Tag: pukul

  • Buruh cedera dipukul rakan semasa tuntut hutang

    Buruh cedera dipukul rakan semasa tuntut hutang

    APABILA meminjam duit seseorang, memang menjadi kewajipan bagi peminjam untuk melunaskan hutang dalam tempoh yang dijanjikan.

    Jika lambat membayar hutang, pemiutang berhak menuntutnya.

    Namun, lain pula hal yang berlaku di Taman Dusun Setia, Seremban malam tadi.

    Seorang lelaki cedera di bahagian dada selepas bertengkar ketika meminta rakannya untuk membayar hutang.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi, mangsa, Mohd Shahrizad Abu Kaseh, yang bekerja sebagai buruh pergi ke rumah suspek yang berumur 28 tahun.

    Menurut beliau, mangsa yang berumur 30 tahun meminta rakannya membayar hutang seperti yang dijanjikannya semalam selepas menerima gaji.

    “Walau bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan lelaki itu sehingga berlaku pergelutan antara mereka sehingga terjatuh di atas jalan raya.

    “Pada masa yang sama, suspek yang memegang senjata tajam telah terkena pada bahagian kanan dada mangsa sehingga berdarah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Nanda menambah, mangsa kemudian dibawa oleh orang awam ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk menerima rawatan.

    Beliau memberitahu, polis menerima laporan tentang kejadian tersebut daripada orang awam.

    “Polis masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

  • Empat lelaki mengaku tak bersalah pukul bomoh

    Empat lelaki mengaku tak bersalah pukul bomoh

    EMPAT lelaki yang terlibat dalam satu video memaparkan seorang bomoh dipukul sehingga tular di media sosial awal bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul tanpa senjata sehingga menyebabkan kecederaan.

    Bagaimanapun, keempat-empat lelaki itu yang juga pengamal perubatan tradisional iaitu Mohd Syamsul Izwan Midin, 33, Idris Ishak, 42, Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 33, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 39, di sebuah inap desa, dekat sini kira-kira 4 petang, pada 5 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahril Ramli manakala peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad yang mewakili kesemua OKS memohon jumlah jaminan paling minimum.

    Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS dan menetapkan 4 Okt depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.- BERNAMA

  • Lelaki ditahan pukul isteri anak

    Lelaki ditahan pukul isteri anak

    SEORANG lelaki ditahan polis petang semalam selepas disyaki memukul isteri dan anak lelakinya.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Melati Utama di sini, kira-kira 3 petang selepas tular satu hantaran melalui media sosial mengenai pergaduhan suami isteri.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan, dipercayai pergaduhan berkenaan berlaku pada 11.30 pagi semalam apabila lelaki itu memarahi serta menuduh isterinya yang berusia 44 tahun mengambil wang.

    “Mangsa (isteri) hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan namun menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa serta anak lelakinya yang cuba untuk meleraikan pergelutan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ashari berkata bunyi bising daripada pergaduhan itu menyebabkan jiran datang ke kediaman mereka untuk meredakan keadaan.

    Beliau berkata anak mangsa memuat naik hantaran mengenai pergaduhan itu melalui laman sosial hingga tular dan kemudian disedari lelaki itu sekali gus menyebabkan dia sekali lagi menyerang anaknya yang berumur 14 tahun berkenaan.

    Katanya pihaknya akan memohon perintah reman ke atas lelaki itu hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera.- BERNAMA