POLIS Daerah Timur Laut, Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki meragut beg tangan seorang wanita di Lorong Selamat, George Town dalam kejadian semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, video kejadian ragut itu dikesan tular selepas dimuat naik di laman Facebook ‘We are Malaysians’ kira-kira pukul 8 pagi ini.
Jelas beliau, polis juga telah menerima laporan mengenai kejadian ragut itu kira-kira pukul 1.55 tengah hari semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun mendatangkan cedera.
”Melalui rakaman kamera papan pemuka kereta milik suami mangsa, mangsa diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam.
”Lelaki tersebut menghampiri dan meragut beg tangan mangsa yang disangkut di atas bahu kanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan selain turut mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM2,800.
Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
SEORANG lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki meragut rantai emas seorang wanita warga asing dalam kejadian pada 4 petang di tepi Jalan Kuchai Maju 10, di Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfield, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 10.15 malam hari yang sama.
Beliau berkata, ketika kejadian wanita warga asing berumur 31 tahun itu sedang berjalan berseorangan dan telah didatangi oleh suspek dari arah belakang dan terus meragut rantai emas yang dipakainya.
“Semasa tangkapan dibuat, polis turut membuat rampasan barang yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah iaitu sepasang pakaian, sebuah beg Grab Food, satu telefon bimbit dan motosikal jenis Yamaha NVX berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki itu mengaku meragut rantai emas milik wanita itu dan telah menjual rantai tersebut di kedai pajak gadai di kawasan Bandar Sri Permaisuri dengan nilai pajakan RM600.
Katanya suspek telah ditahan reman selama empat hari mulai hari ini. – BERNAMA
KEGIATAN jenayah ragut rantai emas di sekitar Kuala Lumpur dengan menyamar sebagai penghantar makanan tumpas apabila polis berjaya menangkap empat ahli Geng Ashmer hujung bulan lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kumpulan terbabit yang bergiat sejak lima bulan lalu menggunakan beg penghantar makanan untuk mengelakkan mangsa curiga.
Menurut beliau, empat suspek berumur antara 26 hingga 51 tahun diberkas dalam tiga serbuan berasingan Ops Rentap di sekitar Sentul, Wangsa Maju, dan Gombak mulai 23 hingga 28 Oktober lalu.
“Kegiatan ini didalangi oleh tiga lelaki tempatan yang menyasarkan kawasan orang ramai yang memakai rantai leher emas. Suspek menyasarkan mangsa yang memakai baju berkolar bulat dan rantai yang agak tebal untuk diragut.
“Salah seorang suspek akan bertindak untuk ‘menjaga line’ manakala seorang lagi bertindak sebagai ‘striker’ untuk meragut rantai mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.
Eng Lai menambah, hasil ragut berkenaan akan dijual kepada seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun di Selayang Baru, manakala wang tersebut dibahagikan sesama mereka.
Beliau memberitahu, susulan tangkapan itu, polis merampas beberapa utas barang kemas dianggarkan bernilai RM55,000.
“Turut dirampas ialah dua buah motosikal jenis Yamaha LC135, selain Yamaha Y15 (dua), topi keledar (lima), telefon bimbit (enam), beg penghantaran makanan (dua) serta 36 utas rantai leher warna kekuningan disyaki emas dan sebuah alat penimbang,” jelasnya.
Eng Lai berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun tanpa senjata) untuk membantu siasatan.
Dalam kes berasingan, beliau memberitahu, seramai empat lelaki ditahan kerana menjual minuman keras yang diseludup dari negara jiran dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM100,000 yang berjaya dirampas selepas berjaya selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Sentul Pasar ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Menurut Eng Lai, suspek yang berusia antara 24 hingga 27 tahun itu terdiri daripada dua warga tempatan dan selebihnya pendatang asing.
“Siasatan awal mendapati modus operandi kegiatan ini berselindung di sebalik premis perniagaan pemborong minuman keras dan dipercayai beroperasi sejak setahun yang lalu.
“Pihak polis berjaya merampas sebanyak 2,720 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai barang tidak bercukai kastam yang nilai dan cukainya dianggarkan sebanyak RM100,000,” katanya.
Tambah Eng Lai, kesemua suspek direman tiga hari bermula Jumaat untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1965 kerana memiliki, menyimpan mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok serta menjual minuman keras seludup yang membawa hukuman denda tidak lebih 20 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000 mengikut jumlah paling besar,” katanya.