Tag: pulau langkawi

  • 17 kaunter bergerak JPJ dibuka di seluruh negara

    17 kaunter bergerak JPJ dibuka di seluruh negara

    SEBANYAK 17 Kaunter Bergerak Jabatan Pengangkuitan Jalan (JPJ Mobile) telah dibuka di seluruh negara termasuk di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata dua lagi kaunter akan dibuka dalam masa terdekat bagi menampung permintaan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan JPJ.

    “Kita lihat ramai orang mahu mendapatkan perkhidmatan daripada JPJ ini seperti pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor yang kini perkhidmatannya hanya dilakukan di Pejabat JPJ dan Pejabat Pos,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kaunter JPJ Mobile di sini hari ini.

    Sementara itu, Wee berkata bagi pemegang Lesen Belajar Memandu (Lesen LDL), lanjutan tempoh  diberikan sehingga 30 Jun 2021 susulan terdapat kesukaran bagi orang ramai mendapatkan slot janji temu untuk memperbaharui lesen memandu sebelum ini.

    Sementara itu, mengulas projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi yang bermula Khamis lepas, Wee berkata sektor pelancongan dan pengangkutan terutamanya penerbangan, dilihat telah bersedia untuk kembali beroperasi bagi memenuhi permintaan tinggi daripada rakyat.

    “Pemulihan ekonomi kini sedang berjalan … Khamis lepas seramai 800 pengunjung memulakan perjalanan ke Pulau Langkawi dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), manakala 720 pengunjung dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2),” katanya.- BERNAMA

  • Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP, elak kes Covid naik – KP Kesihatan

    Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP, elak kes Covid naik – KP Kesihatan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus COVID-19 di pulau percutian itu.

    “Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya.

    Pada 9 Sept lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

    Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

    HSM merupakan sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit COVID-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan COVID-19 sebanyak 142 katil. 

    Dr Noor Hisham berkata melalui penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas, sebanyak 60 katil tambahan berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit COVID-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

    “Bagi ICU, sebanyak lapankatil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes COVID-19,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata jabatan lain HSM, antaranya Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes COVID-19 yang mungkin akan bertambah.

    “Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

    “Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes COVID-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta,” katanya.- BERNAMA