Tag: Pulau Perhentian

  • Sekumpulan pelancong jatuh sakit selepas bercuti di Pulau Perhentian

    Sekumpulan pelancong jatuh sakit selepas bercuti di Pulau Perhentian

    PERCUTIAN tiga malam ke Pulau Perhentian Kecil berakhir dengan mimpi ngeri bagi sekumpulan 40 pelancong apabila jatuh sakit selepas berenang di perairan pulau berkenaan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, seorang daripada pelancong berkenaan, Hasan Yahaya berkata, mereka yang jatuh sakit terdiri daripada 27 dewasa, tujuh kanak-kanak dan enam kanak-kanak kecil.

    Menurutnya, kesemua pelancong mula mengalami mual dan muntah-muntah selepas percutian di perairan Terengganu itu, baru-baru ini.

    “Ada yang sudah mula rasa tidak sedap hati ketika percutian itu tetapi kami tidak terlalu memikirkannya. Kami menyangka apa dirasai mungkin disebabkan terdedah terlalu lama dengan terik matahari atau sekadar mabuk laut,” katanya.

    Hasan menurut laporan itu memaklumkan, sebahagian daripada kumpulan tersebut mengalami cirit-birit dan demam panas sejurus selepas pulang dan beberapa dimasukkan ke hospital.

    Katanya, seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu dan dua lagi kanak-kanak kecil mengalami keracunan darah.

    Hasan berkata, dia kini tertanya-tanya sama ada air kumbahan mentah telah meresap ke dalam laut.

    Terdapat sekitar 50 resort di Pulau Perhentian, yang terletak kira-kira 22km dari Kuala Besut, iaitu pelayaran 45 minit menaiki bot.

    Pada Jun, FMT melaporkan enam wanita mengalami keracunan makanan walaupun mematuhi nasihat supaya hanya makan makanan di resort tempat mereka menginap disebabkan “kes keracunan makanan yang semakin meningkat”.

    Pengunjung ke pulau itu meninggalkan komen negatif di laman web percutian popular, termasuk mengakui mengalami cirit-birit dan muntah-muntah selepas bercuti di situ.

    Hasan berkata, aduan telah dibuat kepada pengurusan resort, selain laporan kepada Jabatan Kesihatan Kuala Besut dan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Menurutnya, setakat ini hanya KKM memberi maklum balas dengan meminta butiran mereka yang dimasukkan ke hospital, namun yang lain hanya berdiam diri.

    “Mereka seolah-olah tidak memandang serius perkara ini. Ia merosakkan reputasi mereka malah mengakibatkan kos tambahan bagi mereka yang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

    “Pihak relevan mesti mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini, jika tidak ia akan memberi kesan negatif terhadap industri pelancongan negara,” katanya.

    FMT telah menghubungi pihak pengurusan resort, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Jabatan Kesihatan Kuala Besut untuk mengulas perkara itu, tetapi belum menerima sebarang maklum balas.

  • Tiga pulau jadi pulau tenaga hijau – Takiyuddin

    Tiga pulau jadi pulau tenaga hijau – Takiyuddin

    TIGA pulau dalam negara dicadang dijadikan Pulau Tenaga Hijau menggunakan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB), menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata pulau-pulau berkenaan ialah Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu serta Pulau Tioman di Pahang.

    Katanya, kertas cadangan mengenai inisiatif berkenaan telah dibentang kepada Kabinet, Jumaat lepas.

    “Kita cadang mulakan di Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Tadi Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) umum satu lagi pulau iaitu Pulau Tioman.

    “Kerajaan memang serius dan kita harapkan walaupun tidak seluruh negara, ada komponen seperti pulau-pulau ini yang gunakan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu,” katanya pada sidang media selepas perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 oleh perdana menteri, di sini hari ini.

    Perdana menteri ketika berucap berkata inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau ini adalah antara empat sistem pembekalan elektrik negara.

    Dalam pada itu, Takiyuddin berkata kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) kini sedang disediakan kerajaan dengan kerjasama Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) dan dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.

    “Ia penting kerana akan beri kita garis panduan bagaimana untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih 2050,” katanya.

    Terdahulu, dalam ucapannya, Takiyuddin berkata ketetapan dasar serta inisiatif pembangunan tenaga lestari dijangka dapat mengurangkan 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sektor bekalan elektrik.

    Beliau berkata penetapan dasar serta inisiatif tersebut juga akan menghasilkan limpahan ekonomi melalui penjanaan pelaburan sehingga RM33 bilion dan mewujudkan 47,000 peluang pekerjaan langsung.

    “Komitmen inj memerlukan gandingan usaha semua pemegang taruh dalam bidang tenaga lestari,” katanya. – BERNAMA

  • Pulau Perhentian bakal ‘bernafas’ semula

    Pulau Perhentian bakal ‘bernafas’ semula

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    PEMBUKAAN semula gelembung pelancongan di Pulau Perhentian sejak Isnin lalu dijangka mampu menghidupkan kembali sektor pelancongan di Terengganu.

    Ini kerana, penutupan sementara pulau peranginan terkenal itu pada akhir Ogos lalu ekoran berlaku penularan Covid-19 memberi kesan amat mendalam bukan sahaja kepada penggiat industri, tetapi juga penduduk di pulau berkenaan.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab yang juga merupakan Pegawai Daerah Besut, pulau peranginan itu mula dibuka kepada pelancong berkuat kuasa Isnin lalu.

    Katanya, langkah itu dibuat selaras dengan keputusan kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada individu sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan peralihan Terengganu ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Beliau berkata, penggiat industri pelancongan di Pulau Perhentian terutama pengusaha chalet dan pemandu bot sudah bersedia menerima kedatangan pelancong di mana shingga ini lebih 1,508 atau 90 peratus golongan terbabit sudah lengkap divaksin.

    “Malah, pengusaha chalet turut menekankan aspek kebersihan dapur dan penyediaan makanan kepada tetamu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media pada program pemeriksaan premis makanan mengikut norma baharu, di Pulau Perhentian, Besut hari ini.

    Turut hadir ialah Pegawai Kesihatan Daerah Besut, Dr. Hafizuddin Awang.

    Pembukaan semula Pulau Perhentian selaras keputusan kerajaan melonggarkan SOP kepada individu sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan peralihan Terengganu ke fasa tiga PPN.

    Menurut Ahmad Farhan, Jawatankuasa Bencana Daerah Besut bersetuju membenarkan operasi di Jeti Kuala Besut dibuka sepenuhnya Isnin lalu selepas semua penggiat industri pelancongan lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

    Menurut beliau, pembukaan Pulau Perhentian dilakukan selepas semua penggiat industri pelancongan di pulau berkenaan mematuhi SOP Fasa Tiga PPN.

    Akhir Ogos lalu, kerajaan Terengganu terpaksa menutup sementara aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian ekoran berlakunya 75 kes penularan Covid-19.

  • Covid-19:Terenganu tangguh semua aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian

    Covid-19:Terenganu tangguh semua aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    KERAJAAN Terengganu membuat keputusan untuk menangguhkan terlebih dahulu semua aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian, Besut berikutan berlakunya penularan kes positif Covid-19 di pulau itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memberitahu, keputusan itu diambil bagi memastikan jangkitan virus Covid-19 dapat dikawal di pulau peranginan tersebut yang mula dikesan sejak Jumaat lalu.

    Menurut beliau, ketika ini sebahagian besar pulau peranginan di negeri Terengganu termasuk Pulau Perhentian masih belum menerima kehadiran pelancong memandangkan ada dalam kalangan pengusaha dan pemain industri yang belum bersedia untuk beroperasi.

    “Kita sedia maklum, memang tidak dibenarkan orang luar pergi ke Pulau Perhentian dan penduduk di situ juga tidak dibenarkan keluar ke tanah besar bagi mengelak berlakunya penularan dan jangkitan Covid-19,” ujar beliau.

    “Oleh itu katanya, semua aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian akan ditangguhkan buat sementara waktu dan kita akan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) di semua pulau peranginan di Terengganu bagi memastikan insiden sama tidak berulang,” katanya kepada media selepas melawat tapak naik taraf jalur lebar 4G di Kampung Payong, Setiu, hari ini.

    Penularan jangkitan Covid-19 yang berlaku di Pulau Perhentian, Besut menyebabkan
    penduduk di pulau itu dikenakan sekatan pergerakan sejak Jumaat lalu.

    Langkah itu diambil, memandang terdapat sebanyak 75 kes positif dikesan sejak Jumaat lalu, memaksa penduduk di pulau peranginan tersebut menjalani ujian saringan secara besar-besaran.

    Malah, warga masyarakat termasuk pengusaha dan pekerja chalet dan resort turut dikenakan sekatan pergerakan dalam usaha untuk mengekang berlakunya penularan dan jangkitan wabak di pulau peranginan tersebut.