Tag: Puspakom

  • Selepas Touch ‘n Go, Kerajaan pecahkan monopoli Puspakom pula

    Selepas Touch ‘n Go, Kerajaan pecahkan monopoli Puspakom pula

    KERAJAAN memecahkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai pemeriksa berkala kenderaan tunggal bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas pembayaran tol melalui Touch ‘n Go (TnG).

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam kenyataan berkata, perkhidmatan itu akan dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat selepas konsesi semasa kepada Puspakom tamat tempoh pada 31 Ogos tahun depan.

    “Proses pelawaan pihak-pihak yang berminat dalam perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dijangka akan bermula selewat-lewatnya dalam suku pertama tahun 2024.

    “Keputusan tersebut adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing serta memudahkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Idea berkaitan penamatan monopoli itu dikatakan telah dibincangkan selewat-lewat pada tahun 2015 lagi. Syarikat-syarikat kerajaan dilapor berpotensi mendapatkan kontrak itu.

    Media kewangan The Edge melaporkan antara nama-nama yang disebut ketika itu, termasuk Kumpulan Naza group yang dimilik oleh keluarga SM Nasimuddin SM Amin serta Sime Darby Bhd serta UMW Holdings Bhd.

    Dua entiti terakhir itu dimiliki oleh syarikat kerajaan Permodalan Nasional Bhd.

    Sementara itu, Loke berkata bagi melaksanakan ketetapan terbabit MOT bersama JPJ akan membangunkan beberapa syarat.

    “Ia seperti syarat-syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak-pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor,” katanya.

    “Bagi memastikan keseragaman peraturan dan keadilan dalam aspek persaingan, mana-mana pihak yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor akan diwajibkan untuk memenuhi semua syarat dan peraturan sama yang telah dikenakan kepada Puspakom bawah perjanjian konsesi.

    “Ini termasuklah kewajiban melantik pekerja yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan sahaja, menyedia dan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang dikawal selia dan diluluskan oleh JPJ.

    “Selain itu, menyediakan perkhidmatan dengan mematuhi skop, standard dan prosedur pemeriksaan motor yang ditetapkan sepenuhnya, hanya boleh mengenakan kadar fi pemeriksaan yang telah ditetapkan sahaja dan tidak dibenarkan sama sekali menawarkan perkhidmatan pembaikan,” katanya.

    Menurut Loke, pihak JPJ juga akan secara berterusan mengaudit dan memantau semua pihak yang menyediakan perkhidmatan tersebut bagi memastikan pematuhan, kualiti dan integriti pemeriksaan.

    “Mana-mana pihak yang didapati melanggar apa-apa syarat ditetapkan boleh dikenakan penalti atau dibatalkan kebenaran menjalankan pemeriksaan terlibat.

    “MOT juga akan memastikan bahawa pembukaan pemeriksaan berkala kepada pihak-pihak lain tidak menyumbang kepada elemen persaingan tidak sihat serta membawa kesan negatif kepada penyediaan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bawah Akta 333,” tegasnya.

    Sebelum ini, kerajaan telah memulakan usaha untuk memecahkan monopoli Touch N Go dalam pembayaran tol.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mengakui tiada perkembangan atau kemajuan yang meyakinkan dengan sistem itu walaupun telah diguna pakai kira-kira dua dekad.

  • Tempoh lanjutan pembaharuan LMM, LKM tidak disambung selepas 30 Sept.

    Tempoh lanjutan pembaharuan LMM, LKM tidak disambung selepas 30 Sept.

    TEMPOH lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV)  tidak akan disambung selepas 30 Sept ini, kata Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Zailani Hashim.

    Beliau berkata tempoh lanjutan yang diberikan sebelum ini adalah mencukupi untuk individu melakukan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu, selain ia boleh diperbaharu secara dalam talian.

    Selain kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), urusan pembaharuan boleh dibuat di Pos Malaysia Bhd dengan membuat janji temu, dan menerusi perkhidmatan dalam talian MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) bagi mengelakkan kesesakan di premis, katanya.

    “Pembaharuan LMM dan LKM digalakkan dibuat secara dalam talian bagi mereka yang cekap internet dan hanya hadir ke premis sekiranya perlu,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai urusan pembaharuan LKM dan LMM hari ini.

    Menurut rekod urusan pembaharuan LKM dan LMM bagi tempoh 1 hingga 15 Ogos, JPJ mencatatkan sebanyak 639,965 rekod pembaharuan, Pos Malaysia (373,805), MyEG (322,231) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pula 8,400 bagi urusan LKM sahaja.

    Pos Malaysia sebelum ini memaklumkan janji temu boleh dibuat secara dalam talian melalui ciri Outlet Finder di www.pos.com.my atau aplikasi mudah alih Pos Malaysia dengan membuat pilihan negeri, cawangan pejabat pos dan klik pada pautan yang tersedia.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif MyEG Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata buat masa ini terdapat peningkatan transaksi yang tinggi dan pihaknya berusaha memastikan setiap transaksi dapat dihantar kepada pelanggan sebelum 30 Sept ini.

    “Bagi pelanggan di kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), sekiranya terdapat kelewatan penghantaran, boleh hubungi talian 03-7801 8888 bagi urusan selanjutnya,” katanya.- BERNAMA