Tag: rawatan

  • Pengerusi AIM, Lajim Ukin meninggal dunia

    Pengerusi AIM, Lajim Ukin meninggal dunia

    PENGERUSI Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Datuk Seri Lajim Ukin meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital Pakar KPJ di sini, pagi ini.

    Perkara itu disahkan isterinya Datin Seri Normilah Siong ketika dihubungi Bernama, dan memaklumkan Allahyarham, 66, meninggal dunia pukul 6.23 pagi tadi.

    Sementara itu pegawai khasnya Ismail Norazman berkata, jenazah Allahyarham yang juga bekas  Timbalan Ketua Menteri Sabah akan dibawa ke kampung halaman beliau di Kampung Kebatu, Beaufort untuk disemadikan.

    “Terima kasih untuk segala doa kalian. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang soleh di sisi-Nya kelak, diampunkan segala dosa dan diterima segala amal kebaikannya di dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Pada 24 Ogos lepas,  Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ditidurkan pada jam 2 petang di hospital sama untuk rawatan susulan akibat jangkitan COVID-19.

    Beliau berkata sebelum ini hospital itu memaklumkan bacaan oksigen Allahyarham menunjukkan kemajuan yang baik sepanjang tempoh rawatan, bagaimanapun keadaan kesihatannya merosot awal pagi ini sebelum meninggal dunia.

    Lajim merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah selama tiga penggal bermula 1999.

    Alllahyarham juga pernah menjadi timbalan menteri pengangkutan pada 2008 hingga 2009 dan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan pada 2009 hingga 2012.

    Beliau menyertai UMNO pada 1994 seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Beaufort, sebelum menyertai PKR pada 2016 dan kemudian menyertai Bersatu sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk penggal 2019 hingga 2022.- BERNAMA

  • IJN pertama di Asia lakukan rawatan injap jantung inovatif

    IJN pertama di Asia lakukan rawatan injap jantung inovatif

    Institut Jantung Negara (IJN) mencipta satu lagi kejayaan apabila menjadi hospital pertama di Asia berjaya melakukan inovatif baharu dalam rawatan injap jantung bagi pesakit yang menderita trikuspid regurgitasi atau injap jantung bocor.

    IJN dalam kenyataan hari ini berkata prosedur tersebut dijalankan oleh anggota Unit Kegagalan Jantung dan Pemindahan Jantung serta Jabatan Kardiologi pada 6 Mei lalu.

    Rawatan dengan prosedur invasif minimum itu, melibatkan penggunaan sistem penghantaran pramuat injap kering, yang disebut sistem Tricvalve Transcatheter Bicaval Valves (Bioprosthesis), menurut kenyataan itu.

    “Peranti sistem Tricvalve dan bioprosthesis ini dibangunkan khusus untuk pesakit yang mengalami trikuspid regurgitasi teruk terutama mereka yang tidak dapat mengawal simptom melalui rawatan lain dan mempunyai risiko tinggi untuk pembedahan jantung terbuka,” kata IJN.

    Trikuspid regurgitasi adalah keadaan di mana injap trikuspid tidak dapat berfungsi dengan baik dan mengakibatkan darah mengalir ke belakang di sebelah kanan jantung dan dalam keadaan teruk ia mengalir ke kava dan jika tidak dirawat ia boleh membawa kepada kegagalan jantung, kata IJN.

    “Pesakit mungkin mengalami simptom seperti penat, susah bernafas, denyutan jantung yang luar biasa, bengkak kaki dan bahagian abdomen. Bagaimanapun, tanda-tanda ini sering tidak menonjol sehingga keadaan menjadi teruk,” menurut kenyataan itu.

    Pengarah Klinikal Kegagalan Jantung dan Pemindahan Jantung, IJN, Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi berkata tidak semua pesakit mampu melalui risiko pembedahan atau mungkin mempunyai komorbiditi dengan penyakit tertentu yang menjadikan mereka tidak sesuai untuk rawatan prosedur tertentu.

    “Bagi kes sedemikian, adalah penting untuk kami menawarkan rawatan inovatif baharu seperti Tricvalve bagi membantu lebih ramai pesakit mengurangkan simptom dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal dan Perunding Kanan Kardiologi, IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim mengucapkan setinggi  penghargaan kepada pasukan IJN kerana meneroka kaedah rawatan yang lebih baharu dan inovatif.

    “Bukan rahsia lagi bahwa kejayaan IJN dibina atas kesediaan petugasnya untuk terus menimba ilmu, meneroka rawatan inovatif yang boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit serta berusaha ke tahap yang lebih tinggi supaya dapat merawat lebih ramai pesakit yang dianggap tidak sesuai menjalani pembedahan,” katanya.- BERNAMA