Tag: pusat rekreasi

  • Dua kes kencing tikus, satu rotavirus di Negeri Sembilan

    Dua kes kencing tikus, satu rotavirus di Negeri Sembilan

    JABATAN Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan bahawa terdapat dua kes Leptospirosis (kencing tikus) dan satu kes Rotavirus dilaporkan dengan pesakit kes berkenaan ditempatkan di Hospital Tuanku Jaa’far (HTJ), di sini untuk rawatan.

    Pengarah JKNNS Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata tiga pesakit itu dimasukkan ke HTJ selepas mengalami gejala demam, muntah dan cirit birit kerana mempunyai sejarah mengunjungi Pusat Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah minggu lepas.

    “Bagaimanapun, kes berkenaan masih dalam siasatan dan masih menunggu keputusan ujian pengesahan Leptospirosis, penilaian risiko dan sampel persekitaran di kawasan berkenaan yang diambil pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah sebelum tindakan susulan dilakukan.

    “Sehubungan itu, jika sesiapa mempunyai sejarah perjalanan ke Ulu Bendul dan mempunyai gejala, boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Baru-baru ini, tular dalam aplikasi WhatsApp mendakwa terdapat individu yang dijangkiti kencing tikus dan Rotavirus selepas mengunjungi Pusat Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah pada minggu lepas.

    Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) berkata kolam mandi Ulu Bendul ditutup sementara berkuat kuasa Jumaat lepas sehingga Ahad ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan dilakukan.

    “Penutupan itu dilakukan susulan dipercayai berlakunya penularan Rotavirus dan Leptospirosis di lokasi berkenaan. Ia ditutup sementara selepas disyorkan JKNNS supaya pihak berkenaan dapat melakukan siasatan dan analisa kes,” katanya.- BERNAMA

  • SOP:Polis tak teragak-agak cadang tutup pusat rekreasi

    SOP:Polis tak teragak-agak cadang tutup pusat rekreasi

    POLIS tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada pihak berkuasa berkaitan supaya pusat rekreasi ditutup jika terlalu sesak dengan kehadiran orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal.

    Memetik Berita Harian, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, ketika ini pihaknya akan membuat pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa terutama di Lembah Klang yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jumaat lalu.

    “Polis menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutama membabitkan warga Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

    “Justeru, polis membuat pemantauan dan hebahan dengan memberi nasihat supaya mereka mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal.

    “Bagaimanapun, jika keadaan tidak dapat dikawal akibat kesesakan dan pengunjung terlalu ramai, polis tidak teragak-agak untuk mencadangkan supaya pusat rekreasi ditutup,” katanya hari ini.

    Semalam, media melaporkan kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 PPN, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.

    Tinjauan di Taman Tasik Titiwangsa mendapati golongan kanak-kanak sehingga warga emas mula melakukan pelbagai aktiviti riadah termasuk joging, berbasikal, bermain kasut roda dan ada juga yang bermain badminton bersama anak-anak.

    Selain itu, peniaga makanan juga mula berniaga pelbagai jenis makanan kepada orang ramai di tepi jalan, bagi memenuhi permintaan.

    Ditanya tindakan kompaun kepada pengunjung, Mastor berkata, ia pilihan terakhir jika mereka menghiraukan nasihat polis supaya mematuhi SOP.

    “Kita mengambil pendekatan berhemah dahulu dengan memberi nasihat.

    “Kalau mereka masih berdegil, pilihan terakhir ialah dengan memberi kompaun,” katanya.