Tag: PRU-15

  • PN tentukan calon DUN Tioman selepas PRU-15

    PN tentukan calon DUN Tioman selepas PRU-15

    CALON baharu Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan ditentukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ini bagi menggantikan calon gabungan itu, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia pagi ini.

    Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berita kematian ini sudah memaklumkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PN di pusat.

    “PN akan meletakkan calon lain sebagai ganti. Oleh kerana kerusi terbabit adalah milik Pas, maka Pas akan memilih calon daripada parti mereka.

    “Pemilihan itu akan dibuat secepat mungkin, namun bukan hari ini kerana semua pihak masing-masing sibuk dengan proses pengundian,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam hari ini lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, Saifuddin membuang undi di sekolah terbabit pada pukul 9.25 pagi.

    Pada pagi Sabtu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek menangguh proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman selepas Md Yunus meninggal dunia.

    Penangguhan ini hanya melibatkan kerusi DUN berkenaan manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dilakukan seperti biasa.

    Dalam pada itu Saifuddin turut menzahirkan rasa sedih di atas kehilangan calon tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

  • Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga calon PN Tioman

    Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga calon PN Tioman

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi ini.

    Beliau yang juga calon PN Parlimen Pagoh berharap keluarga Allahyarham terus tabah dan cekal dalam menghadapi dugaan itu.

    “Ia berita yang amat menyedihkan.

    “Saya mengucapkan takziah kepada keluarga (Md Yunus),” katanya kepada pemberita selepas mengundi bagi kawasan Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar di sini hari ini.

    Muhyiddin turut ditemani isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

    Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin, Pahang pada 3.30 pagi ini, selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya dipercayai akibat serangan jantung.

    Dalam pada itu, Muhyiddin menasihatkan semua pengundi untuk keluar awal mengundi kerana bimbang banjir akan berlaku jika hujan lebat berterusan.

    Bagaimanapun, beliau melihat cuaca hujan hari ini di Muar tidak menjadi penghalang pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

    “Jadi keluar mengundi seawal mungkin adalah lebih baik,” katanya, kata lapor Sinar Harian.

  • Peja optimis pertahan kerusi Tambun, harap SPR cepat kira undi

    Peja optimis pertahan kerusi Tambun, harap SPR cepat kira undi

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) diharapkan tidak mengheret keputusan pengiraan undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hingga melewati waktu tengah malam.

    Menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ini kerana SPR mempunyai petugas yang mencukupi selain penggunaan teknologi yang boleh mempercepat dan melancarkan urusan berkenaan.

    “Saya harap jangan lama sangat. Dunia makin hari makin maju. Lagi pun SPR ada cukup petugas.

    “Saya fikir nak kira undi bukan terlalu sulit. Harap tak perlu tunggu sampai tengah malam. Saya juga harapkan semuanya berjalan lancar,” katanya selepas hadir mengundi di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Ihtidayah Tambun Height pagi tadi lapor Berita Harian.

    Sebelum itu, Ahmad Faizal yang juga calon PN kerusi Parlimen Tambun tiba bersama isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin kira-kira pukul 7.55 pagi.

    Mengenai peluang untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya itu, Ahmad Faizal optimis PN mampu mencapai kejayaan bersandarkan gelombang sokongan terhadap gabungan parti di seluruh negara.

    “Secara jujurnya selepas dua minggu berkempen, saya rasa ada gelombang di seluruh negara yang menyokong PN …sangat menggalakkan,” katanya.

    Berkenaan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang meninggal dunia pagi tadi, Ahmad Faizal berharap SPR dapat membuat satu keputusan yang baik untuk semua pihak.

    Kepada keluarga Allahyarham, beliau mengucapkan takziah sambil mendoakan rohnya dicucuri rahmat.

    “Saya rasa amat berduka cita dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga beliau dan kita sama-sama doakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-saa orang beriman serta beramal soleh,” katanya.

  • Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan palsu – Muhyiddin

    Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan palsu – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan yang kini tular adalah palsu.

    Perkara itu dinyatakan Muhyiddin dalam muat naik terkini dalam akaun Facebook beliau, malam ini.

    “Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan yang tular ini adalah palsu,” tulis beliau ringkas.

    Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laporan Malaysiakini turut menafikan dakwaan beliu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Muhyiddin untuk membentuk kerajaan campuran yang digelar sebagai “Perikatan Harapan” selepas PRU15.

    Bercakap kepada pemberita petang tadi, Anwar menegaskan ia merupakan pembohongan yang ditimbulkan pihak tertentu yang tahu mereka akan kalah jika berlaku persaingan secara sihat pada pilihan raya esok.

    “Mula-mula kata (Ahmad) Zahid dan saya. Semuanya bohong,” katanya selepas bertemu orang ramai pada perlawanan bola sepak persahabatan petang tadi di Padang Meru Permai, Tambun di Perak.

    “Penipuan yang dibawa mereka yang rasa akan kalah kalau persaingan itu bersih. Maka mereka gunakan (penipuan). Dalam beberapa jam ini, banyak akan digunakan, banyak fitnah lagi, muflis akhlaknya dan terdesak.

    “Bagi saya teliti (dahulu) dan jangan percaya dan rujuk kepada sumber yang sahih, macam belajar hadith,” katanya.

    Presiden PKR itu mengulas MoU yang didakwa ditandatangani bersama Muhyiddin bertarikh 13 Nov untuk membentuk “Perikatan Harapan”, yang tular di media sosial.

    Menurut MOU itu, Muhyiddin dikatakan akan menjadi perdana menteri untuk tempoh dua tahun dari tarikh angkat sumpah sebelum Anwar mengambil alih dan berkhidmat sehingga akhir penggal.

    Sebelum ini, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad – yang mempertahankan kerusi Langkawi – mendakwa Zahid yang juga pengerusi BN mempunyai rancangan untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri selepas PRU15.

    Sebagai balasan, Mahathir mendakwa Anwar akan membebaskan Zahid daripada kes rasuah di mahkamah.

  • ‘Bapa PKP’: Anwar patut berterima kasih bukan tidak bersyukur – Muhyiddin

    ‘Bapa PKP’: Anwar patut berterima kasih bukan tidak bersyukur – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang tidak bersyukur.

    Ia susulan kenyataan dibuat Anwar sewaktu berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang melabelkan bekas perdana menteri itu sebagai “Bapa PKP”.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak seharusnya dipertikaikan individu terbabit memandangkan ianya dibuat demi kepentingan rakyat.

    Menurutnya, PKP lebih banyak mendatangkan kebaikan berbanding kemaslahatan dan ianya tidak wajar dijadikan modal dalam berkempen.

    “Anwar Ibrahim patut bersyukur, semua rakyat Malaysia bersyukur. Sembahyang dan sujud bersyukur ataupun berterima kasih, tetapi dia langsung tidak berterima kasih kepada saya.

    “Bukan saya tuntut tetapi dia mengata saya. Dikatanya ‘Bapak PKP’. Bayangkan saudara dekat Bukit Treh ini tidak ada PKP, awak semua berkeliaran ke sana ke mari. Tak mati orang Bukit Treh ini? Hari ini kalau datang 100 nanti tinggal 30 sahaja,” katanya, lapor Astro Awani.

    Muhyiddin berucap demikian ketika Program Makan Tengah Hari Bersama Jemaah dan penduduk setempat di PDM Bukit Treh, hari ini.

    Tambahnya, semua pihak seharusnya berterima kasih kepada kerajaan yang melaksanakan PKP sebelum ini sehingga wabak COVID-19 ketika ini berjaya dikawal.

    Sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terbaik dari segi pengurusan COVID-19 dan pemberian vaksin.

  • Ucapan saya diambil luar konteks, kata Muhyiddin

    Ucapan saya diambil luar konteks, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kenyataannya dalam sebuah ceramah di Johor yang tular di media sosial “diambil di luar konteks sama sekali”.

    Beliau merujuk kepada video yang tular di TikTok yang menyiarkan ucapannya dalam satu ceramah di Johor baru-baru ini yang disunting secara terpilih.

    “Kenyataan saya yang diedarkan lawan PN khususnya untuk mencemarkan imej saya dan mencipta naratif palsu.

    “Keseluruhan ucapan saya mengambil masa kira-kira 55 minit. Klip video yang tular itu terhad kepada 1 minit dan 35 saat daripada keseluruhan ucapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Muhyiddin menegaskan, beliau secara khusus dan tidak berbelah bahagi bercakap tentang keperluan untuk kestabilan politik, keperluan untuk mengelakkan rasuah, keperluan untuk DAP berhati-hati dalam tuntutannya serta menghormati hak semua kaum di Malaysia termasuk hak istimewa orang Melayu dan Raja Melayu.

    Malah beliau berkata, pada minit ke-48 ucapan itu, beliau secara khusus dan tidak berbelah bahagi menyatakan hasrat Perikatan Nasional untuk melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama agar tidak ada kaum yang ketinggalan. “Saya berkata:

    “Semua orang mesti makmur. Melayu, Cina, India mesti berkongsi bersama. Agar kemakmuran negara kita dapat dikongsi oleh semua kaum.”

    Muhyiddin berkata, dalam ucapan itu beliau turut mengulangi komitmen Perikatan Nasional terhadap keadilan dan kesaksamaan.

    “Keseluruhan ucapan saya adalah untuk menggalakkan kestabilan, kedaulatan undang-undang, keadilan kepada semua kaum dan agama dan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang.

    “Untuk rekod, saya mengulas klip video yang tular sepanjang tempoh pilihan raya ini di mana kumpulan agama asing secara khusus kelihatan mendoakan agar kerajaan jatuh ke tangan pembangkang.

    “Perikatan Nasional menyokong kestabilan, keadilan kepada semua dan bebas rasuah,” tambah kenyataan itu.

    Dalam rakaman sebuah ceramah di Johor pada Jumaat lalu, Muhyiddin mendakwa kumpulan Yahudi mahu Pakatan Harapan menang esok dan mendakwa PH bekerjasama dengan Yahudi dan orang Kristian untuk “menjajah” negara.

  • Calon PRU-15 didakwa hadir program tawar cabutan bertuah

    Calon PRU-15 didakwa hadir program tawar cabutan bertuah

    POLIS menerima laporan mengenai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) didakwa berceramah dalam program yang menawarkan cabutan bertuah kepada orang ramai, malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, laporan polis itu dibuat wakil parti politik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, kira-kira pukul 10 pagi.

    “Sehubungan itu kita merujuk kes tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM),” katanya lapor Berita Harian hari ini.

    Sebelum itu, calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mendakwa kempen calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen berkenaan, Chua Jian Boon, terlalu mewah.

    Katanya, menerusi ceramah mega dan perjumpaan dengan masyarakat India di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di Kulai, malam tadi membabitkan lebih 100 hadiah disediakan.

    Nie Ching berkata, program yang dihadiri Jian Boon itu bersifat sebagai membeli undi.

    “Pada program itu, lebih 10 artis dijemput dan melakukan persembahan, malah sebanyak 100 hadiah juga telah disediakan untuk acara cabutan bertuah termasuk rantai emas untuk lelaki dan wanita.

    “Selain itu, terdapat juga hadiah seunit rantai tangan emas, seunit anting-anting dan 10 unit emas hidung Mukkutti.

    “Hadiah lain ialah lima unit telefon pintar, 10 unit periuk nasi dan pelbagai lagi perkakasan elektrik serta hamper,” katanya.

    Sementara itu, Jian Boon ketika dihubungi BERNAMA, membidas dakwaan Nie Ching itu dan menjelaskan bahawa beliau hanya memenuhi jemputan dan majlis itu bukan dianjurkan pihaknya.

    Chua bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan akan memberikan kerjasama penuh.

    “Saya hadir ke program itu atas jemputan dan hanya singgah sebentar sahaja sebelum pergi lokasi lain malam tadi.

    “Saya juga sudah maklum kepada peguam saya dan kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasat serta saya tiada masalah untuk beri kerjasama,” katanya.

  • Pengundian Parlimen Padang Serai ditetapkan 7 Disember – SPR

    Pengundian Parlimen Padang Serai ditetapkan 7 Disember – SPR

    PROSES pengundian kerusi Parlimen Padang Serai ditetapkan pada 7 Disember depan sekali gus tiada pengundian esok.

    Ini susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya yang merupakan salah seorang calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi berkenaan.

    Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, proses pengundian Parlimen itu ditetapkan pada 7 Disember.

    “Tarikh penamaan calon bagi Parlimen Padang Serai adalah 24 November manakala undi awal pula 3 Disember.

    “Tempoh berkempen ditetapkan selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember 2022 (Selasa),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Karupaiya, 69, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu meninggal dunia di Hospital Kulim kelmarin dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

    Pada PRU-15, Karupaiya berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan Ananda Ak (BEBAS).

    Pada PRU-14, Karupaiya yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1, menang dengan majoriti 8,813 undi.

  • PRU-15: Pilih calon wakil rakyat yang paling ringan bahayanya – Khutbah Jumaat

    PRU-15: Pilih calon wakil rakyat yang paling ringan bahayanya – Khutbah Jumaat

    UMAT Islam diingatkan agar memilih calon parti politik yang paling ringan bahayanya di antara dua orang yang berbahaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok.

    Ia sesuai dengan kaedah fiqh yang menegaskan apabila bertembungnya dua mafsadah (kerosakan), maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.

    Menurut teks khutbah Jumaat di seluruh Selangor dengan tajuk “Kewajipan Mengundi Dalam Pilihan Raya”, memilih calon paling ringan bahaya itu adalah satu daripada tiga kaedah memiliki wakil rakyat mengikut Islam.

    Selain itu menurut teks berkenaan, umat Islam perlu memilih calon paling berkelayakan iaitu individu paling bertakwa dan mampu memikul tanggungjawab wakil dan suara rakyat, komitmen dengan kewajipan agama dan meninggalkan perkara-perkara haram dan syubhah.

    “Kaedah ketiga ialah, seorang pengundi tidak boleh mengubah pilihannya daripada memilih calon yang lebih layak kepada calon yang kurang layak dengan dorongan fanatisme, hubungan keluarga atau kepentingan tertentu.

    “Sekiranya ini dilakukan, bererti dia mengkhianati Allah dan Rasul SAW,” kata teks yang diterbitkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor hari ini.

    Mengulas lanjut, teks itu menegaskan umat Islam wajib keluar mengundi untuk menentukan masa depan Islam, negara dan umat kerana sesiapa yang mengabaikannya dianggap berdosa, melanggar perintah dan suruhan Allah.

    Selain itu menurut teks berkenaan, umat Islam dingatkan tidak melantik pemimpin yang tidak amanah dan tidak berupaya menjaga Islam dan syariatnya.

    “Begitu juga Islam melarang menyokong pemimpin yang meminta jawatan dan mendapatkan jawatan melalui cara yang tidak baik dan tidak mampu berlaku adil.

    “Umat Islam hendaklah memilih pemimpin yang sentiasa mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan. Ini kerana masa depan Islam dan negara adalah di tangan kita semua.

    “Oleh itu pilihlah dengan ilmu dan kebijaksanaan, bukan dengan logik akal, amarah, dendam dan permusuhan,” kata teks itu lagi.

  • Institusi pondok sokong perjuangan PN bangunkan ummah – Muhyiddin

    Institusi pondok sokong perjuangan PN bangunkan ummah – Muhyiddin

    INSTITUSI pondok di negara ini menyatakan sokongan padu terhadap perjuangan Perikatan Nasional (PN) sebagai wadah membangunkan ummah.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dinyatakan 15 wakil pentadbir institusi pondok, mewakili 313 sekolah pondok seluruh negara yang datang menemuinya semalam.

    Katanya, antara yang hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia Baling Kedah, Ahmad Marzuki Mat Yusof; Pengarah Sekolah Islam Hatimurni, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali dan Pengerusi Persatuan Guru Agama Pondok Pantai Timur; Syed Suhaimi Syed Hassan.

    “Semua sekolah berkenaan mempunyai 21,910 murid. Wakil mereka hadir dengan menyatakan sokongan padu terhadap perjuangan Perikatan Nasional sebagai wadah membangunkan ummah,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.

    Muhyiddin pada pertemuan ringkas itu berkata, hadirin berbincang akan hala tuju dan fungsi sekolah pondok dalam melahirkan lebih ramai ulama dan hafiz sebagai kesinambungan generasi akan datang.

    Perwakilan turut menyuarakan kebimbangan mereka akan penularan pengaruh liberalisme yang tidak berlandaskan fahaman ahli sunnah wal jamaah yang sangat bahaya dan perlu ditangani segera.

    Turut dibincang antaranya usaha memperkasa silibus pendidikan supaya setanding Sijil Tinggi Agama Malaysia.

    “Saya yakin usaha murni ini boleh dilaksanakan menerusi penyelarasan kurikulum yang diiktiraf badan akreditasi,” katanya.

    Mengulas perkara itu, Muhyiddin berkata, beliau menyatakan bahawa dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15, PN juga memberikan perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz.

    “Ini bagi memastikan persekitaran sekolah yang kondusif. Bantuan penyelenggaraan akan diberikan kepada semua sekolah pondok atau tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau bersyukur ke hadrat Allah SWT usaha PN memperjuangkan Islam turut diiringi doa daripada anak-anak tahfiz seluruh negara yang dizahirkan pada program Munajat Pilihan Raya diadakan baru-baru ini.

    “Saya sangat menghargai doa semua pihak yang memohon supaya negara terselamat daripada bencana dan tidak dipimpin pihak yang tidak amanah, salah guna kuasa dan secara terang memusuhi Islam.

    “Semoga ikhtiar kita dengan berdoa selepas berusaha ini diberkati Allah SWT dan berkat kesungguhan kita berjuang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ini dikabulkan dengan negara ini dapat ditadbir dengan penuh prihatin, bersih dan stabil,” tambah beliau.