Tag: Rais Yasin

  • Zahid Hamidi sahkan Rais kekal ketua UMNO Tangga Batu

    Zahid Hamidi sahkan Rais kekal ketua UMNO Tangga Batu

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ADUN Paya Rumput Rais Yasin kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad kepadanya, kata Zahid kepada pemberita pada sebuah majlis sempena Ramadan di Kampung Pulai, Serkam, Jasin, malam tadi, lapor Bernama.

    “Saya ingin mengesahkan bahawa pengerusi jawatankuasa pemilihan UMNO memaklumkan kepada saya (bahawa) tidak ada surat pembatalan itu dan Rais diabsahkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu,” katanya.

    Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sepucuk surat tular bertarikh 27 Mac yang mendakwa kemenangan Rais dibatalkan.

    Surat berkenaan memaklumkan berlakunya ketidakaturan perjalanan mesyuarat pada proses pemilihan UMNO bahagian itu yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.

    Turut dilaporkan malam tadi, Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu Abdul Latip Mohamad berkata, beliau dimaklumkan mengenai pembatalan kemenangan Rais menerusi surat daripada UMNO pusat menerusi aplikasi WhatsApp pada 2.26 petang semalam.

    “Sehubungan itu, UMNO bahagian Tangga Batu perlu membuat pemilihan semula bagi jawatan ketua bahagian sahaja,” katanya.

  • Kemenangan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dibatalkan

    Kemenangan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dibatalkan

    KEMENANGAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti itu 18 Mac lalu, dibatalkan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 hari ini.

    Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Abdul Latip Mohamad berkata beliau menerima pemakluman itu menerusi satu surat daripada UMNO pusat menerusi aplikasi WhatsApp pada 2.26 petang tadi.

    Beliau berkata surat berkenaan memaklumkan berlakunya ketidakaturan perjalanan mesyuarat pada proses pemilihan UMNO bahagian itu yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.

    “Surat itu memaklumkan setelah penelitian dibuat terhadap pemilihan berkenaan, Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 membuat keputusan dan ketetapan bahawa pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu adalah tidak sah.

    “Sehubungan itu, UMNO bahagian Tangga Batu perlu membuat pemilihan semula bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini.

    Pada pemilihan berkenaan, Rais menewaskan penyandang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan hanya empat undi selepas memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali dengan 278 undi.

    Rais turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.- BERNAMA