Tag: rangkuman

  • Jumlah mangsa banjir di 3 negeri berkurangan, 43,667 penduduk terjejas di Johor

    Jumlah mangsa banjir di 3 negeri berkurangan, 43,667 penduduk terjejas di Johor

    JUMLAH mangsa banjir di tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Pahang terus berkurangan malam ini, melibatkan 44,277 mangsa berbanding 46,053 mangsa petang tadi.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 43,667 orang setakat 8 malam ini susulan banjir di daerah Kluang telah pulih dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 12,385 keluarga masih ditempatkan di 172 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah terjejas akibat bencana itu.

    “Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 37,878 orang, diikuti dengan Muar (3,104), Tangkak (1,924), Segamat (706) dan Mersing (55),” menurutnya.

    Sebanyak sembilan sungai masih melepasi aras bahaya, antaranya, Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada pada paras 19.73 meter (m); Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar) dengan bacaan 4.49m dan Sungai Senggarang di Senggarang (Batu Pahat) dengan bacaan 3.51m.

    Cuaca diramalkan cerah di lapan daerah malam ini, kecuali Mersing dan Kota Tinggi yang dijangka hujan.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin menurun kepada 438 orang daripada 115 keluarga pada 8 malam ini berbanding 442 orang daripada 116 keluarga pada 2 petang tadi.

    Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat membabitkan 25 mangsa daripada tujuh keluarga.

    “Sebanyak 134 mangsa daripada 32 keluarga ditempatkan di SK Parit Penghulu, 57 mangsa daripada 22 keluarga di SK Parit Gantong, 167 mangsa daripada 42 keluarga di SK Batu Gajah dan 55 mangsa daripada 12 keluarga di SK Sungai Rambai,” menurut kenyataan itu.

    Di PAHANG, Sekretariat JPBN Pahang melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin terus menurun malam ini selepas hanya 172 mangsa ditempatkan di dua PPS berbanding 677 orang berada di lima PPS petang tadi.

    PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Aur menempatkan 62 mangsa daripada 24 keluarga manakala 110 mangsa daripada 37 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan Leban Chondong. – BERNAMA

  • Mangsa banjir di Johor meningkat, Pahang dan Sabah menurun

    Mangsa banjir di Johor meningkat, Pahang dan Sabah menurun

    JUMLAH mangsa banjir meningkat di Johor walaupun tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan ditutup manakala Pahang dan Sabah menurun, petang ini.

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS meningkat kepada 2,660 orang setakat jam 2 petang ini, berbanding 2,511 orang pada jam 8 pagi tadi.

    Menurut kenyataan itu hanya tinggal enam daerah yang terjejas banjir selepas satu-satunya PPS di Muar ditutup pada jam 1.15 tengah hari tadi dan dua PPS di Segamat juga ditutup, menjadikan keseluruhan 30 PPS beroperasi setakat ini.

    Mersing masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 975 orang, diikuti Batu Pahat (736), Kluang (422), Kota Tinggi (420), Segamat (92) dan Tangkak (15).

    Sementara itu, Sungai Endau, Mersing masih melepasi tahap bahaya dengan bacaan 2.77 meter.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin menunjukkan penurunan petang ini selepas hanya 200 orang daripada 63 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 314 orang daripada 96 keluarga, pagi tadi.

    Portal InfoBencana,Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), melaporkan PPS Kampung Setajam menempatkan 171 orang manakala Kampung Denai (27 orang) dan dua orang di Balai Raya Kampung Jawa.

    Paras Sungai Keratong di Rompin terus menunjukkan trend penurunan namun masih melebihi paras bahaya.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri ini merekodkan penurunan dengan 1,637 orang daripada 642 keluarga di lapan PPS petang ini, berbanding 1,664 orang daripada 651 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat JPBN, dalam kenyataan, memaklumkan mangsa paling ramai di Pitas melibatkan 1,363 orang daripada 565 keluarga yang dipindahkan ke empat PPS, diikuti Paitan membabitkan 231 orang (66 keluarga) di tiga PPS dan Lahad Datu 43 orang (11 keluarga) di sebuah PPS. 

    Kenyataan itu memaklumkan satu PPS iaitu Rumah Kampung Cocos di Paitan ditutup petang ini manakala jumlah mangsa banjir di Pitas dijangka kekal, Paitan dijangka menurun, manakala di Lahad Datu dijangka meningkat hari ini. – BERNAMA

  • Banjir: Jumlah mangsa di Sabah meningkat, Kelantan dan Terengganu menurun

    Banjir: Jumlah mangsa di Sabah meningkat, Kelantan dan Terengganu menurun

    JUMLAH mangsa banjir di Sabah terus meningkat, manakala Kelantan dan Terengganu menurun dan di Perak serta Sarawak pula bilangannya kekal setakat 8 pagi ini.

    Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud meningkat kepada 212 mangsa daripada 77 keluarga pagi ini berbanding 150 mangsa daripada 49 keluarga malam tadi.

    Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) baharu turut dibuka di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dengan 62 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan, manakala satu lagi PPS daerah itu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa kekal dengan 150 mangsa daripada 49 keluarga.

    Bagi fenomena air pasang besar, Sandakan menjadi daerah terbaharu terkesan dengan seramai 162 mangsa daripada 29 keluarga telah dipindahkan ke sebuah PPS, terutama melibatkan mereka yang tinggal di rumah atas air.

    Fenomena berkenaan setakat ini turut menyaksikan seramai 721 mangsa daripada 163 keluarga dipindahkan ke enam PPS di Pitas, manakala 54 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Kota Kinabalu, menjadikan keseluruhan 937 mangsa daripada 207 keluarga dipindahkan.

    Sementara itu, di TERENGGANU, JPBN dalam kenyataan memberitahu jumlah mangsa banjir yang masih berada di PPS menunjukkan penurunan kepada 5,810 pagi ini berbanding 6,356 mangsa malam tadi.

    Sebanyak 44 PPS iaitu di Besut, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Kuala Nerus masih beroperasi yang menempatkan 1,651 keluarga.

    Jumlah mangsa juga menurun di KELANTAN, dengan seramai 12,786 orang daripada 4,393 keluarga berlindung di dua PPS di Pasir Mas dan Tumpat direkodkan, berkurangan pagi ini berbanding 12,830 orang daripada 4,405 keluarga malam tadi.

    Di PERAK, Sekretariat JPBN berkata jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 75 orang daripada 19 keluarga dan berada di dua PPS iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abd Rahman Talib (SMART) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, Bagan Datuk.

    Begitu juga di SARAWAK, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal seperti setakat 11 malam tadi iaitu 1,424 mangsa daripada 381 keluarga dan ditempatkan di 16 PPS, menurut JPBN. – BERNAMA