Tag: pusat pemindahan sementara

  • Sebuah lagi PPS dinaiki air di Batu Pahat, lebih 300 mangsa dipindahkan

    Sebuah lagi PPS dinaiki air di Batu Pahat, lebih 300 mangsa dipindahkan

    LEBIH 300 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Sri Medan, Yong Peng, di Batu Pahat, dipindahkan, susulan dinaiki air sejak dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua mereka akan dipindahkan ke SJKC Hwa Ming, Taman Maju, di sini, malam ini, dengan menggunakan aset daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia.

    “PPS ini boleh menampung sehingga 300 orang dan apabila berlaku kenaikan paras air kira-kira 0.3 meter, kita buat keputusan untuk pindahkan mangsa malam ini,” katanya kepada Bernama.

    PPS tersebut menempatkan 315 orang daripada 110 keluarga sejak dibuka pada 2 Mac lepas.

    Penduduk yang ditempatkan di PPS itu, Siti Sarah Sulaiman, 35, berkata air mula melimpah ke dalam PPS sejak dua hari lepas.

    Ibu kepada tiga orang anak itu berkata dia mula ditempatkan di PPS itu Khamis lepas apabila rumahnya di Parit Simen Sri Basir dinaiki air hingga paras pinggang.

    “Pada waktu itu, tiada air banjir dalam PPS tetapi dalam tempoh dua hari (bermula Sabtu) air mula melimpah masuk dalam PPS.

    “Saya risau kerana ada anak kecil berusia dua tahun yang nak ‘main’ air,” katanya yang turut menarik nafas lega apabila diarahkan berpindah ke PPS lain.

    Tinjauan Bernama di Sri Medan Jaya, di sini, mendapati kawasan pekan lumpuh dengan laluan yang ada sudah mula dinaiki air dan hanya dibuka kepada kenderaan berat dan kereta pacuan empat roda, serta beberapa rumah di Jalan Besar Sri Medan di sini masih ditenggelami air. – BERNAMA

  • 69 mangsa banjir di dua PPS di Sabah

    69 mangsa banjir di dua PPS di Sabah

    SERAMAI 69 mangsa banjir daripada 19 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini pagi ini.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memberitahu, 33 mangsa banjir daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Mini Mesapol, Sipitang.

    Menurut kenyataan itu 36 mangsa banjir daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Tamau, Kota Belud.

    “Paras air sungai di Kota Belud meningkat, maka persediaan dilakukan untuk membuka PPS baharu sekiranya diperlukan. Pemantauan sedang dilakukan di kawasan ‘hotspot’ banjir,” menurut kenyataan tersebut.

    Pagi ini terdapat 39 kawasan di Kota Belud dan 10 kawasan di Sipitang masih terjejas akibat banjir, manakala cuaca ketika ini mendung.- BERNAMA