Tag: Puteri Sarah Liyana

  • Syamsul, Puteri Sarah tak jadi cerai

    Syamsul, Puteri Sarah tak jadi cerai

    KRISIS rumah tangga pengarah, Syamsul Yusof, 39, dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana belum menemui jalan penyelesaian apabila perbincangan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini gagal.

    Menurut Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul di dalam prosiding, proses hari ini tidak mencapai persetujuan.

    Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof ketika hadir bagi mendengar prosiding lafaz cerai dengan isterinya, Puteri Sarah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Susulan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding dijangka akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas.

    “Usaha nak selesai kes secara persetujuan tidak berjaya. Terdapat beberapa perubahan dibuat oleh Puteri Sarah. Berkenaan Ira Kazar dan tuntutan lain,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Terdahulu, proses sulh yang berlangsung pada pukul 10.30 pagi tadi juga tidak berhasil berikutan tiada persetujuan.

    Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Mahkamah menetapkan prosiding lafaz cerai dibuat hari ini selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian.

    Bagaimanapun, terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.

    Antara terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

    Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Puteri Sarah harap Syamsul lafaz cerai, mahu ‘move on’

    Puteri Sarah harap Syamsul lafaz cerai, mahu ‘move on’

    “Harapnya Syamsul lafazkan (cerai). Kalau lepaskan, saya rasa macam kehidupan baharu saya bermula”.

    Itu reaksi pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin sebelum prosiding lafaz cerai yang dijadualkan di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada pukul 11 pagi ini.

    Puteri Sarah, 38 mengakui, dia tidak sabar untuk dilepaskan daripada perkahwinan dengan suaminya, Syamsul Yusof.

    Katanya apa yang diharapkannya ialah Syamsul melafazkan cerai terhadapnya seperti dipersetujui bersama sebelum ini bagi memberi peluang kepadanya untuk memulakan hidup baharu dengan lebih tenang.

    “Saya tak sabar dan gembira. Saya nak ‘move on’, tolong doakan. Harapnya Syamsul lafazkan. Kalau lepaskan, saya rasa macam kehidupan baharu saya bermula.

    “Saya berharap semoga kami selesaikan dengan baik dan dipermudahkan. Percepatkan kes dan tiada lagi pergaduhan atau tidak puas hati, saya mahu selesaikan semua hari ini.

    “Sebab saya ada banyak lagi kerja tertangguh dan bulan hadapan saya mahu terbang ke Jakarta, saya mahu mulakan penggambaran di sana.

    “Jadi, kalau boleh saya mahu selesaikan semua cepat,” katanya menurut laporan Astro AWANI.

    Beliau ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di ibu negara pada pukul 9.20 pagi.

  • Syamsul fail permohonan nusyuz, dakwa Puteri Sarah ‘curang’

    Syamsul fail permohonan nusyuz, dakwa Puteri Sarah ‘curang’

    PELAKON dan pengarah, Syamsul Yusof mendakwa isterinya, Puteri Sarah Liyana curang dengan lelaki lain yang juga bekas kekasihnya.

    Kenyataan itu dibuat Syamsul yang memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, petang tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Syamsul diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan nusyuz, pukul 3.10 petang.

    Bercakap kepada media, Syamsul memberitahu dia memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah bukan sebab mahu membalas dendam, sebaliknya menyelamatkan rumah tangga.

    “Sebagai suami, saya juga memendam rasa. Saya tak mahu cakap benda ini sebab saya pun malu.

    “Tak mengapalah, biar saya dan peguam sahaja tahu. Saya tahu Puteri Sarah berhubung dengan bekas kekasihnya.

    “Dia bukan pelakon, orang biasa ketika belajar di kolej. Jadi, saya tidak mahu orang salah faham.

    “Siapa boleh terima bila mengetahui isteri menjalinkan hubungan dengan suami orang. Dan benda ini timbul bukannya sebab saya mahu ‘membantai’ Puteri Sarah, tetapi selagi saya diam, lagi teruk,” katanya.

    Mengulas lanjut Syamsul memberitahu, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengambil tindakan, namun terpaksa berbuat demikian selepas dakwaan dibuat Puteri Sarah.

    “Selama ini, saya banyak berdiam dengan apa yang berlaku dalam rumah tangga. Iyalah, tak elok nak berkongsi semua benda dalam kain kepada umum.

    “Orang tahu saya diam walaupun apapun Puteri Sarah muat naik dalam laman sosial Instagram (IG). Saya tak mahu berkongsi soal rumah tangga, namun sekarang baru saya faham kenapa orang cakap jangan masuk campur urusan rumah tangga orang.

    “Pasal saya dan Puteri Sarah orang tak tahu apa yang berlaku. Mungkin hanya mendengar sebelah pihak terus menghakimi, saya pun tak nak melatah.

    “Saya berdiam sebab fikir Puteri Sarah ibu kepada dua cahaya mata saya. Tetapi, saya terkejut Puteri Sarah menuduh saya memukulnya.

    “Saya tahu Puteri Sarah marah dan membenci saya. Kalau buka mulut macam saya buka aib Puteri Sarah pula,” katanya.

    Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu berkata, ibu bapanya juga tidak mengetahui hal sebenar.

    “Ibu bapa turut menghentam saya, jadi sudah tiba masanya, saya bukan mahu membalas atau melawan Puteri Sarah,” katanya.

    Sementara itu, Peguam Syamsul, Azmi berkata, Puteri Sarah terbabit dalam tuntutan nusyuz atas beberapa alasan dan tarikh sebutan kes ini adalah pada 6 April depan.

    “Hari ini, Syamsul memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah. Kami berusaha mendapatkan kebenaran menyerahkan saman memandangkan dia tinggal di Wilayah Persekutuan.

    “Jadi, kami akan serahkan saman ini kepada Puteri Sarah dalam masa terdekat ini. Tarikh seterusnya, 6 April depan.

    “Nusyuz adalah isteri tidak taat dan derhaka, jadi Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz kerana beberapa alasan dinyatakan dalam tuntutan.

    “Antaranya, Puteri Sarah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan sudah membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul dan tidak memberi nafkah,” katanya.

    Terdahulu, Syamsul hadir berseorangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pukul 3.05 petang, semalam.