Tag: PTPTN

  • Diskaun bayaran balik PTPTN selama 3 bulan bermula Mac

    Diskaun bayaran balik PTPTN selama 3 bulan bermula Mac

    KERAJAAN bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan bermula 1 Mac ini, sehingga 20 peratus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ringgit ke bawah, untuk tempoh enam bulan.

    “Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac 2023,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi akan diperuntukkan RM15.3 bilion dalam Belanjawan 2023 berbanding RM14.5 bilion pada 2022, antaranya sejumlah RM436 juta ringgit disediakan bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

    “Sejumlah RM35 juta juga tersedia sebagai dana untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di institusi pendidikan tinggi Malaysia di bawah program Malaysian Research & Education Network (MYREN). – BERNAMA 

  • Kerajaan diminta percepat kelulusan pelaburan PTPTN – Wan Saiful

    Kerajaan diminta percepat kelulusan pelaburan PTPTN – Wan Saiful

    KERAJAAN diminta mempercepat proses memberi kelulusan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melakukan pelaburan bagi memastikan pendepositnya mendapat pulangan dividen yang baik.

    Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perbadanan itu yang juga agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi memerlukan keputusan pantas kerajaan berkaitan perkara itu bagi mengelakkannya terlepas tawaran menarik daripada pengurus dana.

    “Cabaran yang kita hadapi iaitu birokrasi dalam kerajaan di peringkat yang lebih tinggi daripada PTPTN menyebabkan kadangkala kita terlepas tawaran pulangan yang tinggi oleh pengurus dana kita.

    “Katakanlah kalau dia tawarkan kadar pulangan 4.75 peratus tetapi kalau ambil masa sampai lima atau enam bulan (untuk diluluskan), maka suasana ekonomi semasa sudah berubah, jadi komitmen 4.75 peratus itu mungkin sudah tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Kelab Media Elit Kedah di Jitra malam tadi.

    Beliau berkata, sekiranya kelulusan lambat diberikan, PTPTN mungkin terpaksa menerima tawaran pulangan lebih rendah sekali gus boleh menjejaskan kadar dividen yang akan diterima pendepositnya.

    Wan Saiful berkata, setiap cadangan pelaburan PTPTN yang dikemukakan kepada kerajaan telah dirangka dengan teliti termasuk mengenal pasti institusi pelaburan yang mampu mendatangkan pulangan tinggi kepada agensi itu.

    Menurutnya, adalah amat penting untuk PTPTN mengambil peluang yang lebih menguntungkan bagi memastikan pendeposit mendapat pulangan yang baik dan kekal menabung dengan perbadanan itu.

    Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini PTPTN mencatatkan prestasi yang baik dalam memberikan pulangan dividen kepada pendeposit di bawah dua produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

    “Komitmen saya adalah untuk memastikan semua pendeposit diberikan pulangan yang sewajarnya. Sebelum ini dividen kita sekitar empat peratus. Ia berkurang sedikit dalam pengumuman yang saya buat pada awal tahun ini (tiga peratus), tetapi itu adalah disebabkan oleh situasi pasaran dan keadaan ekonomi semasa,” katanya.

    Wan Saiful berkata, PTPTN akan terus mempromosi produk simpanannya terutama di kawasan luar bandar dan universiti bagi menggalakkan lebih ramai mendeposit di bawah SSPN dan mendapat manfaat daripadanya. – BERNAMA

  • Bajet 2022: Diskaun PTPTN mulai 1 Nov – 3 April 2022

    Bajet 2022: Diskaun PTPTN mulai 1 Nov – 3 April 2022

    KERAJAAN bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 1 Nov ini hingga 30 April 2022.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia meliputi diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman serta diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

    Beliau berkata diskaun 10 peratus pula diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

    Bagi memastikan proses pengajian pelajar B40 terus terpelihara, Tengku Zafrul berkata kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar di institusi pengajian tinggi.

    “Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM450 juta di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta. Insya-Allah, 600,000 siswa siswi daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

    Tengku Zafrul juga berkata peruntukan tambahan RM200 juta disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri.

    Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan telah mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai antara pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri.

    “Bagi memperkasa TVET, kerajaan menyediakan RM6.6 bilion untuk melaksana pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi berkaitan. Tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa,” katanya.

    Menurut Tengku Zafrul, Kementerian Pengajian Tinggi diperuntuk RM14.5 bilion dalam Bajet 2022. – BERNAMA

  • 23,487 pelajar terima wang pendahuluan pinjaman PTPTN

    23,487 pelajar terima wang pendahuluan pinjaman PTPTN

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 23,487 pelajar yang akan menyambung pengajian di universiti awam bagi peringkat ijazah sarjana muda untuk sesi kemasukan Oktober 2021, ditawarkan wang pendahuluan pinjaman (WPP) PTPTN berjumlah RM1,500 setiap seorang.

    Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian wang pendahuluan itu bagi membantu para pelajar dan keluarga mereka membuat persiapan awal sebelum menjejakkan kaki ke menara gading.

    Katanya, sebanyak RM35 juta diperuntukkan bagi tujuan itu, kali ini.

    “Ketika mengisi borang permohonan UPUOnline sebelum ini, ada ruang yang perlu diisi untuk mereka memohon WPP ini.

    “Secara umumnya, permohonan mereka itu akan diluluskan sekiranya para pelajar tersebut datang dari keluarga penerima bantuan sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat kelulusan tersebut kepada tiga penerima di daerah Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

    Salah seorang pelajar yang menerima WPP yang disampaikan sendiri oleh Wan Saiful Wan Jan di sekitar Kubang Pasu, Kedah, hari ini,

    Beliau menambah, para pemohon hanya perlu menyemak kelulusan itu dengan memasukkan nombor Mykad masing-masing ke dalam ruangan disediakan di laman web rasmi PTPTN.

    “Sekiranya lulus, mereka akan diberikan waran yang perlu dicetak dan membawanya ke mana-mana cawangan Bank Islam bagi mendapatkan wang tunai.

    “Bermula hari ini, mereka diberi tempoh selama dua bulan untuk berbuat demikian,” katanya.

    Pemohon WPP hanya perlu menyemak status kelulusan dengan memasukkan nombor Mykad masing-masing ke dalam ruangan disediakan di laman web rasmi PTPTN.

    Sementara itu beliau memaklumkan, sebanyak 942,025 pelajar telah menerima manfaat WPP sejak ia diperkenalkan pada 1999.

    “Keseluruhan peruntukan untuk tempoh itu adalah RM1.39 bilion,” katanya.