Tag: Raub Selamat

  • Lelaki ditahan miliki ganja meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas

    Lelaki ditahan miliki ganja meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas

    SEORANG lelaki warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan dipercayai memiliki ganja, meninggal dunia selepas mengadu mengalami sesak nafas, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata lelaki berusia 49 tahun itu sebelum itu ditahan bersama 54.7 gram ganja di sebuah kondominium di sekitar bandar raya ini pada 12.10 tengah malam tadi.

    Beliau berkata bagaimanapun lelaki itu yang disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 mengalami sesak nafas ketika proses dokumentasi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah JBS pada 1.20 pagi.

    “Lelaki itu dibawa menaiki ambulans untuk dirawat di Hospital Sultanah Aminah namun pegawai perubatan yang memberikan rawatan telah mengesahkan kematian lelaki itu pada pukul 2.27 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Raub berkata pihaknya telah memanggil waris iaitu tiga anak lelaki itu, yang mengesahkan bahawa bapa mereka menghidap penyakit jantung dan darah tinggi sejak 20 tahun lepas.

    Beliau berkata bedah siasat dilakukan pada hari ini di hospital tersebut bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Katanya kes kematian itu akan turut disiasat Unit Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan, Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Bukit Aman.  

    Dalam kes lain, Raub berkata pihaknya menahan 12 lelaki di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, semalam, dipercayai membakar mercun di tempat awam tanpa lesen sempena ambang Tahun Baharu Cina. 

    Beliau berkata kesemua yang berusia 19 hingga 45 tahun ditahan antara 1 hingga 3.10 pagi bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan Kecil 1995.

    Katanya polis turut merampas 16 mercun jenis Fireworks, lima kotak mercun jenis Happy Boom Fire Work dan satu pemetik api daripada mereka. – BERNAMA

  • 2 remaja antara 3 ditahan curi, ceroboh rumah kerabat diraja Johor

    2 remaja antara 3 ditahan curi, ceroboh rumah kerabat diraja Johor

    DUA remaja antara tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian mencuri dan menceroboh kediaman milik kerabat diraja Johor, di Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru ACP Raub Selamat berkata ketiga-tiga mereka yang berusia 16, 19 dan 47 tahun itu ditahan pada 11.40 pagi di lokasi kejadian susulan laporan mengenainya dibuat pada 10 pagi.

    Bagaimanapun, beliau berkata dua individu berjaya melarikan diri dan polis sedang berusaha mengesan mereka.

    “Polis turut merampas dua kereta, satu unit mesin gergaji, empat helai sarung tangan kain, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, satu kunci kereta dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM150.

    “Hasil semakan dan saringan air kencing terhadap ketiga-tiga individu itu mendapati mereka tiada rekod jenayah selain negatif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya. – BERNAMA