Tag: Rampas dadah

  • Polis rampas dadah RM400,000, tahan 3 lelaki

    Polis rampas dadah RM400,000, tahan 3 lelaki

    POLIS menahan tiga lelaki dan merampas dadah disyaki Methamphetamine bernilai kira-kira RM400,000 di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya besar di Bercham, semalam.

    Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata semua yang berusia antara 40 hingga 61 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ipoh dalam operasi khas kira-kira 2.20 petang.

    Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki seorang daripada lelaki itu menemukan satu guni plastik mengandungi 10 bungkusan plastik berisi peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggar seberat 10.4kg.

    “Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan lebih kurang 20,000 penagih. Mereka dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada seorang warga asing di wilayah utara negara,” katanya dalam kenyataan.

    Yusri berkata, hasil saringan air kencing mendapati seorang daripada lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine.

    Beliau berkata, polis akan memohon reman hari ini untuk membolehkan ketiga-tiganya membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek utama dalam kes ini bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kenderaan bernilai RM12,000 dan wang tunai sebanyak RM2,200,” katanya. – BERNAMA

  • ‘Kantoi’ dadah 1.8 tan metrik, suspek cuba sogok polis RM200,000

    ‘Kantoi’ dadah 1.8 tan metrik, suspek cuba sogok polis RM200,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 1.8 tan metrik dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM64.8 juta dirampas dalam pemeriksaan bersepadu dijalankan di sekitar Jalan Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis Ahad lalu.

    Rampasan tersebut yang merupakan terbesar di Malaysia untuk tahun ini dibuat dalam pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 4 pagi dengan pihak polis turut menahan lima suspek membabitkan empat lelaki dan seorang wanita.

    Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, mereka yang ditahan berusia antara 29 hingga 49 tahun.

    “Salah seorang suspek turut cuba menawarkan wang sogokan berjumlah antara RM200,000 kepada sepasukan anggota polis yang terlibat dalam operasi tersebut sebagai habuan bagi menutup kes itu.

    “Kegiatan haram itu berjaya dikesan setelah pihak polis memeriksa sebuah lori satu tan yang sedang ditunda sebuah lori lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar.

    Tambahnya, taktik licik itu bagaimanapun gagal mengelirukan pihak berkuasa yang terus memeriksa lori berkenaan.

    “Pemeriksaan dijalankan menemukan dadah jenis syabu seberat 1.8 tan dianggarkan bernilai RM64.8 juta,” katanya.

    Tambahnya, kesemua pegawai dan anggota polis terlibat menolak wang sogokan ditawarkan seorang suspek sebanyak RM200,000 bagi menutup kes tersebut.

    “Wang itu dirampas untuk tindakan di bawah langkah pencegahan rasuah,” katanya.

    Menurutnya, ujian urin dijalankan mendapati dua individu ditahan positif dadah jenis methamphetamine.

    Selain itu, polis turut menyita pelbagai aset lain milik suspek bernilai RM406,603.65 membabitkan tiga buah kenderaan, 31 barang kemas, seutas beg tangan mewah dan wang tunai.

    “Kesemua dadah itu jika terlepas di pasaran mampu menampung keperluan kira-kira sembilan juta penagih. Dipercayai dadah tersebut untuk dipasarkan di semenanjung tanah air.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak kami tidak menolak kemungkinan tangkapan lain selepas ini,” katanya.

    Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga Sabtu ini.

  • Polis rampas 5.21 kg dadah bernilai RM492,000

    Polis rampas 5.21 kg dadah bernilai RM492,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEBERAPA ketulan mampat heroin base seberat 5.21 kilogram bernilai hampir RM492,000 berjaya dirampas polis dalam serbuan dilakukan di beberapa lokasi di Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kejayaan itu merupakan hasil risikan dan serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang terlebih dulu menahan dua lelaki berumur 21 tahun kira-kira pukul 4.40 petang.

    Katanya, pemeriksaan dalam kereta tersebut menemukan heroin base dianggarkan seberat 3.97 kg serta serbuk kimia seberat kira-kira 26 kg.

    “Selepas itu tangkapan turut dibuat terhadap dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun yang menaiki motosikal dan kereta jenis Perodua Myvi di lokasi sama.

    “Hasil tangkapan tersebut, pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah di Taman Raja.

    Pihak kami kemudiannya menemukan ketulan mampat heroin base seberat kira-kira 2.24 kg di lokasi berkenaan,” katanya.

    Pihaknya dalam masa sama turut menahan seorang lagi suspek berusia 36 tahun selepas menahan kenderaan dinaikinya di depan sebuah rumah di Taman Ria Jaya.

    “Selain menahan suspek dan merampas dadah, polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM74,800 bagi membantu siasatan.

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari hingga 18 September depan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

    Dalam pada itu beliau memaklumkan, sejumlah dadah bernilai lebih RM2 juta akan dibawa ke Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan untuk dilupuskan, esok.

    “Pelupusan ini akan dilaksanakan syarikat berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikannya mengikut piawaian betul.

    “Antara jenis dadah yang akan dilupuskan adalah methamphetamine, eramin 5 dan ganja dengan kesemuanya melibatkan kes-kes antara 2014 hingga 2020 yang sudah pun dibicara dan dijatuhkan hukuman di mahkamah,” katanya.

  • JSJN rampas syabu 7.14kg dalam bungkusan teh cina

    JSJN rampas syabu 7.14kg dalam bungkusan teh cina

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor menahan empat suspek yang dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah ditahan bersama-sama 7.14 kilogram syabu dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta di Taman Bolton, Batu Caves, Gombak pada 30 Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, serbuan pukul 1 petang itu dijalankan oleh pasukan daripada JSJN Kontinjen Selangor.

    “Pihak polis berjaya merampas satu beg kanvas berwarna biru yang di dalamnya mengandungi tujuh bungkusan teh cina berwarna hijau berisi bahan kristal disyaki syabu.

    “Dianggarkan berat keseluruhan berjumlah 7.14 kilogram dengan nilai rampasan RM245,000. Dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 14,000 penagih sehari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, ujian saringan air kencing ke atas empat lelaki yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu mendapati tiga daripada mereka positif dadah.

    “Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. Kesemua suspek direman sembilan hari bermula 31 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

  • Dadah RM14.4 juta dirampas, tiga termasuk seorang Datuk ditahan

    Dadah RM14.4 juta dirampas, tiga termasuk seorang Datuk ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah bernilai RM14.4 juta dengan anggaran berat 400 kilogram (kg) yang cuba diseludup di Kompleks Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, Selasa lalu.

    Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, sepasukan anggota kastam daripada Cawangan Narkotik, JKDM Ibu Pejabat telah menyita dua kotak kayu di kompleks kargo berkenaan pada pukul 4.10 pagi.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kotak kayu tersebut menjumpai lapan buah kotak yang terdapat 400 bungkusan teh mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 400kg bernilai RM14.4 juta.

    “Tiga lelaki tempatan berumur 25 hingga 56 tahun termasuk seorang berpangkat Datuk telah ditahan di lokasi sama untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Seremban, hari ini.

    Beliau berkata, sindiket itu mengisytiharkan barang yang mengandungi dadah sebagai troli hotel dalam dua kotak kayu yang besar sedangkan di dalamnya terdapat kotak-kotak mengandungi dadah disorokkan bersama-sama pakaian sebagai modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari pasaran tempatan dan luar negara sebelum dieksport ke negara Asia Pasifik.

    “Sindiket ini dipercayai telah 11 kali melakukan perbuatan tersebut menggunakan modus operandi yang sama sejak tahun lepas.

    “Kes ini seterusnya disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga individu berkenaan direman selama 14 hari sehingga 13 September ini,” katanya.

  • Polis Kedah rampas dadah RM108,000

    Polis Kedah rampas dadah RM108,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS Kedah berjaya merampas dadah jenis heroin dan syabu seberat kira-kira 4.7 kilogram (kg) dari dua lelaki tempatan yang ditahan di tepi jalan di Bandar Amanjaya, Sungai Petani, Kedah, Rabu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, dua lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari setelah mereka memberhentikan kenderaan jenis Proton Iswara di tepi jalan dekat Jalan Melati 1, Bandar Amanjaya.

    “Serbuan terhadap kedua-dua mereka berjaya menemukan empat bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan berwarna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 1.8 kg serta dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kuning disyaki heroin seberat 900 gram.

    “Selain itu, polis turut menemukan dua plastik hijau bertulis ‘guanyinwang’ berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat kira-kira 2.1 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM108,000.

    “ujian urin dijalankan terhadap suspek mendapati kedua-duanya negatif dadah.

    “Beberapa barangan milik suspek turut disita iaitu satu loket serta rantai kekuningan bernilai RM1,500 dan sebuah motosikal Yamaha LC bernilai RM5,800,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 26 Ogos 2021 hingga 1 September 2021 untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.