Tag: pusat tahfiz

  • Cederakan ustaz pusat tahfiz: Tiga lelaki dipenjara lapan bulan, denda RM1,000

    Cederakan ustaz pusat tahfiz: Tiga lelaki dipenjara lapan bulan, denda RM1,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lipis hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan kepada tiga lelaki selepas mereka mengaku bersalah mencederakan seorang tenaga pengajar pusat tahfiz, minggu lepas. 

    Majistret Siti Aisyah Ahmad juga memerintahkan Wan Haris Wan Ismail, 38, dan Azraen Che Mat Noor, 43, kedua-duanya bekerja sebagai jurukimpal serta buruh Zulkifli Mohd Nasir, 27, menjelaskan denda RM1,000 atau penjara enam bulan, jika gagal berbuat demikian. 

    Semua mereka yang beralamat di Jerantut dekat sini mengaku bersalah mencederakan Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, pada 5.10 petang, 11 Ogos lepas di surau Pusat Tahfiz Darul Fikri Al-Mahmudiah di sini. 

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-dunya, jika sabit kesalahan. 

    Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh didakwa memukul Muhammad Zulhafiz selepas menceroboh pusat tahfiz itu, menyebabkan mangsa mengalami cedera di mata kanan sehingga perlu dijahit.  

    Pada prosiding itu, peguam Fariha Nuzuruhan merayu mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda paling minimum atas alasan semua tertuduh berpendapatan sekitar RM1,500 dan RM2,000, menanggung keluarga serta telah insaf dengan perbuatan mereka. 

    Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Pahang Abdul Ghafar Ab Latif memohon hukuman penjara sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam supaya tidak bertindak sewenang-wenangnya dan menghormati institusi pendidikan serta tenaga pengajar. 

    “Kes ini juga telah tular sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat. Tertuduh bertiga telah memukul seorang tenaga pengajar dan mangsa tidak melawan, sebaliknya membiarkan dirinya dipukul beberapa kali selain kecederaan itu meninggalkan parut kekal,” katanya. 

    Di mahkamah sama, semua tertuduh bersama dua lagi Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, dan Rizuwan Hazmi, 47, kedua-duanya bekerja kampung, mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh pusat tahfiz itu dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Suzuki Dmax pada masa dan hari yang sama. 

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Siti Aisyah memerintahkan semua tertuduh dipenjarakan selama 10 bulan dan denda RM2,000 atau jika gagal penjara enam bulan.

    Semua hukuman penjara diarahkan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu antara 12 dan 13 Ogos lepas . 

    Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif pada prosiding itu memohon hukuman yang dapat menunjukkan keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh sehingga menyebabkan trauma terhadap pelajar pusat tahfiz itu. – BERNAMA 

  • Reman tiga lelaki pukul guru pusat tahfiz disambung

    Reman tiga lelaki pukul guru pusat tahfiz disambung

    REMAN tiga lelaki yang ditahan berhubung kes serangan terhadap seorang guru di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, Kuala Lipis, Pahang, Khamis lalu, disambung dua hari lagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, tempoh reman ketiga-tiga suspek berusia 30-an terbabit disambung sehingga Khamis ini selepas permohonan reman sebelum ini tamat, hari ini.

    “Kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi ini. Kita akan maklumkan semula (kepada media) tarikh pertuduhan kes terbabit,” katanya memetik laporan Harian metro.

    Kesemua suspek terbabit ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, Terengganu serta Bandar Jengka, Pahang, bermula 1 pagi hingga 8 pagi, Sabtu lalu.

    Ia susulan kes tular seorang guru yang cedera selepas diserang lima lelaki kerana tidak berpuas hati soal pembayaran makanan.

    Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang Khamis lalu, suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan yang mana tiga suspek menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga premis terbabit.

  • Kes pukul guru, pelajar pusat tahfiz selesai, tiga suspek positif dadah ditahan

    Kes pukul guru, pelajar pusat tahfiz selesai, tiga suspek positif dadah ditahan

    KESEMUA suspek kes pukul seorang pelajar dan seorang guru pusat tahfiz di Jalan Cheneras di Lipis Pahang berjaya ditahan dengan tertangkapnya tiga individu termasuk suspek utama pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dua termasuk suspek utama ditahan di Perhimpunan Yamaha RXZ Member 4.0 di Terengganu pukul 2 pagi tadi manakala seorang lagi di tahan di Felda Lepar Utara 1, Jerantut sekitar pukul 8 pagi.

    Menurutnya, polis membentuk tiga pasukan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Terengganu, JSJ Kontinjen Pahang dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis bagi mengesan ketiga-tiga suspek.

    “Ketiga-tiga suspek berusia 30-an dibawa ke IPD Lipis untuk proses dokumentasi sebelum mendapat perintah tahanan reman dari mahkamah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan,” katanya dalam sidang media yang dipetik Astro Awani.

    Menurut Azli, ketiga-tiga suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis heroin dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain kesemuanys turut memiliki rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

    Beliau berkata, berdasarkan laporan, kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati terhadap penjaga pusat tahfiz berkenaan berkaitan pembayaran makanan.

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri selain perlu berbincang terlebih dahulu sekiranya timbul tidak puas hati terhadap pengurusan pusat tahfiz.

    “Tindakan membuat serangan fizikal dan menceroboh pusat tahfiz adalah salah di sisi undang-undang malah kawasan tersebut terdapat pelajar bawah umur yang dilindungi di bawah Akta Kanak-kanak,” katanya.

    Azli dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana membantu dan berkongsi maklumat sehingga tertangkapnya suspek.

    “Saya menganggap kes ini telah selesai dan berharap orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi selain perlu mendapatkan maklumat sahih dari pihak polis berkaitan perkara yang tular di laman sosial,” katanya.

  • Pelajar dan guru pusat tahfiz dibenar pulang

    Pelajar dan guru pusat tahfiz dibenar pulang

    PUSAT tahfiz di Jalan Cheneras di Lipis, Pahang yang tular di media sosial semalam ekoran lima lelaki memukul seorang pelajar dan seorang guru hingga cedera ditutup sementara waktu.

    Memetik laporan Astro Awani, difahamkan 25 pelajar yang majoriti dari daerah Lipis dan Gua Musang berserta tiga tenaga pengajar dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

    Menurut sumber, pusat tahfiz yang beroperasi sejak 2016 itu ditutup sehingga siasatan polis selesai dan dijangka dibuka semula sekitar bulan hadapan.

    Semalam, media melaporkan seorang ustaz menerima empat jahitan di mata kanan dan tangan serta badan lebam selepas diserang lima lelaki di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, di Lipis.

    Kejadian pada pukul 5.10 petang Khamis lalu dipercayai berlaku ekoran tidak berpuas hati soal pembayaran makanan di pusat tahfiz terbabit.

    Suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat itu yang mana tiga orang menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit.

    Kejadian tersebut tular di media sosial apabila satu video berdurasi 2.51 minit menunjukkan seorang lelaki yang memakai seluar pendek memarahi seorang mangsa sebelum bertindak memukulnya.

    Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

    Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis menjalankan beberapa serbuan pada awal pagi tadi di kawasan Damak, Jerantut dan menahan dua suspek.

    Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dadah dan mereka berdua juga positif methamphetamine.

    Pusat tahfiz di Jalan Cheneras itu ditutup sementara waktu sehingga siasatan polis selesai.

    Video rakaman insiden seorang ustaz dan pelajar tahfiz diserang tular di media sosial semalam dan mencetus perbincangan dalam kalangan warga maya.