Tag: R&D

  • MOSTI peruntuk hampir RM60j untuk R&D vaksin Covid-19

    MOSTI peruntuk hampir RM60j untuk R&D vaksin Covid-19

    KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan hampir RM60 juta bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin COVID-19 dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bekalan vaksin dari luar negara.

    Timbalan menteri berkenaan Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata daripada jumlah itu, RM54 juta disediakan kepada Malaysia Genome Institute (MGI), manakala RM2.5 juta bagi kumpulan pengkaji pembangunan vaksin menggunakan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA).

    “Peruntukan berjumlah RM2.5 juta lagi disediakan untuk tujuan pembangunan vaksin dari toksin kuman yang dinyahaktif di Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya selepas merasmikan program mobilisasi vaksin komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang Fasa 8.0 di Pantai Senok di sini hari ini.

    Beliau berkata menerusi R&D vaksin itu, kementerian menjangkakan vaksin tempatan akan dapat dikeluarkan dalam tempoh dua hingga lima tahun.

    Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata kementerian turut melaksanakan diplomasi sains dengan negara-negara luar serta universiti di luar negara bagi tujuan tersebut. 

    “Misalnya untuk kajian vaksin jenis mRNA, kita jalin kerjasama dengan Universiti Chulalongkorn, Thailand yang menjadi perintis pembangunan vaksin itu.

    “Proses ini melibatkan hubungan antarabangsa di mana kementerian dan pihak berkaitan perlu memainkan peranan yang penting untuk kejayaan pembangunan vaksin,” katanya.

    Ahmad Amzad juga berharap Malaysia bakal menjadi pengeluar dan pengimport vaksin terutama bagi pasaran negara-negara Islam. 

    “Kira berharap dengan melibatkan di peringkat awal Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kita akan mendapat manfaat sebab masyarakat Islam lebih yakin sekiranya vaksin dikeluarkan oleh negara Islam,” katanya.- BERNAMA

  • 90 peratus kawasan di Sarawak nikmati internet berkelajuan tinggi menjelang 2022

    90 peratus kawasan di Sarawak nikmati internet berkelajuan tinggi menjelang 2022

    KERAJAAN Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keseluruhan Sarawak dapat menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi menjelang 2022 menerusi pendekatan yang sedang dilaksanakan.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan tersebut akan dilaksanakan menerusi kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS). 

    “(Melalui pendekatan ini) kita akan dapat meningkatkan lagi kelajuan dan juga akses kepada seluruh kawasan sama ada di bandar atau di luar bandar (di Sarawak),” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (HIITS).

    Menurutnya kepentingan kesalinghubungan ini ditekankan dalam pelaksanaan Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak yang diumumkannya Julai lepas dan perlu dimanfaatkan anggota perkhidmatan awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada sektor swasta dan rakyat.

    “Strategi pembangunan ini akan membawa rakyat Sarawak mengalami pembangunan pesat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat dengan lebih banyak akses kepada peluang ekonomi,” katanya.

    Dalam pada itu, Abang Johari turut meminta agensi-agensi kerajaan lain di Sarawak untuk mencontohi langkah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak yang menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi bagi melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    JTS Sarawak dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai satu memorandum persefahaman dalam majlis itu untuk mewujudkan Makmal Satelit JTS-UTM bagi tujuan R&D, menerusi perkongsian teknologi, kepakaran, peluang latihan dan penyelidikan.

    “(Kerjasama) ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada UTM untuk mendalami situasi sebenar dalam industri malah akan memberikan manfaat besar kepada JTS untuk berpeluang menjalankan penyelidikan yang lebih teliti dan terperinci,” katanya.

     Katanya kepentingan aspek R&D semakin terserlah sewaktu negara menghadapi krisis pandemik COVID-19 dan menurutnya projek ekonomi digital yang dilancarkannya pada 2017 telah membolehkan Sarawak melaksanakan persiapan awal menghadapi keadaan ini.

    “Kalau kita tidak berinovasi, tiada R&D, tiada inisiatif untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan, mungkin kita akan mengalami krisis yang kritikal untuk berhadapan dengan situasi pada ketika ini, dalam keadaan pandemik COVID-19,” tambahnya.- BERNAMA