Tag: rawang

  • Keluarga mangsa tembakan di Rawang saman polis, kerajaan kerana cuai

    Keluarga mangsa tembakan di Rawang saman polis, kerajaan kerana cuai

    WARIS dua lelaki yang didakwa ditembak dari jarak dekat oleh polis di Rawang, tiga tahun lalu, memfailkan dua saman berasingan terhadap 12 anggota polis, ketua polis negara ketika itu dan kerajaan kerana kecuaian.

    Lapor Free Malaysia Today, dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati plaintif juga menyaman pihak berkenaan kerana ‘tort of misfeasance’ sebagai penjawat awam.

    Mereka juga memfailkan tuntutan harta pusaka dan tanggungan.

    Saman pertama difailkan Jasminder Kaur, balu kepada G Thavaselvan, dan saudara perempuannya, Jasvinder Kaur, atas kapasiti sebagai pentadbir harta pusaka Thavaselvan.

    Saman kedua difailkan M Dhanalakshmie, ibu mentua kepada J Vijayaratnam, dan Jasminder atas kapasiti sebagai pentadbir harta pusaka Vijayaratnam.

    Kedua-dua saman itu menamakan Zakiol Kaning, S Prabahakaran Nair, Roslan Ahmad, V Jaya Ganaesh, Fazli Awang, Hairmi Miskon, D Devendran, P Maniam, P Visvanathan, Samsor Maarof dan Noor Azam Jamaludin, ketua polis negara ketika itu, Abdul Hamid Bador dan kerajaan sebagai defendan.

    Peguam mewakili plaintif, M Visvanathan dan Sanjay Nathan, mendakwa defendan cuai dalam menjalankan tugas, termasuk menembak secara melulu terhadap kedua-dua mangsa.

    Mereka mendakwa defendan melakukan ‘tort of misfeasance’ sebagai penjawat awam dengan melanggar Kanun Keseksaan dan Perlembagaan Persekutuan, selain merampas hak kedua-duanya untuk hidup.

    Dalam saman dikemukakan, plaintif berkata, mereka akan bergantung kepada penemuan inkues, keterangan perubatan, laporan kimia dan balistik serta rakaman televisyen litar tertutup bagi membuktikan dakwaan.

    Mereka juga menuntut ganti rugi, harta pusaka dan tanggungan serta relif lain yang difikirkan bersesuaian oleh mahkamah susulan kesakitan dan penderitaan yang dilalui.

    Thavaselvan dan ipar duainya, Vijayaratnam yang juga seorang warga Sri Lanka, serta S Mahendran terbunuh dalam tembak menembak dengan polis di KM22 Jalan Rawang menuju Batu Arang, susulan insiden dikejar kenderaan polis, pada 14 Sept 2019.

    Polis berkata, kesemua mereka disyaki terbabit dalam rompakan bersenjata.

    Polis mendakwa berlaku tembak menembak dengan tiga individu itu di kawasan pinggir hutan di Rawang dengan dua daripada mereka bersenjatakan pistol dan seorang lagi menghayun parang ke arah polis.

    Polis menegaskan mereka bertindak untuk mempertahankan diri.

    Pada 31 Mei, mahkamah koroner menyimpulkan berlaku salah guna kuasa dan unsur bersifat jenayah berhubung kematian tiga lelaki berkenaan.

    Koroner Rasyihah Ghazali berkata, dalam imbangan kebarangkalian, ketiga-tiga mereka maut akibat tembakan di kepala dan dada.

    Bagaimanapun, Rasyihah berkata, beliau tidak dapat menyimpulkan apa yang berlaku kepada G Moganambal, isteri kepada Vijayaratnam, yang dilaporkan hilang selepas insiden itu dan belum ditemui.

    Tidak jelas sama ada keluarga Mahendran ada memfailkan saman sama.

    Vijayaratnam, Moganambal dan dua anak mereka datang ke Malaysia dari United Kingdom, pada Ogos 2019 untuk melawat ibu Moganambal dan saudara lain.

  • Gadis maut, adik melecur dalam kebakaran di Rawang

    Gadis maut, adik melecur dalam kebakaran di Rawang

    SEORANG gadis maut manakala adik lelakinya melecur teruk dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Baru Kundang, Rawang dekat sini, hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata ketika pasukan bomba tiba di tempat kejadian, mangsa B.Thiva, 19, dan adiknya B. Vishnu, tiga tahun telah dibawa keluar oleh orang awam.

    Beliau berkata berdasarkan saksi, kedua-dua mereka ditemukan di kawasan dapur dan Thiva telah meninggal dunia ketika dibawa keluar dari rumah.

    “Seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dan Sungai Buloh digegaskan ke tempat kejadian. 

    “Kami menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran rumah setingkat itu pada 11.10 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Norazam berkata rumah itu terbakar 90 peratus dan kedua-duanya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan rawatan.

    Difahamkan, ketika kejadian ibu bapa mereka tiada di rumah kerana keluar bekerja.- BERNAMA