Tag: rasuah

  • SPRM: Jurutera, Penolong Jurutera antara lima ditahan kes rasuah

    SPRM: Jurutera, Penolong Jurutera antara lima ditahan kes rasuah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan lima individu termasuk seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor yang jumlah keseluruhannya dianggarkan lebih RM130,000.

    Sumber SPRM berkata dua lagi yang ditahan adalah penolong jurutera jabatan kerajaan, manakala dua lagi ialah pengurus syarikat kontraktor, dan kesemua suspek lelaki berusia 37 hingga 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor antara pukul 1.30 tengah hari hingga 5 petang tadi selepas hadir memberi keterangan.

    Katanya sekitar tahun 2019 hingga tahun lepas, jurutera dan seorang penolong jurutera yang bertugas di sebuah daerah di Selangor itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah berkenaan.

    “Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek itu, namun telah menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.

    “Sementara itu seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan itu,” katanya.

    Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Semua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada pukul 9 pagi esok untuk permohonan reman.- BERNAMA

  • Lelaki disyaki ejen pemerdagangan manusia ditahan rasuah anggota polis

    Lelaki disyaki ejen pemerdagangan manusia ditahan rasuah anggota polis

    Menurut sumber, individu berusia 20 tahun itu telah memberi rasuah berjumlah RM2,500 kepada seorang anggota polis di sekatan jalan raya snap check, susur Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) menghala ke Jalan Bakar Batu di sini pada 5 Ogos lepas.

    “Individu itu ditahan selepas dilihat mencurigakan dan semasa pemeriksaan badan dilakukan, lelaki berkenaan memberikan wang rasuah tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan tangkapan ke atasnya yang disyaki menjadi ejen aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya.

    Sehubungan itu, individu terbabit ditahan pada 1 tengah hari tadi di pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu. – BERNAMA

  • Pegawai kanan majlis perbandaran, kontraktor direman kes rasuah RM200,000

    Pegawai kanan majlis perbandaran, kontraktor direman kes rasuah RM200,000

    SEORANG pegawai kanan Jabatan Kejuruteraan di sebuah majlis perbandaran di Kedah dan seorang kontraktor direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan jumlah RM200,000 dua tahun lalu. 

    Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Nur Fardrina Zulkhairi membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bermula hari ini sehingga 14 Ogos ini. 

    Kedua-dua suspek, lelaki masing-masing berusia 41 dan 48 itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang di sini, kira-kira pukul 11 pagi semalam. 

    Menurut sumber SPRM, pegawai kanan berusia 41 tahun itu dipercayai menyalahgunakan kuasanya bagi mencadangkan syarikat milik bapanya memperoleh projek yang dikeluarkan kerajaan pada 2019. 

    Katanya, suspek dikatakan membuat cadangan itu kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah membabitkan projek kerja menurap dan menyelenggara jalan di sebuah daerah di negeri ini. 

    Jelasnya, kontraktor lelaki berusia 48 tahun itu pula dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kes tersebut. 

    Kedua-dua tertuduh yang tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi ini dengan memakai baju SPRM diwakili peguam Parmjit Singh. 

    Difahamkan SPRM akan memanggil beberapa orang saksi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.