Tag: racun berjadual

  • Produk kosmetik diarah henti jualan ada racun berjadual

    Produk kosmetik diarah henti jualan ada racun berjadual

    NOTIFIKASI produk kosmetik Night Cream ForU By D Ains Beauty Empire telah dibatalkan kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan produk kosmetik tersebut mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate, dan penggunaan produk yang mengandungi bahan berkenaan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

    “Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    Menurutnya, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra violet (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Beliau berkata penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

    Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

    “Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

    Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.- BERNAMA

  • Produk kosmetik Skin Revolution dikesan mengandungi racun berjadual

    Produk kosmetik Skin Revolution dikesan mengandungi racun berjadual

    Oleh:Bernama

    Produk kosmetik Skin Revolution – Acne Clearing Solution dikesan mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan.

    Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Norhaliza A Halim dalam kenyataan hari ini berkata notifikasi produk itu telah dibatalkan sekali gus tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

    “Produk yang mengandungi clindamycin dan metronidazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

    “Penggunaan antibiotik (clindamycin dan metronidazole) tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan,” katanya.

    Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta kerana perkara itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

    “Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

    Sementara itu, beliau menasihatkan orang awam untuk segera menghentikan penggunaan produk itu dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

    Orang awam turut digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada aplikasi Google Play Store.- BERNAMA