Tag: Putrajaya

  • Floria Diraja dilanjut hingga 11 Sept, masuk percuma mulai esok

    Floria Diraja dilanjut hingga 11 Sept, masuk percuma mulai esok

    FESTIVAL yang mempamerkan pelbagai spesies dan bunga-bungaan serta tanaman hiasan, Floria Diraja Putrajaya 2022 yang dijadualkan berakhir hari ini dilanjutkan sekali lagi sehingga Ahad (11 Sept), demikian umum Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

    Shahidan berkata bersempena cuti penggal persekolahan hingga Ahad ini, tiket masuk ke festival itu adalah percuma mulai esok bagi memberi peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka ke Floria Diraja Putrajaya 2022.

    “Ini adalah hadiah buat Keluarga Malaysia. Kita bagi percuma sebab ada ibu bapa yang bawa anak-anak melawat Putrajaya, jadi wajar kita bagi masuk percuma.

    “Dengan kemasukan secara percuma ini, kita sasar 100,000 pengunjung hadir untuk tempoh lima hari pelanjutan ini,” katanya selepas menghadiri majlis penutup Floria Diraja Putrajaya 2022 di sini hari ini.

    Jumaat lepas, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengumumkan pelanjutan festival itu sehingga hari ini (6 Sept) berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Festival berkenaan sepatutnya berakhir pada 4 Sept.

    Shahidan berkata pelbagai aktiviti menarik akan diteruskan termasuk cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal pada hari terakhir Floria Diraja Putrajaya 2022, selain persembahan daripada kumpulan busker.

    Lebih 400,000 pengunjung menyaksikan Floria Diraja Putrajaya 2022 sejak ia membuka tirai pada 29 Ogos lepas. Bertempat di Anjung Floria, Presint 4 di sini, terdapat kira-kira 10,000 pokok orkid dan 400,000 tanaman pelbagai spesies dipamerkan.

    Floria Diraja Putrajaya 2022 turut mempamerkan Taman Keluarga Malaysia dengan konsep yang diadaptasi melalui tiga nilai iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

    Antara komponen yang terdapat di festival itu ialah Taman Keluarga Malaysia, Taman Koboi dan Sukulen, Taman Instagrammable, Hiasan Dinding Orkid dan Terowong Oncidium.

    Shahidan dalam pada itu turut mengisytiharkan bunga raya sebagai bunga rasmi bagi Putrajaya.- BERNAMA

  • Kerap hadir program bukan bermakna bertanding di Putrajaya – Dr Radzi

    Kerap hadir program bukan bermakna bertanding di Putrajaya – Dr Radzi

    MENTERI Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin hari ini menepis desas-desus  akan bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) susulan kekerapan menghadiri pelbagai program di pusat pentadbiran kerajaan itu sejak akhir-akhir ini.

    Radzi yang pernah bertanding pada PRU14 di Parlimen Ketereh, Kelantan pada 2018 itu berkata kehadirannya pada setiap program adalah bagi memenuhi jemputan kerana ia adalah anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).

    Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu itu berkata Putrajaya dipilih sebagai lokasi bagi setiap program bagi memudahkan pergerakan logistik dari KPM dan menjimatkan masa.

    “Ia (program KPM) diadakan di Putrajaya sebab banyak sangat program dan kita perlu cari lokasi dekat (KPM), mudahkan pergerakan. Itu penting.

    “Dalam bulan ini (Ogos) hingga September, hampir hari-hari akan ada program atau pelancaran perkara baharu bagi mengisi slot ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’,” katanya pada sidang media selepas melancarkan platform pembelajaran digital KPM Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA): Agenda Digital Kita di sini hari ini.

    Sepanjang minggu lepas, Radzi telah menghadiri beberapa majlis di Putrajaya antaranya Kejohanan Bola Tampar Amatur di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 16 (1) pada 7 Ogos, Showcase Transformasi Pendidikan di Pusat Beli Belah Alamanda (13 Ogos), program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya 14 (1) (18 Ogos), Majlis Transformasi Pendidikan Pemerkasaan Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) di SMK Presint 18 (1) (20 Ogos) dan hari ini pelancaran DELIMA KPM di SMK Putrajaya Presint 8 (1).

    Timbul desas-desus Radzi sedang ‘mengintai’ kerusi Parlimen Putrajaya pada PRU15 selepas tewas pada PRU14 di tangan penyandang kerusi Parlimen Ketereh Tan Seri Annuar Musa.

    Parlimen Putrajaya disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memegang kerusi itu selama empat penggal. – BERNAMA

  • Putrajaya bermandikan cahaya warna Jalur Gemilang hingga 16 September

    Putrajaya bermandikan cahaya warna Jalur Gemilang hingga 16 September

    BAGI menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia tahun ini, ikon menarik terutamanya bangunan dan jambatan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, Putrajaya akan disinari limpahan cahaya lampu yang bertemakan empat warna Jalur Gemilang hingga 16 Sept depan.

    Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj) Norzita Abdul Razak dalam kenyataan berkata program Pencahayaan Malam PPj yang bermula sejak 1 Ogos lepas memaparkan semangat perayaan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

    Beliau berkata pencahayaan di bangunan kerajaan dan komersial itu akan berlangsung dari 7 malam hingga 12 tengah malam setiap hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum. 

    “Pencahayaan  fasad bangunan di Putrajaya ini melibatkan tiga kategori iaitu lampu LED, pencahayaan warm white (lampu kuning) dan pencahayaan dalaman,” katanya. 

    Menurut Norzita, lampu LED berkonsepkan Jalur Gemilang dinyalakan di Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Hotel Zenith, Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, dan pancuran air di Presint 1.

    — LAGI

    PENCAHAYAAN-PUTRAJAYA 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR 

    Pencahayaan lampu kuning pada fasad bangunan pula melibatkan semua bangunan kerajaan, komersial dan struktur di Putrajaya, katanya.

    Beliau berkata pencahayaan dalaman (internal lighting) berkonsepkan ‘lantern’ melibatkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU). 

    Mengenai pemasangan Jalur Gemilang, Norzita berkata PPj sudah mula mamasang sebanyak 4,400 Jalur Gemilang di tiang-tiang lampu, taman-taman awam serta premis milik PPj seperti kompleks kejiranan, medan selera, dewan dan perpustakaan sejak 15 Julai.

    Menurut Norzita sebanyak 11,200 Jalur Gemilang telah diserahkan kepada enam sub zon Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP Putrajaya), 70 persatuan penduduk dan 27 sekolah di Putrajaya, pada bulan lepas. 

    Pada 30 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 dengan menyertai 15,000 Keluarga Malaysia dalam program “Berjalan Teguh Bersama” sejauh 2.7 kilometer di Putrajaya. 

    Sambutan Hari Kebangsaan secara fizikal pada 31 Ogos ini yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka ibu negara, pastinya dinanti-nantikan ramai selepas dua tahun tidak diadakan ekoran pandemik COVID-19. – BERNAMA

  • Kaki budak lelaki 3 tahun tersepit dalam eskalator

    Kaki budak lelaki 3 tahun tersepit dalam eskalator

    SEORANG kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir sejam setelah kaki kanannya tersepit dalam eskalator di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya hari ini.

    Kejadian berlaku kira-kira 1.30 tengah hari ketika mangsa berusia tiga tahun dikatakan turun bersama ibu bapanya menggunakan eskalator dari tingkat dua sebelum kaki kanannya secara tiba-tiba masuk dan tersepit di bahagian tepi eskalator berkenaan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.48 tengah hari.

    “Kaki mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian dan mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Seorang saksi ingin dikenali sebagai Nurul berkata dia terdengar jeritan yang amat kuat sebelum melihat seorang kanak-kanak tersepit di eskalator itu.

    “Keadaan memang panik, nasib baik ada yang segera menekan butang kecemasan bagi menghentikan eskalator itu. Kanak-kanak itu menangis hampir satu jam sebelum pihak bomba datang mengeluarkan kakinya yang tersepit,” katanya.

    Tinjuan Bernama di lokasi kejadian mendapati pihak pengurusan pusat beli belah terbabit telah menutup operasi eskalator itu buat sementara waktu. – BERNAMA

  • Gangguan air di Selangor, Putrajaya dijangka pulih Jumaat ini – Air Selangor

    Gangguan air di Selangor, Putrajaya dijangka pulih Jumaat ini – Air Selangor

    GANGGUAN bekalan air di 463 kawasan akibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih, dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam, Jumaat ini.

    Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata pihaknya telah menjalankan ujian kualiti air di LRA tersebut dengan mematuhi piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. 

     “Air terawat dari LRA Sungai Semenyih telah disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada para pengguna. Pada masa kini, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di kesemua kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata bekalan air bersih dan selamat telah mula disalurkan secara berperingkat ke kawasan terjejas bermula 7 pagi tadi dengan menggunakan 94 lori tangki air.

    Semalam, gangguan bekalan air itu meliputi lima wilayah Air Selangor iaitu 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

    Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh merujuk laman sesawang www.airselangor.com dan semua saluran rasmi media sosial Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram serta menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor, untuk sebarang pertanyaan dan aduan.- BERNAMA