Tag: Recep Tayyip Erdogan

  • Gempa Turkiye, Syria: Hampir 1,800 terkorban, lebih 1,700 bangunan runtuh

    Gempa Turkiye, Syria: Hampir 1,800 terkorban, lebih 1,700 bangunan runtuh

    GEMPA bumi kuat dengan kekuatan 7.8 magnitud dan satu gempa susulan sekuat 7.6 magnitud meragut nyawa hampir 1,797 orang dan mencederakan ribuan penduduk Turkiye dan Syria, hari ini, meningkat berbanding lebih 500 sebelum ini.

    Kekuatan gempa itu pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan itu meranapkan lebih 1,700 bangunan ketika kebanyakan mangsa sedang nyenyak tidur.

    Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 17.9 kilometer berhampiran bandar Gaziantep dan dapat dirasai hingga Cyprus, Mesir dan Lebanon.

    Angka korban tragedi gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria, hari ini, terus meningkat kepada hampir 1,800 orang.

    Lapor AL Jazeera, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, sekurang-kurangnya 1,014 penduduk negara itu maut susulan bencana terbesar dalam tempoh dua dekad pemerintahannya.

    Pihak berkuasa mengisytiharkan amaran tahap 4 yang merayu bantuan antarabangsa.

    Pasukan mencari dan menyelamat sudah dikerah ke lokasi terjejas ketika pasukan tentera mewujudkan koridor udara membolehkan pasukan perubatan dan penyelamat sampai ke lokasi terkesan teruk.

    Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu berkata, terdapat sekurang-kurangnya enam gempa susuan dan menggesa penduduk tidak masuk ke bangunan yang rosak bimbang risiko tumbang.

    Media dan anggota penyelamat di Syria pula memaklumkan, sekurang-kurangnya 783 terkorban di negara itu yang turut menyaksikan bangunan ranap dalam insiden kali ini.

    Seorang mangsa terselamat di Syria, Osama Abdel Hamid, berkata beliau sekeluarga sedang tidur ketika gempa bumi melanda.

    “Saya segera mengejutkan isteri dan anak-anak sebelum kami berlari ke arah pintu sebelum keseluruhan bangunan runtuh,” katanya.

    Jurucakap Pertahanan Awam Syria, Ismail Alabdallah, berkata pasukan SAR masih giat meneruskan usaha mengesan dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri terperangkap di bawah rumah.

    “Banyak bangunan runtuh di bandar dan perkampungan sekitar barat laut Syria. Malah hingga kini, masih banyak mangsa terperangkap di bawah runtuhan,” katanya.

    Sementara itu, beberapa pemimpin antarabangsa sudah menawarkan bantuan kepada Turkiye dan Syria dengan 10 pasukan dari lapan negara Kesatuan Eropah sudah digerakkan ke Turkiye.

    Malaysia pada masa sama akan menghantar 75 anggota pasukan SMART bagi membantu misi SAR susulan gempa bumi di Turkiye.

  • ‘Virus’ Islamofobia sama bahaya dengan COVID-19

    ‘Virus’ Islamofobia sama bahaya dengan COVID-19

    PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Islamofobia sebagai virus yang sama bahaya dengan COVID-19.

    Memetik laporan Agensi Anadolu, Erdogan berkata demikian dalam pertemuan anjuran Jawatankuasa Pemandu Nasional Turki Amerika di New York City, semalam.

    Sehubungan itu, beliau menegaskan pendirian Turki akan mengambil peranan utama dalam memerangi Islamofobia di platform antarabangsa.

    “Kami sedang memerangi virus maut dan licik. Virus ini yang sama bahayanya dengan coronavirus, dikenali Islamofobia.

    “Virus ini menular dengan sangat cepat,” katanya.

    Erdogan menambah, Islamofobia berubah menjadi trend yang mengganggu kehidupan seharian umat Islam dan mengancam keamanan sosial.

    Sebelum menyampaikan ucapannya, beliau mengunjungi Turkevi Centre yang terletak di 821 First Avenue di Manhattan berhampiran ibu pejabat PBB yang akan dibuka dalam masa terdekat.

    Erdogan berkata, bangunan pencakar langit 36 tingkat itu adalah monumen kebanggaan yang akan berfungsi tidak hanya sebagai rumah bagi orang Turki tetapi juga untuk masyarakat Muslim Amerika.

    Bangunan yang bermotifkan seni bina tradisional Turki, terutama daripada Empayar Seljuk dapat dilihat dari pusat bandar Manhattan, East River dan Long Island.

    Ia direka sebagai pencakar langit simbolik yang akan menambah latar langit New York, antara bandar paling ikonik di dunia, dan mencerminkan budaya, sejarah dan kepelbagaian Turki.