Tag: PRU-15

  • Rani Kulup bertanding PRU-15 di Port Dickson

    Rani Kulup bertanding PRU-15 di Port Dickson

    AKTIVIS masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Port Dickson mewakili Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN).

    Abdul Rani, 67, atau popular dengan panggilan Ayahanda dijangka berdepan saingan sengit daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili Pakatan Harapan (PH) dan pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

    Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat keputusan menyertai politik selepas 22 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Menurutnya, hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sudah lama sejak PRU-14 lalu.

    “Port Dickson adalah Bandar Tentera Darat dan saya mahu di sini juga wujudnya Kampung Tentera Darat kerana di sini lahirnya pahlawan negara.

    “Kalau ikutkan hati, saya mahu bertanding di semua kerusi parlimen namun saya perlu bermula di sini,” katanya dalam satu sidang media petang tadi, lapor Harian Metro.

    Katanya, parti BPN juga sudah mengumumkan akan bertanding di semua kerusi parlimen.

    “Saya bekas tentera yang berpencen sejak 1995 selepas berkhidmat selama 22 tahun dan saya percaya boleh membantu bukan saja warga tentera tetapi juga orang awam.

    “Selama ini saya banyak bergerak mewakili NGO berjumpa wakil rakyat untuk membantu orang ramai dan kini sampailah waktunya saya berkhidmat sebagai wakil rakyat,” katanya.

    Abdul Rani berkata, tujuannya masuk politik bukanlah untuk bersaing dengan sesiapa atau parti politik tetapi hanya mahu berbakti kepada masyarakat.

    “Sebelum ini saya berjumpa orang ramai di bawah pokok dan jujurnya saya ikhlas memperjuangkan nasib masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

    “Port Dickson sudah dikenali sebagai Bandar Tentera Darat dan saya percaya semua warga tentera akan menganggap Port Dickson adalah ‘kampung’ mereka,” katanya.

    Menurutnya, beliau amat berharap agar pengundi di Port Dickson memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat secara sah di sini.

    “Saya akan berkampung di Port Dickson sebaik penamaan calon pada 5 November ini sehingga hari terakhir pengundian nanti.

    “Kalau boleh, pengundi berilah peluang untuk saya berkhidmat kerana saya pasti banyak perkara yang saya boleh bantu masyarakat melalui sidang Parlimen,” katanya.

    Beliau berkata, ramai yang curiga peluangnya menang kerana kerusi Parlimen Port Dickson adalah kerusi panas.

    “Saya tidak peduli siapa lawan saya atau parti politik mana tetapi yang pasti, saya mahu menawarkan diri berkhidmat sebagai wakil rakyat.

    “Dalam tentera saya sudah berkhidmat selama 22 tahun dan pangkat terakhir ialah Rejimen Sarjan Mejar (RSM) yang pastinya dapat membantu dalam mentadbir sebaik mungkin,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan BPN adalah parti politik baharu ditubuhkan oleh sekumpulan ahli perniagaan dan bertanding di 160 kerusi parlimen pada PRU-15.

    Presidennya, Datuk Ibrahim Yahaya berkata, kebanyakan kerusi itu terletak di Semenanjung manakala yang lain di Sabah dan Sarawak.

  • Abdul Hadi tidak pernah tuduh Anwar ahli Freemason sedunia

    Abdul Hadi tidak pernah tuduh Anwar ahli Freemason sedunia

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak pernah menuduh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli Freemason sedunia.

    Pejabat Presiden Pas menerusi kenyataan media berkata, pihaknya menafikan dakwaan tersebut dan untuk rekod Abdul Hadi tidak pernah mengungkapkan tuduhan seperti dikatakan.

    “Merujuk kepada suatu laporan berita dan petikan video ucapan Presiden PKR yang mendakwa kononnya Presiden Pas mengatakan beliau adalah ahli Freemason sedunia.

    “Pihak kami dengan ini terpanggil untuk menafikan dakwaan tersebut, malah untuk rekod Presiden Pas tidak pernah mengungkapkan tuduhan yang dikatakan itu,” kata kenyataan itu hari ini.

    Mengulas lanjut, Pejabat Presiden Pas berkata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Pas tetap menolak budaya politik fitnah, janji kosong dan tuduhan palsu yang tidak berasas sama sekali.

    Katanya, benarlah pepatah Arab yang berbunyi, ‘Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu dizalimi’.

    Artikel dan rakaman video yang mengandungi dakwaan Anwar terhadap Abdul Hadi itu disiarkan dalam portal SelayangPandang.net pada 23 Oktober lalu.

  • PRU-15: Rara taruhan DAP pertahan Bentong

    PRU-15: Rara taruhan DAP pertahan Bentong

    DAP mempertaruhkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, ketika sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

    Loke berkata, penyenaraian Young Syefura atau lebih dikenali Rara untuk bertanding di kerusi Parlimen adalah langkah strategik untuk memastikan masa depan DAP ke arah parti pelbagai bangsa.

    Young Syefura atau lebih dikenali Rara dijangka bertembung Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diuar-uar mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi terbabit.

    Pada PRU14, kerusi Parlimen Bentong dimenangi DAP melalui aktivis anti-Lynas, Wong Tack yang bertanding menggunakan logo PKR, menewaskan dua calon termasuk Tiong Lai selaku penyandang.

    Ditanya mengenai nama Wong Tuck yang tidak disenarai, Loke berkata penyandang kerusi Parlimen Bentong itu menolak tawaran parti untuk bertanding di Cameron Highlands

    “Kita mahukan langkah yang strategik untuk Bentong dan kita cadangkan beliau (Wong Tuck) bertanding di Cameron Highlands, namun beliau tidak bersetuju,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau bagaimanapun tidak mengulas sebab mengapa Wong Tuck tidak bersetuju dengan cadangan parti itu, sebaliknya menyerahkan kepada bekas wakil rakyat berkenaan untuk menjelaskannya.

    “Saya berbincang dengannya selama tiga jam mengenai kerusi Bentong, namun keputusan akhir terletak pada tangan beliau.

    “Di peringkat parti, kita perlu buat keputusan memandangkan waktu yang ada suntuk,” katanya.

    Dalam pada itu, DAP menerima satu lagi kerusi Parlimen di Pahang iaitu Lipis untuk meletakkan calonnya dalam PRU14, sebagai tambahan kepada tiga kerusi sedia ada iaitu Bentong, Cameron Highlands dan Raub.

    Selain Rara di Bentong, Loke turut mengumumkan nama untuk baki tiga lagi kerusi Parlimen termasuk penyandang kerusi Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang akan bertanding di Lipis.

    Dua lagi nama ialah penyandang kerusi DUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong yang akan bertanding di Parlimen Cameron Highlands dan Chow Yu Hui yang akan mempertahankan penguasaan di Raub.

  • PRU-15: Pemimpin terpalit kes rasuah tak perlu bertanding

    PRU-15: Pemimpin terpalit kes rasuah tak perlu bertanding

    PERTUBUHAN bukan kerajaan yang memerangi rasuah, Pasukan Rasuah Busters, berpendapat pemimpin politik yang terpalit dengan kes rasuah dan penyelewengan tidak perlu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

    Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pemimpin yang rekodnya sudah tercemar dan bermasalah sepatutnya berundur dan memberi peluang kepada mereka yang berintegriti dan jujur menggalas tanggungjawab membangunkan negara.

    “Berilah peluang kepada negara ini untuk bangkit sekarang, bagilah peluang kepada anak cucu kita untuk mendapat kerajaan yang lebih baik,” katanya kepada Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk Rakyat Adalah ‘Boskau’ disiarkan di platform digital Sinar Harian, hari ini.

    Hussamuddin menjelaskan, pengunduran itu juga akan membuka ruang kepada lebih ramai pemimpin lain yang jujur, berintegriti, berwawasan, bijak dan mempunyai solusi untuk kembalikan negara ke landasan yang betul.

    “Ini kerana kita tengok negara ini sudah semakin mundur dan berpecah-belah kerana wujudnya kerakusan dalam politik. Jadi ketika ini, kita mahu pemimpin-pemimpin generasi baharu yang mampu keluarkan kita semua daripada kegelapan ini,” katanya dalam wawancara itu tanpa merujuk kepada individu tertentu.

    Untuk rekod beberapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta keluarga mereka sebelum ini didakwa di mahkamah kerana terlibat dalam kes jenayah, termasuk rasuah dan penyelewengan ketika memerintah negara sebelum 2018 lalu.

    Antara mereka ialah Presiden UMNO sendiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah melibatkan ratusan juta ringgit. Zahid telah diperintah membela diri terhadap tuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi dan keputusan kesnya dijangka diketahui awal Disember depan.

    Kemuncak daripada penyelewengan dilakukan pemimpin UMNO dan BN, pemimpin idola mereka sendiri Datuk Seri Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun, selain didenda RM210 juta, setelah didapati bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd.

    Mengulas lanjut, Hussamuddin berharap rakyat menggunakan sepenuhnya kuasa sebagai pengundi dalam PRU-15 nanti untuk memilih calon yang bersih dan berintegriti.

    Menurutnya, pendekatan terbaik dalam membuat pemilihan adalah dengan memilih calon dan bukannya parti.

    Katanya pemilihan calon yang tepat amat penting kerana lazimnya orang yang dipilih sebagai ahli Parlimen dan menjadi menteri lebih berkuasa dalam parti masing-masing.

    “Rakyat harus gunakan kuasa untuk memilih calon yang betul untuk transformasikan kerajaan dan sistem politik. Ini peluang terbaik memilih pemimpin negara yang seterusnya akan melahirkan ramai pemimpin baharu untuk generasi masa depan,” katanya.

    Hussamuddin bagaimanapun bimbang jika ramai yang tidak keluar mengundi, calon yang rekodnya tercemar akan menang seterusnya menyebabkan ‘kerosakan’ yang dilakukan dalam tempoh lima tahun memimpin itu tidak lagi boleh diperbaiki.

  • PRU-15: PKR akan calonkan Wan Azizah di Bandar Tun Razak

    PRU-15: PKR akan calonkan Wan Azizah di Bandar Tun Razak

    PKR dilaporkan bakal menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengumuman mengenai pencalonan bekas timbalan perdana menteri itu di kerusi tersebut dijangka dibuat pada Jumaat ini, lapor Malaysiakini.

    PKR memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 menerusi Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum diganti oleh Datuk Kamaruddin Jaffar pada 2018.

    Pada 2018, Kamaruddin memenangi memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti hampir 20,000 namun meninggalkan parti tersebut bersama kumpulan yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    “PKR sudah memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 tapi dua ahli Parlimen terdahulu akhirnya meninggalkan parti.

    “Kami mengakui keyakinan pengundi kepada PKR (di kawasan berkenaan) tidak begitu stabil, justeru kami perlu meletakkan seorang pemimpin utama untuk mempertahankannya,” lapor Malaysiakini yang memetik sumber.

    Wan Azizah yang juga bekas Presiden PKR sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Pandan dan Permatang Pauh.

    Beliau meninggalkan Parlimen Pandan bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli bertanding di kerusi tersebut.

  • Debat tiga calon PM: Ismail Sabri tolak cadangan Anwar

    Debat tiga calon PM: Ismail Sabri tolak cadangan Anwar

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berdebat secara terbuka, sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Perdana menteri sementara itu berkata, debat bukan “bukan budaya kita” dan perbahasan disarankan tidak akan mendatangkan sebarang hasil.

    “Bukan budaya kita, dia tak datang apa-apa hasil. Kalau bagi debat, dia akan sebut janji dia bulan bintang akan sebut, jadi tak perlu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini lapor Free Malaysia Today.

    Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya cadangan Anwar supaya tiga calon perdana menteri PH, PN, dan BN untuk mengadakan debat secara terbuka.

    Pada 20 Okt, Anwar berkata, perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar, perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan dan menerusi langkah itu rakyat boleh menilai tentang soal hala tuju dan masa depan negara.

    Anwar merupakan calon perdana menteri bagi PH, manakala Muhyiddin Yassin calon bagi jawatan itu bagi PN.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kerajaan dibentuk berdasarkan kepercayaan diberikan rakyat.

    “Saya rasa tak perlu ada debat, kita sibuk di kawasan kita, kawasan masing-masing berkempen,” katanya.

    Ismail Sabri ketika ditanya mengenai persediaan senarai calon BN untuk menghadapi PRU, berkata pimpinan tertinggi parti itu sudah mendapat pembentangan mengenai senarai calon dari setiausaha parti negeri.

    Bagaimanapun, pihaknya akan membuat saringan sekali lagi termasuk semakan di Mahkamah Syariah.

    “Kita akan buat saringan dengan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi.

    “Mungkin kali ini pejabat agama, pejabat kadi (kalau ada) kahwin siam, timbul isu nanti. (Ia termasuk) isu nafkah anak tak bayar, (atau) ada pertuduhan dari Mahkamah Syariah,” katanya.

  • Riwayat politik Anwar akan berakhir di Tambun

    Riwayat politik Anwar akan berakhir di Tambun

    TINDAKAN berani Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal mengundang padah.

    Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana pengundi di Perak mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan riwayat politik cikgu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

    “Malah, ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim, biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar Ibrahim hilang pengaruh di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Shamsul Anuar menegaskan, untuk mengalahkan Presiden PKR itu juga bermakna, BN perlu bekerja keras memberi penjelasan mengapa perlu Anwar dikalahkan di situ.

    Namun beliau yakin pertembungan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon BN dan kehadiran Anwar sebagai calon akan meningkatkan motivasi serta semangat jentera BN Tambun dan BN Perak untuk bekerja dengan lebih kuat lagi.

    Sehubungan itu beliau berharap pengundi di Tambun sedar bahawa kepimpinan PH termasuk Anwar sering bertukar kawasan bertanding setiap kali PRU kerana ketika menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

    “Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar Ibrahim dari Port Dickson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah. Terbaik pilihan ialah BN.

    “Kita mesti menjadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya.

  • Bersatu sokong MB Pas jika PN tawan Perlis

    Bersatu sokong MB Pas jika PN tawan Perlis

    BERSATU Perlis akan menyokong pentadbiran yang dipimpin PAS dan calon menteri besarnya sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah.

    Abu Bakar berkata PAS telah lebih lama bertapak di Perlis berbanding Bersatu yang merupakan parti politik baharu di negeri itu dan pastinya PAS mempunyai pengalaman luas untuk mengurus tadbir kerajaan negeri nanti.

    “Kita (Bersatu Perlis) anggap PAS sebagai ‘abang’ dan sedia memberi sokongan jika Menteri Besar Perlis nanti dilantik daripada wakil rakyat PAS,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan bahawa calon menteri besar akan dilantik daripada PAS jika PN berjaya menawan Perlis.

    Perlis mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen.

    Abu Bakar berkata beliau tidak melihat perkara itu merugikan Bersatu kerana misi utama parti menerusi gabungan PN adalah untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).

    “Misi utama kita adalah membangunkan Perlis dan membawa perubahan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

    Abu Bakar, yang disebut-disebut akan bertanding di kerusi DUN Kuala Perlis, berkata hasil perbincangan dengan PAS sebelum ini secara dasarnya Bersatu akan bertanding di enam kerusi DUN, manakala PAS di sembilan kerusi DUN.

    Untuk Parlimen, Bersatu hanya akan meletakkan calon di satu kerusi Parlimen iaitu Kangar manakala dua lagi adalah PAS.

    Abu Bakar berkata PN akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding dalam masa terdekat.- BERNAMA

  • Shamsul Iskandar mungkin calon PH di Bagan Datuk, bukan Tawfik Ismail

    Shamsul Iskandar mungkin calon PH di Bagan Datuk, bukan Tawfik Ismail

    HASRAT pengasas bersama kumpulan reformasi politik, Gerak Independent Tawfik Ismail untuk menjadi calon PH di Bagan Datuk, kerusi yang disandang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin tidak akan diterima, menurut Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.

    “Memandangkan permohonan Tawfik boleh dikira di saat akhir, agak sukar untuk ia diterima sekarang.

    “Buat masa sekarang, PKR mungkin akan meletakkan Shamsul Iskandar Mohd Akin di Bagan Datuk,” kata Chang kepada Malaysiakini.

    Shamsul Iskandar adalah penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya. Dia menang di situ selepas menewaskan bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam dengan perbezaan 8,640 undi pada PRU 2018.

    Menurut Chang, dia setakat ini belum melihat Tawfik membuat sebarang permohonan rasmi berkenaan hasratnya itu.

    “Saya tak tahu jika Tawfiq ada buat permohonan itu kepada mana-mana pemimpin dalam PKR, tapi saya boleh beritahu yang kepimpinan pusat tidak pernah membincangkannya,” katanya.

    Chang merupakan antara pemimpin PKR yang terlibat dalam rundingan kerusi dalam PH.

    Tawfik ketika dihubungi pula berkata, dia telah membuat permohonan itu kepada beberapa pemimpin PH.

    “Setakat ini, Lim Kit Siang beri respons positif dan Presiden PKR Anwar Ibrahim juga sudah terima tetapi setakat ini dia belum beri respons.

    “Kami akan tunggu untuk Anwar dan Amanah beri respons. Anwar adalah pemimpin yang tandatangan watikah pencalonan,” kata anak sulung timbalan perdana menteri kedua Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman itu.

    Menurut Tawfik, jika PH tidak menerima permohonannya, dia akan bertanding sebagai calon bebas dalam PRU15.

    Dia pernah menjadi ahli parlimen Sungai Benut sebelum meninggalkan Umno pada 1987.

    Ketika menyatakan hasrat itu pada 23 Oktober lalu, Tawfik berkata ia bagi mengelakkan perpecahan undi antara dia dan calon gabungan itu.

    “Untuk mengelakkan undi berpecah dalam mengejar matlamat yang sama, saya menawarkan pencalonan saya kepada PH sebagai calon di bawah logo mereka,” katanya.

    Awal tahun ini, GI mengumumkan barisan calon PRU15 bagi kerusi parlimen Subang, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Kota Kinabalu dan Batu.

    Kesemua kerusi berkenaan dimenangi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018.

    Empat daripada kerusi itu dimenangi oleh PKR, manakala dua kerusi lagi dimenangi DAP. P Prabakaran, yang menang di Batu atas tiket Bebas pada PRU lalu, telah menyertai PKR.

  • Hasni tak tolak kemungkinan bertanding di luar kawasan PRU-15

    Hasni tak tolak kemungkinan bertanding di luar kawasan PRU-15

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak menolak kemungkinan namanya berada dalam pertimbangan pucuk pimpinan UMNO untuk bertanding di luar kawasan keahliannya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Tanpa mendedahkan kerusi Parlimen yang akan ditandingi, Ketua UMNO Pontian itu berkata, tindakan meletakkan calon luar bukanlah untuk kepentingan individu sebaliknya demi kemenangan parti selain untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

    “Saya tidak menolak kemungkinan bahawa saya dalam pertimbangan pucuk pimpinan untuk disenaraikan bertanding bagi kawasan lain selain Parlimen saya menjadi anggota iaitu Pontian… saya sendiri jika diberi peluang dapat bertanding sudah dikira bagus, itu yang penting, kerusi mana tidak kisah.

    “Tindakan ini juga untuk mengetengahkan potensi serta masa depan politik dalam kita menyusun strategi untuk menawan sekurang-kurangnya 16 hingga 17 kerusi Parlimen (daripada keseluruhan 26 kerusi) pada PRU15,” katanya lapor Free Malaysia Today, hari ini.

    Hasni, yang juga ADUN Benut, juga tidak menolak tindakan meletakkan calon luar bakal menimbulkan reaksi dalam kalangan ahli UMNO setempat, namun yakin ia akan dapat diuruskan dengan bijak.

    Sementara itu, beliau berkata BN mempunyai calon yang terbaik untuk ditampilkan di Parlimen Pagoh yang disandang pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang juga presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU-15 pada 19 Nov ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.