Tag: Raja Petra Kamaruddin

  • LCS: SPRM sedia jumpa Raja Petra atas dakwaan babit Zahid

    LCS: SPRM sedia jumpa Raja Petra atas dakwaan babit Zahid

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menemui penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaannya terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima sogokan SGD20 juta (kira-kira RM67 juta) berkaitan projek bermasalah kapal tempur pesisir (LCS).

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu FMT, agensi itu akan membenarkan Raja Petra yang dikenali sebagai RPK mencadangkan lokasi pertemuan seperti yang dicadangkan penulis blog itu dalam video di laman sesawangnya semalam.

    “Kami sedia bertemunya. Dia boleh memilih lokasi untuk jumpa pegawai saya bagi membolehkan kami mendapatkan maklumat lanjut daripadanya berhubung dakwaan itu,” kata Azam.

    Raja Petra mendakwa bekas timbalan perdana menteri itu menerima wang itu menerusi lapan bayaran secara berperingkat antara 2012 dan 2013.

    Beliau mendakwa urus niaga itu dipermudahkan melalui pengurup wang di Singapura dan Malaysia.

    FMT sudah menghubungi Zahid untuk mengulas.

    Raja Petra turut mendakwa mempunyai dokumen dan bukti mengaitkan Zahid dengan skandal itu.

    Dalam video itu, penulis blog itu menyampaikan jemputan kepada SPRM ke UK, negara dipercayai menjadi pangkalannya, untuk bertemunya bagi menyerahkan dokumen terbabit.

    Projek LCS berada di bawah penelitian Parlimen kerana tidak menghantar enam kapal mengikut kontrak.

    Dalam laporannya, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada sebuah pun kapal yang siap setakat ini, walaupun kerajaan sudah membayar RM6.08 bilion.

    Kontrak untuk memperoleh kapal itu diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus pada 2011.

    Ogos lalu, bekas pengarah urusan BNS, Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa melakukan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta. Ramli juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu LCS.

  • Amar Singh nafi dakwaan RPK bawa teman wanita serbu rumah Najib

    Amar Singh nafi dakwaan RPK bawa teman wanita serbu rumah Najib

    BEKAS pegawai polis berpangkat tinggi, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menafikan dakwaan teman wanitanya hadir dalam serbuan di rumah Datuk Seri Najib Razak pada Mei 2018 dan mengambil sebuah beg yang dirampas polis.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin, susulan dakwaan penulis blog kontroversi itu yang dikenali sebagai RPK di portalnya, Malaysia Today.

    Menyifatkan rampasan di rumah bekas perdana menteri itu sebagai “serbuan terbesar dalam sejarah polis”, Amar Singh berkata, rekod terperinci dibuat berhubung barang yang dirampas polis dan tiada wanita awam berada di sana atau sebarang barang dikeluarkan.

    Beliau dalam kenyataan berkata, serbuan itu dijalankan bersama beberapa timbalan dan penolong pengarah polis serta kira-kira 70 pegawai dari pelbagai jabatan seperti JSJK, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Tindakan Khas (UTK).

    Katanya, beliau sengaja menubuhkan pasukan serbuan itu yang terdiri daripada jabatan berbeza bagi mengelakkan dakwaan palsu dibuat kelak.

    “Tidak mungkin ada apa-apa boleh melalui pasukan ini tanpa disedari sesiapa. Lebih-lebih lagi pasukan ini baru bertemu pada hari serbuan dijalankan. Oleh itu, tiada kemungkinan untuk menutup sebarang konspirasi.

    “Tambahan, keseluruhan proses serbuan diambil gambar dan dirakam video dari awal hingga akhir oleh oleh pasukan bebas dari JSJ. Gambar dan video ini masih dalam simpanan JSJ.

    “Tidak mungkin orang awam dapat mengelak rakaman kamera dan video ini tanpa disedari sesiapa, melainkan orang ini mempunyai ‘ilmu ghaib’ dan tidak kelihatan,” katanya.

    Amar Singh berkata, bangunan yang diserbu itu dilengkapi lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) dan lebih 50 wartawan berkumpul di lobi, yang merupakan satu-satunya pintu keluar ketika itu.

    “Tiada wartawan melihat seorang wanita awam berjalan keluar dari serbuan itu dengan beg pakaian besar seperti didakwa. Jelas sekali dakwaan Raja Petra palsu sama sekali,” katanya.

    Katanya, beberapa pegawai kanan lain akan turut membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung dakwaan itu.

    Amar Singh turut menafikan dakwaan beliau berhijrah ke Kanada dan memaklumkan penulis blog itu dirinya “masih berada di Malaysia dan akan terus tinggal di negara ini sehingga saya mati.”

    Beliau mengetuai serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018. Beliau berkata, wang tunai berjumlah RM116.7 juta ditemui dalam 35 beg yang diambil dari premis itu.

    Bekas pegawai polis tinggi itu mengetuai siasatan berhubung 1MDB.