Tag: Pulai

  • PRK:PN yakin rampas kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

    PRK:PN yakin rampas kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin menang di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kerana situasi politik kini berbeza jika dibandingkan dengan pilihan raya terdahulu.

    Calon PN DUN Simpang Jeram, Dr. Mohd. Mazri Yahya, 54, berkata, PN melihat peluang gabungan politik tersebut untuk menang PRK tersebut adalah lebih cerah disebabkan faktor itu.

    “Dia punya suasana berbeza, PRU14, PRU15 berbeza dengan PRK. PRK ini jauh berbeza. Mudah-mudahan dengan suasana berbeza ini dapat kekalkan suasana dan momentum PN di Johor,” katanya ketika ditemui pemberita. menjelaskan, keputusannya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bukan untuk mencari kekayaan atau kekuasaan.

    Sebaliknya kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu, beliau bersetuju menjadi calon selepas parti mahukannya bertanding lagi selain mahu berkhidmat kepada masyarakat di Simpang Jeram.

    “Saya tiada niat nak tanding PRK tapi sebagai ahli Pas dan AJK Pas Pusat selain mengikut arahan kepimpinan parti untuk bertanding di Simpang Jeram.

    “Pada mulanya perasaan itu berbelah bagi tapi atas dasar tanggungjawab kepada parti, saya rasa perlu (bertanding), Insya-Allah akan cuba sempurnakan amanah ini.

    “Mudah-mudahan masyarakat di Simpang Jeram dapat menerima saya dan cuba sumbang yang terbaik kepada masyarakat Simpang Jeram,” katanya ketika ditemui pemberita.

    Terdahulu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Dr. Mohd. Mazri sebagai calon DUN Simpang Jeram manakala Zulkifli Jaafar sebagai calon di Parlimen Pulai.

    Pengumuman itu dilakukan di Bilik Gerakan Utama PN Pulai, Kempas di Johor Bahru pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali, Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

    Sementara itu, Dr Mohd Mazri berkata, keputusannya bertanding dalam pilihan PRK bukan untuk mencari kekayaan atau kekuasaan.

    Sebaliknya kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu, beliau bersetuju menjadi calon selepas parti mahukannya bertanding lagi selain mahu berkhidmat kepada masyarakat di Simpang Jeram.

    “Saya tiada niat nak tanding PRK tapi sebagai ahli Pas dan AJK Pas Pusat selain mengikut arahan kepimpinan parti untuk bertanding di Simpang Jeram.

    “Pada mulanya perasaan itu berbelah bagi tapi atas dasar tanggungjawab kepada parti, saya rasa perlu (bertanding), insya-Allah akan cuba sempurnakan amanah ini.

    “Mudah-mudahan masyarakat di Simpang Jeram dapat menerima saya dan cuba sumbang yang terbaik kepada masyarakat Simpang Jeram,” katanya.

    Sementara itu, Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai, 50, berkata, pihaknya melihat tiada apa yang mustahil untuk menang di Parlimen Pulai.

    “Kita kena kerja kuat, tiada apa yang tak boleh dapat kalau kerja kuat. Insya-ALLAH kita akan berusaha bersungguh-sungguh,” ujar beliau.

  • PN menang di Pulai, Simpang Jeram jika 90 peratus pengundi Melayu keluar

    PN menang di Pulai, Simpang Jeram jika 90 peratus pengundi Melayu keluar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sekiranya 90 pengundi Melayu keluar mengundi pada 9 September ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut tidak mustahil walaupun sebelum ini ada pihak memaklumkan gabungan politik itu sukar menang di dua kerusi berkenaan.

    “Ada orang kata kepada saya, jika diikut pecahan pengundi ikut kaum, susah nak menang Tan Sri. Usaha ‘not impossible’ (tidak mustahil boleh menang)..
    ini (Parlimen Pulai) kawasan gelap, akan datang ini kawasan putih kerana dalam analisis hampir 80 peratus sokong PN.

    “Itu rahsia (formula PN untuk menang) tapi terdedah, kalau dapat menang, menang kita,” katanya berucap pada majlis pengumuman calon Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bilik Gerakan Utama PN Bahagian Pulai, Kempas, Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kedua-dua calon PN itu sudah ditapis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah dan tidak bangkrap.

    Katanya, PN tidak mahu kalah pada PRK tersebut dan berharap tiada masalah dalaman seperti yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini.

    “Siapa calon yang kita letak harap dapat sokong
    100 peratus,” ujarnya dan mahukan semua pihak bekerjasama dan terus menjalinkan hubungan baik dalam usaha menang dalam PRK tersebut.

    Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada Gerakan kerana berkorban menyerahkan kerusi Parlimen Pulai kepada Bersatu untuk ditandingi mewakili PN.

  • Zulkifli, Mazri calon PN PRK Pulai, Simpang Jeram

    Zulkifli, Mazri calon PN PRK Pulai, Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, pada 9 September nanti.

    Sementara pakar bedah endovaskular, Dr. Mohd. Mazri Yahya pula diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Pengumuman itu dilakukan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN Pulai, Kempas Baru, Johor Bahru, sebentar tadi.

    Hadir sama, Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

    Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept.

  • PRK Pulai, Simpang Jeram: 22 borang penamaan calon dijual setakat semalam

    PRK Pulai, Simpang Jeram: 22 borang penamaan calon dijual setakat semalam

    SEBANYAK 22 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sudah dijual setakat semalam.

    Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua borang berkenaan dibeli oleh parti Amanah, PAS, Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

    “Bagi DUN Simpang Jeram, tiga set (borang penamaan calon) dibeli Amanah, PAS (dua), PN (lima) dan Bebas (satu), manakala bagi Parlimen Pulai, PN membeli lima set, Amanah (empat) dan Bebas (dua),” menurut kenyataan itu di sini.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berasingan hari ini berkata pada hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon (PPC) dari 9 pagi hingga 10 pagi.

    Beliau berkata PPC bagi Parlimen Pulai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, manakala PPC bagi DUN Simpang Jeram ditetapkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

    “Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon,” katanya.

    Selain itu, bakal calon juga disaran untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran itu hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran, kata beliau.

    “Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon,” kata Ikmalrudin.

    Beliau juga mengingatkan, setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi seorang pencadang dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC, selain penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jenis kenderaan tidak dibenarkan pada hari penamaan calon kerana ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon pula dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC ditetapkan.

    Selain itu, calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan mempamerkan dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

    “SPR menyeru kepada bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia dan PBT bagi memastikan proses penamaan calon dapat berjalan dengan baik dan lancar,” kata Ikmalrudin.

    Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept. – BERNAMA