Tag: pusat hiburan

  • Lima anggota polis ditahan miliki pelbagai dadah di pusat hiburan

    Lima anggota polis ditahan miliki pelbagai dadah di pusat hiburan

    LIMA anggota polis ditahan dan pelbagai jenis dadah seberat 13.9 gram dirampas dalam serbuan dan pemeriksaan di bawah Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Serbuan pada pukul 11.45 malam itu dilakukan sepasukan polis daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

    Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan yang mengaku penjaga premis semasa serbuan itu.

    “Selain itu, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam yang disyaki pelayan pelanggan turut ditahan.

    “Semasa pemeriksaan di sebuah bilik di premis itu, terdapat lima pengunjung yang juga penjawat awam. Hasil pemeriksaan dijalankan menemui dadah jenis methamphetamine anggaran berat 0.87 gram, pil eramin 5 (7.38 gram) dan ganja (5.65 gram),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Amihizam berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati empat suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine, manakala seorang lagi suspek positif ketamin.

    “Kesemua suspek ditahan reman tiga hari bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Kes juga akan disiasat dari segi kesalahan tatatertib,” katanya.

    Menurut Amihizam, jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan boleh dibekalkan kepada lima sehingga 10 pengguna dadah.

    Polis juga katanya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah diperoleh.

    Sementara itu, Amihizam berkata, pusat hiburan juga akan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai rampasan dadah itu untuk menyalurkannya dengan menghubungi pihaknya di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.

  • Padah berpakaian wanita, 20 lelaki ditahan

    Padah berpakaian wanita, 20 lelaki ditahan

    GELAGAT 20 lelaki berpakaian wanita ketika mengunjungi pusat hiburan di Jalan Sultan, Kuala Lumpur malam tadi membawa padah apabila mereka ditahan pihak berkuasa dalam satu serbuan.

    Serbuan kira-kira pukul 10 malam itu dibuat menerusi Op Bersepadu Aktiviti Hiburan yang melibatkan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) serta Bahagian Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, seramai 62 orang iaitu 53 lelaki dan sembilan wanita berusia 19 hingga 57 tahun diperiksa dalam serbuan itu.

    Katanya, hasil pemeriksaan itu, dua lelaki berusia 27 tahun dan 29 tahun didapati positif dadah THC dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “20 lelaki berusia 22 tahun hingga 34 tahun yang berpakaian wanita dan berlagak seperti wanita dibawa balik oleh Jawi bagi siasatan mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

    “Pihak polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab yang jelas tidak mematuhi peruntukanundang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 16 GRO warga asing ditahan

    Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 16 GRO warga asing ditahan

    POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Jalan Metro Perdana Barat, Taman Usahawan Kepong dekat sini semalam dan menahan 16 warga asing dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO).

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata serbuan pada 10.50 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan. 

    “Pusat hiburan berkenaan didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan pasukan kita telah menahan 16 wanita warga asing itu serta seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan penjaga premis berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata turut diperiksa 50 pelanggan berusia di 23 hingga 57 tahun yang berada di pusat berkenaan dan mereka telah dibebaskan tanpa syarat manakala peralatan audio yang digunakan untuk tujuan hiburan antara yang dirampas.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana menjalankan aktivi pusat hiburan tanpa lesen perniagaan yang sah, Seksyen 55B Akta Imigresen kerana mengajikan warga asing tanpa permit yang sah, Seksyen 6(1) (c) AKta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen kerana kesalahan menyalahgunakan pas lawatan.- BERNAMA 

  • Peralatan elektronik berkaitan hiburan RM140,000 dirampas

    Peralatan elektronik berkaitan hiburan RM140,000 dirampas

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merampas pelbagai peralatan elektronik berkaitan hiburan dalam dua serbuan berasingan sempena Operasi Hak Cipta di sekitar Bukit Mertajam kira-kira pukul 4 petang semalam.

    Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selepas menerima aduan daripada wakil pemilik hak cipta.

    Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua premis di Jalan Perusahaan Juru Autocity dan Jalan Icon City itu mendapati terdapat set karaoke yang mengandungi salinan langgaran yang digunakan bagi tujuan perniagaan di premis itu.

    “Dalam serbuan itu, kita menyita masing-masing dua unit set karaoke; amplifier dan televisyen, empat unit speaker serta enam unit mikrofon yang dianggarkan bernilai kira-kira RM140,000 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    peralatan hiburan
    Penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang menanggalkan peralatan berkaitan hiburan dalam Operasi Hak Cipta di Bukit Mertajam, petang semalam.

    Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan kali pertama.

    Jelasnya, bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, pesalah boleh didenda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sehubungan itu tegas beliau, PPDNHEP mengingatkan mana-mana pihak yang menggunakan karya hak cipta bagi aktiviti perniagaan supaya memohon kelulusan daripada pemilik karya hak cipta.

    “Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tegas atas pelanggaran yang berlaku,” katanya.