Tag: pusat beli belah

  • Enam lelaki diberkas gaduh di pusat beli-belah

    Enam lelaki diberkas gaduh di pusat beli-belah

    GARA-gara bergaduh di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Miri, Sarawak hingga tular di media sosial, polis daerah itu memberkas enam lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Anak Chabu berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Menurutnya, bertindak atas laporan itu, polis membuat tangkapan ke atas enam individu tempatan berusia 19 hingga 34 tahun kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu merusuh dengan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Hari ini, tular video kejadian itu di Facebook menunjukkan beberapa individu bergaduh di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Miri, dengan seorang daripada individu itu dirakam memecahkan cermin sebuah kenderaan menggunakan senjata.

    Dalam pada itu, Alexson Naga menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

    Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Ramping Jimbai di talian 085-433222.

  • Toyota Vios terjunam dalam pusat beli-belah

    Toyota Vios terjunam dalam pusat beli-belah

    DUA individu berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu melanggar tembok di tingkat tiga sebelum terjunam ke tingkat dua di sebuah kompleks beli-belah di Asia City, di Kota Kinabalu, hari ini.

    Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 30 tahun hanya cedera ringan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pukul 10.56 pagi.

    Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi berkenaan .

    “Laporan memaklumkan terdapat sebuah Toyota Vios terbabas di tingkat tiga tempat letak kereta lalu melanggar tembok dan terjunam ke tingkat dua.

    “Terdapat dua mangsa terbabit dan keluar sendiri dari kereta berkenaan serta mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurutnya, pasukan bomba bertindak menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain dan memasang sawar-sawar di lokasi kejadian.

    “Mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan operasi tamat pada 11.59 pagi,” katanya, lapor Harian Metro.