Tag: Rang Undang-Undang

  • RUU mansuh hukuman mati dibentang kali pertama di Dewan Rakyat

    RUU mansuh hukuman mati dibentang kali pertama di Dewan Rakyat

    RANG Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dibentang bagi bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Ketika mengemukakan rang undang-undang tersebut, Azalina berkata ia juga akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua pada mesyuarat kali ini.

    Menurutnya, naskhah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, rang undang-undang itu bertujuan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan; serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubungan dengannya dengan meminda tujuh akta berkaitan.

    Akta-akta tersebut ialah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

    Pindaan terhadap kesemua akta berkenaan adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dalam semua perundangan.

    Selain itu, pindaan terhadap Akta 574 dilakukan bertujuan menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati yang tertakluk dengan budi bicara antaranya bagi kesalahan di bawah Seksyen 121A, 130C, 302 dan 374A.

    Dengan pindaan itu, mahkamah mempunyai nilai budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan atau hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak melebihi 40 tahun.

    Kerajaan sebelum ini bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan mengenakan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

    Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022. – BERNAMA

  • Mansuh hukuman mati mandatori perlu referendum rakyat

    Mansuh hukuman mati mandatori perlu referendum rakyat

    AHLI-ahli Parlimen disaran mendesak kerajaan untuk menangguhkan langkah pemansuhan hukuman mati mandatori penjenayah berat bagi mendapat maklum balas keluarga mangsa dan pihak-pihak berkepentingan.

    Memetik laporan Harakahdaily, pemerhati politik dari UPSI Dr Zulkeflee Yaacob berkata, kerajaan dijangka mengemukakan rang undang-undang untuk menghapuskan hukuman mati mandotari atas kesalahan jenayah termasuk membunuh pada 3 April ini.

    Menurut beliau, hukuman mati itu hanya pilihan pada budi bicara (discretion) hakim ketika menjatuhkan hukuman sama ada hukuman mati atau penjara.

    “Akta itu kalau diluluskan kelak akan meneliti kes-kes jenayah lampau yang melibatkan pembunuhan termasuk kes profil tinggi hartawan kosmetik, Sosilawati yang mati dibunuh.

    “Kita menyokong terhadap kesalahan jenayah lain seperti memiliki dadah dan senjata api yang tidak melibatkan kehilangan nyawa tetapi kesalahan yang menyebabkan kematian dengan niat membunuh mesti kekal hukuman mati mandotari,” katanya di sini.

    Menurut laporan media hukuman mati mandatori akan ditukar kepada penjara seumur hidup antara 30-40 tahun dan bakinya ditolak atas ‘remission’ membolehkan penjenayah dipenjara 15-20 tahun sahaja dan selepas itu akan kembali bebas.

    Mengulas lanjut, Dr Zulkeflee berkata, impak perubahan hukuman tersebut memberi momentum psikologi kepada keluarga mangsa yang berdepan dengan pembunuh terbabit.

    Katanya, keluarga mangsa tentunya sedih kerana kehilangan satu jiwa selama-lamanya, sebaliknya penjenayah kembali dalam komuniti yang bersifat suci dalam debu.

    Malah katanya, dalam syariat Islam kesalahan membunuh hukumannya mati jika keluarga mangsa tidak bersedia memaafkan pelaku.

    Oleh itu katanya pindaan tersebut tidak wajar dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil pandangan keluarga mangsa dan refrendum rakyat terhadap hukuman besar implikasi dalam keharmonian masyarakat majmuk.

    “Tidak perlu beria-ria hasrat menyelamatkan pembunuh kerana kekidupan keluarga mangsa tidak terpelihara, malah mereka sepatutnya dilindungi bukan penjenayah yang dilihat menggalakkan kes pembunuhan,” tambahnya.