Tag: raya

  • Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

    Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

    SEORANG pelajar tahfiz maut, manakala 11 lagi cedera apabila van dinaiki mereka terbabas memasuki parit dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu pada 11.32 pagi tadi.

    Dalam kejadian itu, van jenis Ssangyong yang dinaiki pelajar tahfiz tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang daripada membeli pakaian raya di sebuah pasar raya berhampiran.

    Mangsa, Wan Ahmad Izzat Alauddin, 12, meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

    Ibu mangsa, Wan Noor Azilah Wan Sulaiman, 48, berkata dia yang tinggal di Kampung Tapang, di sini mengetahui berita kemalangan itu melalui aplikasi kumpulan WhatsApp pusat tahfiz berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

    “Saya sampai di tempat kejadian 20 minit kemudian, luluh hati apabila melihat tubuh anak telah ditutup. Dalam keadaan masih keliru, saya kuatkan diri untuk melihat juga keadaannya yang telah kaku dan berlumuran darah di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui pemberita di HUSM di sini hari ini.

    Wan Nor Azilah berkata sepatutnya dia akan menjemput anaknya malam ini untuk pulang beraya di kampung neneknya di Felda Ciku 7, Gua Musang.

    Katanya anak tunggal itu teruja memberitahunya untuk keluar membeli baju raya bersama rakan-rakan yang lain ketika menelefonnya malam tadi.

    “Saya tidak menyangka itulah kali terakhir saya bercakap dengannya. Walaupun sedih kehilangan satu-satunya anak, saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

    Wan Nor Azilah berkata jenazah Wan Ahmad akan dibawa pulang petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ciku 7.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Alam Nasut Ilias berkata pihaknya tiba di tempat kejadian pada 11.45 pagi dan mendapati seorang mangsa telah meninggal dunia, manakala 11 lagi pelajar dan seorang pemandu cedera.

    Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan, manakala mangsa yang meninggal dihantar ke HUSM untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • ‘Raya dengan nampak anak bulan, bukan buat kalendar awal-awal’ – UAI

    ‘Raya dengan nampak anak bulan, bukan buat kalendar awal-awal’ – UAI

    PENDAKWAH terkenal, Ustaz Azhar Idrus menempelak netizen yang ‘masuk campur’ dalam urusan penetapan Hari Raya Aidilfitri sehingga bertindak seolah-olah seperti mufti.

    Ini berikutan kenyataan dibuat pihak tertentu sebelum ini mengenai tarikh hari raya sehingga menimbulkan spekulasi dan kebimbangan dalam kalangan warga maya berhubung situasi raya mengejut yang mungkin berulang sebagaimana berlaku pada tahun lalu.

    Berdasarkan perkongsian video berdurasi 7 minit 59 saat di laman YouTube rasminya, Azhar menjelaskan, penentuan kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab).

    “Raya ini dengan nampak anak bulan bukan buat kalendar awal-awal. Mazhab-mazhab fiqh yang empat iaitu Mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki kena ikut rukyah, kena tengok anak bulan sama ada ke tidak.

    “Nabi kata muliakan puasa jika nampak anak bulan Ramadan, mula berhari raya jika nampak anak bulan Syawal. Kamu siapa nak ulas-ulas? Ini masalah tidak sedar diri.

    “Agama ikut kamu atau kamu ikut agama. Kalau nak ikut agama hendaklah kamu tengok pada 29 Ramadan. Kalau 29 Ramadan itu nampak anak bulan, esok tak ada 30 Ramadan, sudah 1 Syawal jadi raya mengejut,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

    Pada Jumaat, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

    Hebahan ini menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

    Ia susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.

    Sementara itu, Azhar mendakwa ramai netizen yang mahu tarikh hari raya ditetapkan awal bagi mengelakkan kesukaran dalam menghadapi raya mengejut termasuk tidak sempat menyiapkan tempahan kuih raya.

    “Jadi raya selama ni kena tengok kuih kamu ke macam mana? Raya mengejut ini apabila nampak anak bulan.

    “Kalau tak nampak (anak bulan) tak mengejut, lusa raya,” katanya.