Tag: PRU-15

  • PRU-15: Anak muda pencetus gelombang sokongan luar biasa kepada PN

    PRU-15: Anak muda pencetus gelombang sokongan luar biasa kepada PN

    SOKONGAN anak muda adalah pencetus gelombang luar biasa kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pilihan raya kali ini menyaksikan kebangkitan rakyat Malaysia yang membentuk gelombang sokongan luar biasa kepada PN, terutama sokongan anak muda.

    “Terima kasih kepada semua jentera yang sentiasa bersiap-sedia menerima arahan dan menjalankan tugasan dengan sebaiknya. Keikhlasan dan kesungguhan yang ditonjolkan membuahkan hasil yang lumayan melalui kemenangan besar PN dalam PRU15 ini.

    “Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mampu membalas setiap masa dan tenaga yang dikorbankan demi menegakkan kebenaran di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera sepanjang fasa pilihan raya dan memberi undi kepada kepimpinan yang bersih dan stabil untuk menerajui Malaysia.

    “Hal ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin cakna dengan perkembangan semasa dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif fitnah yang dibawa oleh musuh. Sesungguhnya kemenangan PN adalah kemenangan rakyat Malaysia.

    “Pemuda PN menyokong penuh pembentukan kerajaan PN yang bersih dan stabil di peringkat persekutuan dan akan terus komited berkhidmat demi kesejahteraan rakyat, seterusnya mengangkat aspirasi agama, nusa dan bangsa dengan sebaiknya,” katanya lapor portal BeritaBersatu.

  • Saluran anak muda tumbangkan Ku Nan di Putrajaya

    Saluran anak muda tumbangkan Ku Nan di Putrajaya


    UNDI anak muda atau Undi18 menjadi antara faktor penentu menyebabkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tewas di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Rekod cemerlang Ku Nan yang juga penyandang empat penggal sejak 2004 itu, akhirnya dileburkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin selaku calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis 2,310 undi.

    Keputusan PRU15 Parlimen P125 Putrajaya menyaksikan Radzi yang pertama kali bertanding di kerusi itu memperoleh 16,002 undi, manakala Tengku Adnan atau Ku Nan mendapat 13,692 undi.

    Empat lagi calon kerusi itu iaitu Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz dari Pakatan Harapan (PH) mendapat 5,988 undi, manakala tiga lagi calon hilang deposit iaitu Datuk Mohd Rosli Ramli (PEJUANG) meraih 878 undi, calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi (63) dan Lim Fice Bee (20).

    Lapor Berita Harian, Tengku Adnan biarpun ketika berkempen begitu yakin undi anak muda tetap memihak kepadanya kerana beranggapan beliau sudah lama di Putrajaya dan menganggap golongan terbabit tidak lebih seperti anak atau cucunya sendiri.

    Namun di pusat penjumlahan undi di Dewan Pusat Kejiranan Presint 9 semalam yang menjadi perbezaan antara beliau dan Radzi ternyata berlaku di saluran lima dan enam iaitu saluran anak muda.

    Seramai 42,881 pengundi berdaftar layak mengundi bagi Parlimen Putrajaya pada PRU15, yang mana 53 peratus daripadanya adalah anak muda berusia 18 hingga 39 tahun yang mewakili 25,415 pengundi.

    Berdasarkan data SPR peratusan keluar mengundi untuk PRU15 di Parlimen ini semalam mencatat 86.21 peratus atau 36,643 jumlah undian pemilih.

    Berdasarkan pemerhatian perjalanan kempen, mungkin merasakan terlalu selesa, Tengku Adnan juga dilihat kurang agresif untuk mendekati anak muda kali ini berbeza dengan pesaing rapatnya.

    Kegagalan melihat apa yang anak muda mahu dan menekankan dengan bersungguh-sungguh tawaran untuk membantu golongan muda mendepani krisis ekonomi dan peningkatan kos hidup juga turut menyumbang kepada kekalahan Tengku Adnan.

    Pengundi di Putrajaya juga tidak memerlukan pembangunan yang hebat-hebat kerana Pusat Pentadbiran kerajaan sudah sedia mencukupi, cuma perlu ditangani dan tambah baik beberapa isu terutamanya masalah tempat meletak kenderaan

    Berbanding Radzi yang pada mulanya dilihat tidak mampu menggugat kubu kuat Barisan Nasional itu berikutan kisah kekalahannya pada PRU14 di Parlimen Ketereh, sebelum berubah angin dan memilih Putrajaya.

    Bekas Menteri Kanan Pendidikan dalam kerajaan terdahulu itu menggunakan keperluan jawatannya itu untuk tinggal di Putrajaya dan bijak melakukan kerja di lapangan lebih awal biarpun belum pasti mahu bertanding di Parlimen mana.

    Penggunaan tagline ‘Era Baharu Putrajaya’ ternyata menarik perhatian pengundi muda untuk memilih Radzi atau lebih dikenali dengan singkatan nama DRJ sepanjang berkempen.

    Radzi juga membuat pecutan awal kepada ‘gear lima’ sebaik kempen dimulakan dengan mendekati rapat komuniti Putrajaya termasuk pemimpin masjid dan surau, pemimpin persatuan penduduk, komuniti kebun, pemimpin sukan, sekali gus mengambil cakna cabaran dihadapi mereka.

    Sikap beliau yang dilihat rajin bekerja, bersih dan menangani isu pendidikan dengan baik ketika pandemik ternyata menarik perhatian penduduk Putrajaya untuk memilihnya sebagai Ahli Parlimen mewakili mereka.

    Radzi yang ditemui media selepas pengumuman keputusan, menyifatkan kemenangannya untuk semua warga Putrajaya dan jentera PN yang bekerja keras dalam PRU-15.

    “Terima kasih kepada semua pengundi, ini kerja keras untuk pastikan misi yang dianggap mustahil berjaya… ia era baharu Putrajaya,” katanya.

  • ‘Janji sembelih lembu akan ditepati’ – Nik Amar

    ‘Janji sembelih lembu akan ditepati’ – Nik Amar

    “Janji insyaAllah akan ditepati,” itu jawapan ringkas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

    Beliau diajukan soalan mengenai janjinya untuk menyembelih 20 ekor lembu sekiranya calon Parlimen Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi mendapat majoriti 20,000 undi.

    Beliau menjawab soalan itu melalui aplikasi WhatsApp kepada Harakahdaily malam tadi.

    Sebelum ini ketika menyampaikan ceramah memperkenalkan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tumpat, beliau antara lain menyebut akan mengorbankan 20 ekor lembu sekiranya Mumtaz memperolehi majoriti 20,000 undi.

    Ucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan secara spontan itu diikuti laungan takbir hadirin, ketika menyampaikan ceramah di Padang Puteri Saadong Wakaf Bharu.

    Pada malam itu juga Mohd Amar mengingatkan calon UMNO tanpa menyebut nama dalam ceramahnya itu supaya tidak lagi mengakui sebagai orang Pas.

    Mumtaz berjaya memperolehi majoriti sebanyak 34,793 undi setelah memperolehi undi 65,426 undi jauh meninggalkan lawannya dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Putra.

  • Kecewa peranan MKT diketepikan, Dira gesa Ahmad Zahid berundur

    Kecewa peranan MKT diketepikan, Dira gesa Ahmad Zahid berundur

    TEKANAN ke atas Pengerusi Barisan Nasional, yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin meningkat, apabila lebih ramai pemimpin kanan parti mendesaknya untuk mengundurkan diri.

    Kali ini, desakan itu dibuat ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang menyarankan agar Ahmad Zahid mengundur diri, supaya parti boleh melakukan perubahan yang mutlak.

    Menurut beliau, biarpun rakyat menolak pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak menjadikan barisan kepimpinan UMNO sebagai pilihan mereka kali ini.

    “Walaupun telah ramai memperkata dan memperingatkan agar parti perlu lebih berhati-hati dan berubah, tetapi tidak diendahkan.

    “Akhirnya rakyat sendiri terpaksa menyingkirkan UMNO. Bukan sahaja pemimpin besar UMNO yang lain, bahkan turut mengorbankan sahabat-sahabat saya, pelapis muda, yang berpotensi dalam UMNO dan Barisan Nasional,” katanya lagi.

    Perubahan baharu Malaysia pasca PRU-15, kata Khaidhira, memberi signal jelas daripada rakyat untuk UMNO agar lebih serius melakukan perubahan tampuk kepimpinan selari dengan denyut nadi rakyat.

    Mengulas lanjut, Khaidhirah berkata, era parti terbesar dan memiliki ahli teramai yang mampu menjanjikan kemenangan telah berlalu, dan hakikatnya, peratusan ahli UMNO sebagai pengundi jauh lebih kecil daripada pengundi bukan parti.

    Khaidhira berkata, sebagai pemimpin muda dalam parti, beliau juga menyahut seruan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa agar Zahid mengundurkan diri dengan segera.

    “Bahkan dalam situasi genting hari ini, sebarang bentuk rundingan perlu dibawa ke meja perbincangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Namun, saya menzahirkan rasa kecewa kerana seolah-olah MKT sebagai pembuat keputusan tertinggi diketepikan dan mesyuarat MKT dibatalkan.

    “Parti memerlukan perubahan mutlak mendengar suara hati rakyat. Bukan sahaja kehendak akar umbi UMNO semata, tetapi kehendak hati nurani rakyat sebagai pengundi majoriti,” katanya, lapor Astro Awan.

  • Noh Omar pula desak Zahid letak jawatan, cadang orang baru urus UMNO

    Noh Omar pula desak Zahid letak jawatan, cadang orang baru urus UMNO

    LAGI desakan meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan besar parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Kali ini ia dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Tan Sri Noh Omar yang hilang kepercayaan dengan kepimpinan Ahmad Zahid.

    Menurut Noh, beliau meminta Zahid agar berjiwa besar meletakkan jawatannya sebagaimana dilakukan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil tanggungjawab kekalahan PRU-14 lalu.

    Katanya, adalah lebih elok UMNO diuruskan oleh kepimpinan baharu.

    “Saya pun tadi minta jika Presiden berjiwa besar dia patut letak jawatan seperti mana (yang dilakukan oleh) Datuk Seri Najib bila kalah (dalam PRU14) dia dipaksa meletak jawatan. Biarlah orang baharu yang menguruskan UMNO,” katanya.

    Mengulas lanjut, Noh memaklumkan beliau turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor secara rasmi berkuat kuasa hari ini.

    Noh bagaimanapun menegaskan, beliau masih Ahli MKT dan akan hadir ke mesyuarat yang diadakan, namun tidak akan menghadiri Mesyuarat Biro Politik.

    “Saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, bukan sahaja Presiden tak percaya pada saya tetapi saya pun sudah tidak percaya dengan kepimpinannya,” katanya lapor Berita Harian.

  • PN bincang dengan GPS dan parti lain, yakin bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PN bincang dengan GPS dan parti lain, yakin bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) pagi ini mengadakan pertemuan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usahanya membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

    Ini setelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertemuan itu melibatkan Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

    Katanya, pertemuan itu turut disertai Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Pagi ini saya menerima kunjungan Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Abdul Hadi Awang, Presiden Pas untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.

    PRU-15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen Bebas. 

    Ia selaras dengan kenyataan beliau awal pagi ini bahawa PN mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca PRU15.

    “Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas. 

    “InsyaAllah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” tambah beliau.

  • ‘Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia’ – Muhyiddin

    ‘Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih beliau kepada penduduk Pagoh kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada beliau sebagai ahli Parlimen kawasan itu.

    Ini susulan kejayaan beliau mempertahakan kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan majoriti besar.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau amat menghargai sokongan dan doa rakyat Malaysia selain berazam melakukan terbaik untuk Pagoh.

    “Alhamdulillah, syukur atas keputusan yang memihak kepada saya. Terima kasih warga Pagoh yang sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Ahli Parlimen anda.

    “Saya amat menghargai sokongan dan doa setiap daripada anda. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk Pagoh. Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia,” katanya.

    Sebelum itu, Muhyiddin diumumkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 10,007 undi.

    Calon Perdana Menteri bagi PN itu menewaskan dua saingan lain iaitu calon Pakatan Harapn (PH), Iskandar Shah Abd. Rahman dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Razali Ibrahim.

    Muhyiddin memperoleh 24,986 undi, manakala Iskandar mendapat 14,979 undi dan Razali memperoleh 14,426 undi.

    Peratus keluar mengundi di kerusi tersebut adalah sebanyak 77.77 peratus dengan 54,391 undi dikira berbanding 69,939 pengundi berdaftar.

  • PRU-15: PN menang di Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang

    PRU-15: PN menang di Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang

    PERIKATAN Nasional (PN) menang tiga kerusi Parlimen di Selangor Utara termasuk merampas kubu kuat BN di Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Calon PN Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menang di kerusi itu selepas menewaskan calon BN, Datuk Habibah Mohd Yusof dan tiga calon lain dengan majoriti 2,180 undi.

    Habibah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang meraih 15,874 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Siti Rahayu Bahari mendapat 12,314 undi.

    Dua lagi calon iaitu Azlan Sani Zawawi dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 3,557 sementara calon Bebas, Mohd Rosni Mastol memperoleh 1,406 undi, lapor Sinar Harian.

    Kerusi Parlimen Tanjong Karang sebelum ini menjadi kubu kuat BN selepas dimenangi Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada BN sejak enam penggal lalu.

    Bagaimanapun Noh digugurkan dan tidak dicalonkan bagi mempertahankan kerusi itu pada PRU15.

    Sementara itu, calon PN Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan memenangi kerusi itu selepas memperoleh majoriti 5,056 undi.

    Kalam memperoleh 17,973 undi menewaskan calon BN, Datuk Abd Rahman Bakri yang mendapat 12,917 undi dan Shamsul Ma’arif Ismail dari PH memperoleh 9,627 undi serta calon Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Seri Eizlan Yusof yang memperoleh 460 undi.

    Sementara itu, di kerusi Parlimen Sungai Besar juga menyaksikan kemenangan calon PN apabila penyandangnya, Muslimin Yahaya memperoleh majoriti 2,721 undi.

    Muslimin mendapat 19,791 undi, manakala calon PH, Saipolyazan M Yusof pula mendapat 17,070 undi, sementara calon BN, Datuk Seri Jamal Md Yunos pula sebanyak 13,984 undi serta calon Pejuang, Datuk Asmawar Samat mendapat 225 undi.

  • PRU-15: Sidang media PN dalam masa terdekat

    PRU-15: Sidang media PN dalam masa terdekat

    DENGAN Perikatan Nasional (PN) dilihat menguasai sebilangan besar kerusi Parlimen, pemimpin tertingginya masih belum membuat sebarang pengumuman setakat ini.

    Lapor Berita Harian, setakat pukul 1.32 pagi, suasana di Pusat Media Utama PN di Glenmarie Hotel & Golf Resort di Shah Alam, masih dipenuhi penyokong gabungan berkenaan yang menantikan pengumuman rasmi daripada pemimpin mereka.

    Ketika ini, beberapa pemimpin tertinggi PN termasuk Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sedang berada di bilik menunggu khas.

    Difahamkan, satu sidang media akan diadakan dalam tempoh terdekat.

    Berdasarkan paparan skrin di Pusat Media Utama gabungan itu, gabungan itu secara tidak rasmi memperoleh 55 kerusi Parlimen setakat pukul 1.11 pagi.

  • PRU-15: Pengundi ‘bersarakan’ Ku Li dan Mahathir

    PRU-15: Pengundi ‘bersarakan’ Ku Li dan Mahathir

    PENGERUSI Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

    Turut menerima nasib serupa ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang tewas mengejut kepada calon PAS-Bersatu Datuk Mohd Azizi Abu Naim dalam usaha beliau mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12

    Menurut keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini, Dr Mahathir, 97, yang merupakan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh negara serta calon tertua pada PRU15, hanya memperoleh 4,566 undi berbanding 25,463 undi diterima Mohd Suhaimi yang mencatatkan majoriti 13,518 undi.

    Tiga lagi calon yang tewas dalam perebutan kerusi itu ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Armishah Siraj yang memperoleh 11,945 undi, calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah Zabidi Yahya (5,417 undi) dan calon Bebas yang menggunakan lambang bunga Datuk Abd Kadir Sainudin yang hanya meraih 89 undi dan turut hilang deposit.

    Pada PRU14, Dr Mahathir memenangi kerusi Parlimen Langkawi di bawah tiket PKR dengan majoriti 8,893 undi untuk menewaskan calon BN Datuk Nawawi Ahmad dan Zubir Ahmad dari Pas.

    Sementara itu, Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh yang mewakili BN mendapat 21,663 undi.

    Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gua Musang Ab Pattah Hasbullah.

    Tengku Razaleigh, 85, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, juga merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

    Pada PRU14, Tengku Razaleigh memenangi kerusi Parlimen Gua Musang dengan majoriti 3,913 undi selepas menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR.