Tag: remaja ditahan

  • 2 remaja ditahan hina pembuat kertas soalan Sejarah

    2 remaja ditahan hina pembuat kertas soalan Sejarah

    DUA remaja lelaki di Hulu Selangor ditahan polis bagi membantu siasatan video tular membabitkan pelajar sekolah menengah yang tidak berpuas hati dengan kertas soalan Sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, dua remaja berusia 18 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada guru wanita berusia 53 tahun pada pukul 10.53 pagi semalam.

    “Terdahulu, polis mengesan video tular di TikTok dan Facebook yang berlaku di daerah ini.

    “Video itu memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan SPM mata pelajaran Sejarah.

    “Pelajar itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan serta menghina Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Suffian berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor melakukan serbuan di rumah suspek dan menahan dua remaja lelaki warga tempatan.

    “Polis merampas sebuah telefon bimbit iPhone 11 dalam serbuan itu.

    “Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau,” katanya, lapor Harian Metrp.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

    Suffian menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran video terbabit yang menimbulkan kegusaran dan mengelirukan masyarakat sehingga tercetusnya perbalahan.

  • Remaja palsukan nombor plat elak bayar hutang

    Remaja palsukan nombor plat elak bayar hutang

    TINDAKAN dua remaja lelaki memalsukan nombor pendaftaran motosikal mereka mengundang padah apabila ditahan dalam OP Motosikal di Kuala Lumpur, awal pagi ini.

    Memetik laporan Harian Metro, seorang remaja terbabit memberi alasan sekadar untuk suka-suka menggunakan nombor pendaftaran 4Y1E (Ayie) namun perbuatannya itu menyalahi undang-undang.

    Seorang lagi remaja yang ditahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaannya bagi mengelak membayar hutang motosikal.

    Menurut Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, operasi dijalankan bermula pukul 2 pagi hingga 4 pagi di sekitar pusat bandar menahan remaja terbabit berusia 18 dan 19 tahun.

    “Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

    “Selain itu enam remaja lelaki berusia 16 hingga 21 tahun ditahan selepas terbabit dalam samseng jalanan,” katanya.

    Katanya, mereka dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

    “Tiga motosikal turut disita dan 106 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.