000 akibat insiden itu kerana turut merosakkan mesin memproses santan, peti ais dan mesin air bertapis.

  • Remaja maut, teman wanita parah motosikal langgar pokok

    Remaja maut, teman wanita parah motosikal langgar pokok

    SEORANG remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar sebatang pokok di Kilometer 11, Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung, pagi tadi.

    Semasa kejadian, remaja berusia 19 tahun itu sedang menunggang motosikal bersama-sama seorang wanita berusia 18 tahun dari Apartment Kenanga ke Sungai Choh.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mangsa telah hilang kawalan lalu melangar pokok di bahu jalan.

    “Akibat daripada kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat di bawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, pembonceng mengalami kecederaaan parah dan dibawa ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.

    “Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya memetik laporan Utusan TV.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.