Tag: PRU-15

  • Pertembungan 10 penjuru di Parlimen Batu, tertinggi bagi PRU-15

    Pertembungan 10 penjuru di Parlimen Batu, tertinggi bagi PRU-15

    PERTEMBUNGAN merebut 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan-Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, menyaksikan masing-masing berhadapan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru, dengan Parlimen Batu merekodkan 10 penjuru, yang tertinggi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Parlimen Batu yang mempunyai 113,863 pengundi berdaftar itu, melibatkan penyandang P. Prabakaran daripada Pakatan Harapan (PH-PKR), A Kohilan Pillay mewakili Barisan Nasional (BN-MIC), Azhar Yahya daripada Perikatan Nasional (PN-PAS), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan), Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia).

    Turut menyertai persaingan di kerusi Batu itu ialah empat calon Bebas iaitu Chua Tian Chang @ Tian Chua, Siti Zabedah Kasim, Nur Fathiah Syazwana Shaharudin @ Cleo dan Too Cheng Huat.

    Tian Chua yang juga ahli PKR, membuat kemunculan semula selepas beliau tidak dapat bertanding pada PRU14 akibat didenda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan mengeluarkan perkataan kesat, yang boleh mengaibkan seorang pegawai polis, pada 2014.

    Kerusi Parlimen Titiwangsa menyaksikan dua bekas menteri Kabinet bertarung iaitu bekas Menteri Kewangan Kedua yang juga Ketua UMNO Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mewakili BN, manakala bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad menjadi calon PH selepas tiga penggal bertanding di Parlimen Shah Alam.

    Turut bertanding di kerusi berkenaan ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Rosni Adam dari PN manakala Pejuang mempertaruhkan Pengerusi Pejuang Badan Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

    Parlimen Bandar Tun Razak yang mempunyai 119,185 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili PH-PKR, penyandang kerusi yang juga Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar (PN-Bersatu) dan Ketua MCA Tun Razak Datuk Chew Yin Keen (BN).

    Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Penasihat PKR tercicir kad pengenalan, ketika berarak ke pusat penamaan calon di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini, sebelum berjaya ditemukan seorang penyokongnya.

    Penyandang kerusi Lembah Pantai yang juga Ketua Penerangan PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang mewakili PH, berdepan bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Ramlan Shahean @ Askolani yang mewakili BN-UMNO, selain calon Pejuang-Putra Noor Asmah Mohd Razali, dan Fauzi Abu Bakar (PN-PAS).

    Semua 11 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 1,151,407 pemilih berdaftar.

    Parlimen Putrajaya pula menyaksikan pertembungan enam penjuru antara BN, PN, PH, Pejuang dan dua calon bebas, kali pertama sejak kerusi itu dipertandingkan pada 2004, untuk penyadangnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-UMNO) mempertahankan kerusi itu.

    Saingan di kerusi itu turut melibatkan Menteri Kanan Pendidikan yang juga Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin (PN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli yang menggunakan logo Pejuang, serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

    Parlimen Putrajaya merupakan kawasan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang mempunyai pengundi berdaftar berjumlah 42,881 orang.

    Parlimen Labuan yang mempunyai 44,484 pengundi berdaftar terlibat dalam pertandingan enam penjuru termasuk penyandang kerusi iaitu Ketua Bahagian Parti Warisan Labuan Datuk Rozman Isli.

    Beliau akan ditentang calon BN Datuk Bashir Alias yang juga Ketua UMNO Labuan, calon PN Datuk Suhaili Abdul Rahman yang merupakan Ketua Bersatu Labuan, Datuk Dr Ramli Tahir (PH-Amanah), Dayang Rusimah @ Raynie Datuk Mohd Din Parti Bangsa Malaysia (PBM)  serta Datuk Seri Ramle Mat Daly (Pejuang-Putra).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari mengundi dengan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • Jadikan Arau tapak perpaduan ummah – Shahidan

    Jadikan Arau tapak perpaduan ummah – Shahidan

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, mengajak pengundi Perlis menolak kehadiran calon luar yang dihantar bertanding di negeri itu.

    Penyandang kerusi Parlimen Arau selama empat penggal itu bermula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986, 1990, 2013 dan 2018, berpendapat pengundi Arau di kawasan yang ditandinginya, wajar menerima wakil rakyat dari kawasan itu.

    “Saya lihat bukan sahaja Arau tetapi juga Padang Besar. Calon ditampilkan (Barisan Nasional) adalah dari luar Perlis dan persoalannya apakah percaturan ini berkesan kepada mereka.

    “Di Arau ini, ramai calon dan pemimpin tempatan berwibawa, maka eloklah dipilih calon orang tempatan daripada calon luar yang kita tahu hanya datang dan pergi dan muncul bila nak undi.

    “Malah, calon luar ini kalau mereka hebat, maka mereka bertanding di tempat asal sendiri berbanding di sini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, di sini hari ini.

    Shahidan berkata, berdasarkan kerja keras selama ini, beliau yakin PN mampu menang di Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis pada PRU15 ini.

    “Apa yang penting, saya sekarang sudah berada bersama parti baru yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air kerana di bawah PN ini, kita gerakkan perpaduan ummah di mana orang UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh duduk bawah satu bumbung.

    “Malah, saya harap orang UMNO, Pas dan Bersatu boleh sokong saya untuk jadikan Arau sebagai permulaan kepada perpaduan ummah ini berjaya dilaksanakan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Dalam PRU kali ini, Shahidan yang akan mempertahankan kerusi itu tetapi di bawah lambang PN, akan ditentang bekas anak didiknya yang dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rozabil Abd Rahman dan calon muda Pakatan Harapan (PH) Fathin Amelina Fazlie.

    Pada PRU14 lalu, Shahidan yang bertanding di bawah BN, memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,856 undi.

  • PRU-15: 1,386 calon bertanding, 945 di kerusi Parlimen

    PRU-15: 1,386 calon bertanding, 945 di kerusi Parlimen

    SERAMAI 945 calon bakal bertanding di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berbanding seramai 687 calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    Memetik laporan Berita Harian, mengikut ‘dashboard’ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat pukul 5 petang tadi, Pakatan Harapan (PH) bakal meletakkan calon teramai iaitu sebanyak 206 permohonan yang diterima.

    Ia diikuti dengan Barisan Nasional (BN) dengan 178 calon; Perikatan Nasional (PN) (149) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bakal mempertandingkan 116 calon.

    Parti Warisan Sabah (WARISAN) bakal meletakkan 52 calon manakala seramai 31 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) akal bertanding kali ini.

    Turut tersenarai adalah 22 calon Pas yang bertanding di Kelantan dan Terengganu serta 13 calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula meletakkan enam calon iaitu dua di Johor dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Sabah.

    Pada masa sama, seramai 108 calon Bebas bakal bertanding kali ini berbanding hanya 24 pada PRU14, dengan bilangan teramai adalah di Selangor dengan 24 calon, diikuti 20 calon Bebas yang layak bertanding di Sabah.

    Selangor bakal menyaksikan calon paling ramai bertanding dalam PRU15 iaitu seramai 124 calon diikuti Sabah dengan 119 calon dan 100 calon di Perak layak berentap di 71 kawasan Parlimen di ketiga-tiga negeri terbabit.

    Sementara itu, seramai 441 calon layak bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri dan DUN Bugaya, Sabah pada PRU15.

    DUN Perak menyaksikan bilangan calon teramai dengan 220 diikuti Pahang dengan 150 calon layak bertanding.

    Daripada jumlah itu, seramai 117 calon BN layak bertanding, diikuti masing-masing 116 calon PH dan PN.

    Seramai 24 calon bebas bakal bertanding pada PRU15 dengan Perak mencatatkan bilangan calon Bebas tertinggi membabitkan 13 individu. Ia diikuti enam di Pahang (empat) dan seorang di Perlis.

    Pada Sidang Media SPR petang tadi, pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata enam kertas pencalonan ditolak pada penamaan calon hari ini.

    Kertas pencalonan ditolak membabitkan empat kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

    Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan kerusi Parlimen dan DUN mana yang menolak kertas pencalonan berkenaan.

    “Tiada kerusi yang menang tanpa bertanding pada penamaan calon PRU15 hari ini,” katanya.

    Sebanyak 222 pusat penamaan calon dibuka dari pukul 9 hingga 10 pagi tadi.

    Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan merekodkan jumlah pertandingan tertinggi dengan iaitu sebanyak 10 penjuru manakala DUN Chenderiang di Perak membabitkan tujuh penjuru.

    “Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya juga membabitkan pertandingan tujuh penjuru.

    Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus hingga pukul 11.59 malam 18 November.

  • ‘Saya masih calon PM untuk BN’ – Ismail Sabri

    ‘Saya masih calon PM untuk BN’ – Ismail Sabri

    “Saya masih lagi ‘poster boy’ dan calon perdana menteri Barisan Nasional (BN) selepas PRU15 (pilihan raya umum ke-15),” kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perdana menteri sementara itu berkata, pemilihan beliau sebagai calon jawatan utama pentadbiran kerajaan itu diputuskan secara jelas dalam Persidangan Agung UMNO 2021 serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO April lepas.

    “Setakat ini, tidak ada keputusan daripada MKT Umno mengatakan sebaliknya (tukar calon perdana menteri) dan baru-baru ini lebih 156 daripada 191 bahagian UMNO membuat usul mencadangkan saya sebagai calon perdana menteri.

    “Perkara itu (calon perdana menteri) tidak ‘reversed’ dan tak ada mesyuarat (dalam parti) yang memutuskan sebaliknya (tukar calon perdana menteri), maka apa yang diputuskan sebelum ini kekal,” katanya selepas hadir di pusat penamaan calon bagi Parlimen Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO itu turut menafikan wujud surat akuan bersumpah bagi memilih calon perdana menteri selain beliau selepas pilihan raya, yang didakwa perlu ditandatangani setiap calon Umno seperti yang tular di media sosial beberapa hari lepas.

    Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, surat yang ditandatangani calon pada pilihan raya kali ini untuk memastikan tiada yang bertindak melompat parti selaras Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang berkuat kuasa 5 Okt lepas.

    “Kalau dulu, surat itu seperti surat peletakan jawatan kita sebagai ahli Dewan Rakyat atau ADUN, kalau kita melompat parti lain. Itu dulu, tapi sekarang sejak ada akta anti-lompat parti, kita punya SD (surat akuan bersumpah) berdasarkan akta itu,” katanya.

    Mengenai spekulasi wujud kerjasama atau pakatan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan selepas PRU15, Ismail secara ringkas berkata:

    “Saya tak pasti…kita tak dengarlah perkara itu…spekulasi (timbul) macam-macam” katanya lapor Free Malaysia Today.

  • Guna media sosial tarik pengundi muda Tambun – Peja

    Guna media sosial tarik pengundi muda Tambun – Peja

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menggunakan media sosial sebaik mungkin bagi menarik pengundi muda menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 Nov ini.

    “Kita akan kempen pastikan pengundi muda menggunakan hak mereka untuk lebih bertanggungjawab dan keluar mengundi…itu penting.

    “Namun, pada masa sama, mereka juga kumpulan yang sangat penting dalam menentukan (hala tuju negara), jadi tentunya media sosial amat penting untuk kami dekati golongan muda,” katanya selepas proses penamaan calon Parlimen Tambun di Dewan Seri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh.

    Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), PN, Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

    Mengenai pertembungan nama besar di Parlimen Tambun kali ini, termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Faizal yakin pengundi lebih selesa memilih calon tempatan.

    “Calon tempatan lebih dikenali, nama besar juga dikenali, tapi saya yakin rakyat dan pengundi Tambun lebih mendambakan calon (tempatan) yang lebih dikenali kerana mereka nak mengadu permasalahan dan sebagainya.

    “Masing-masing ada peluang adil, terpulang kepada kami untuk menjalankan kempen dan kami harap dapat jalankan kempen dengan baik dan penuh berhemah,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pada PRU14, Faizal memenangi kerusi Tambun dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan calon Pas, Ibrahim Zakaria.

  • PDRM sahkan insiden kekecohan di pusat penamaan calon di Tenom

    PDRM sahkan insiden kekecohan di pusat penamaan calon di Tenom

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku insiden kekecohan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan DSP Antanom, Tenom di Sabah.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau sedang menunggu laporan terperinci daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, berhubung perkara berkenaan.

    “Betul saya sedang tunggu laporan daripada PJP (Pesuruhjaya Polis) Sabah,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Terdahulu tular di media sosial sebuah kejadian rusuhan berlaku di Dewan DSP Antanom, Parlimen Tenom.

    Kejadian difahamkan berlaku ekoran penyokong Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) berang apabila borang pencalonan Datuk Peter Anthony dari parti itu, ditolak Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) yang bertugas.

    FMT melaporkan, difahamkan, pencalonan Peter ditolak pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana beliau pernah didapati bersalah oleh mahkamah.

    Keadaan itu menyebabkan penyokongnya cuba memasuki pusat pencalonan.

    Mei lalu, Peter dijatuhkan hukuman penjara dan denda RM50,000, tetapi beliau masih merayu sabitan itu.

  • Dominasi BN di Putrajaya sejak empat PRU mampu ditamatkan – Radzi

    Dominasi BN di Putrajaya sejak empat PRU mampu ditamatkan – Radzi

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau percaya dominasi Barisan Nasional (BN) yang ‘beraja’ di kawasan itu sejak empat Pilihan Raya Umum (PRU) mampu ditamatkan.

    Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu menjelaskan, ia mampu dicapai dengan strategi, sokongan dan kerja keras seluruh pendokong Perikatan Nasional.

    “Alhamdulillah, saya secara rasmi disahkan sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi P125 Putrajaya.

    “Saya, Dr. Radzi Jidin (DRJ) diumumkan sebagai calon nombor 5. Pastinya nombor 5 ini mempunyai signifikan tersendiri kepada saya.

    “InsyaAllah, dengan strategi, sokongan dan kerja keras seluruh pendokong PN, kita mampu menamatkan dominasi parti lawan yang ‘beraja’ di sini dalam 4 PRU lalu,” katanya di akaun Facebook beliau.

    Mengulas lanjut, Radzi turut merakamkan terima kasih kepada semua pendokong PN yang hadir memberikan sokongan.

    Ucapan terima kasih itu kata beliau juga kepada kepimpinan PN dan Bersatu yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk memikul amanah merampas kerusi Putrajaya yang cukup signifikan ini.

    “Proses pertama telah selesai. Sekarang masa untuk kita bekerja. Dampingi dan kenalilah setiap warga Putrajaya. Jelaskan kepada saudara, rakan-rakan kita di sini mengapa mereka perlu memilih Perikatan Nasional.

    “Dengan gerak kerja yang tersusun, saya penuh yakin kita mampu mencipta #EraBaharuPutrajaya pada malam 19 November ini, insyaAllah.

    “Kepada saudara, rakan-rakan pengundi Putrajaya, saya dengan rendah diri memohon diberikan peluang mengemudi Putrajaya untuk tempoh 5 tahun akan datang,” kata beliau.

    Sementara itu, Radzi turut meminta pengundi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi sebaiknya dan membuat pilihan dengan jiwa yang tenang dan penuh sedar.

    “InsyaAllah, kita mampu mengubahnya.Undilah PERIKATAN NASIONAL!,” tambahnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berdepan saingan sengit untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

    Buat kali pertama sejak kerusi itu dipertandingkan pada 2004, Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan dua calon bebas.

    Selepas proses penamaan calon di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9 tamat pada 10 pagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Putrajaya Shamshul Joehari Zainal Mokhtar mengumumkan enam calon layak bertanding, dengan semua borang pencalonan diterima tanpa sebarang bantahan.

    Enam calon itu adalah Tengku Adnan (BN-UMNO), Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Bersatu), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli yang menggunakan logo Pejuang, serta dua calon bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

    Pada pilihan raya sebelum ini, saingan Parlimen Putrajaya yang lazimnya melihat pertandingan satu lawan satu menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU14, dengan Tengku Adnan terus mengekalkan kerusi apabila menang dengan majoriti 3,372 undi.

    Parlimen Putrajaya, yang merupakan kawasan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, mempunyai pengundi berdaftar berjumlah 42,881 orang.

  • Banjir: Hamzah kecewa pengundi berdepan musibah musim PRU

    Banjir: Hamzah kecewa pengundi berdepan musibah musim PRU

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kecewa apabila pengundi terpaksa berdepan musibah banjir ketika musim pilihan raya.

    Menteri dalam negeri itu berkata, walaupun negara mempunyai 120,000 anggota polis namun kira-kira 80,000 terbabit dalam PRU.

    “Saya sedih kerana kita hanya ada 120,000 anggota polis. Nak guna untuk PRU saja hampir 80,000 jadi hanya tinggal 40,000 untuk jaga keselamatan seluruh negara.

    “Kalau banjir mungkin 20,000 untuk kita turunkan bantu rakyat di bawah sana jadi inilah sebabnya saya minta jangan kita lakukan PRU pada musim tengkujuh,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Hamzah bagaimanapun berkata, cadangan itu tidak diendahkan oleh parti lain yang bersama membentuk kerajaan persekutuan, malah dakwanya menteri daripada BN yang menyokong agar PRU tidak diadakan tahun ini turut tidak dicalonkan semula.

    “Kawan-kawan saya yang berada dalam Kabinet yang datangnya daripada BN ramai digugurkan kerana semata-mata bercakap benar bercakap demi kepentingan rakyat.

    “Hanya mereka yang berjuang demi kepentingan presiden mereka saja dikekalkan,” dakwanya.

    Antara yang digugurkan daripada senarai calon BN adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa; Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan koperasi.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata beliau akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh berkempen memandangkan beberapa kawasan kini dilanda banjir.

    “Kita hendak berkempen dibenarkan untuk satu-satu masa saja tapi kalau ianya berlaku begini mungkin susah kerana 2,3 pagi pun kita perlu turun bantu mangsa banjir dan ini akan kita bincang bersama SPR, perkara yang tak terfikir atau terpandang dengan lebih awal,” katanya.

    Seramai 274 mangsa banjir di sembilan kampung sekitar Taiping dan Batu Kurau terpaksa dipindahkan susulan banjir kilat sejak malam Jumaat.

    Kesemua mereka ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Surau Kampung Tengaj, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah, Masjid Changkat Ibol, Masjid Batu 8 Bendang Siam dan Surau Kampung Perak.

  • ‘Pilihan ini…demi selamatkan negara’ – Muhyiddin

    ‘Pilihan ini…demi selamatkan negara’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau membuat pilihan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) demi untuk menyelamatkan negara dengan menawarkan gabungan itu sebagai pilihan terbaik buat rakyat.

    Berikut kenyataan penuh Tan Sri Muhyiddin yang disiarkan dalam akaun rasmi Facebook beliau:

    PILIHAN PAGOH DAN PERJUANGAN SAYA

    Hari ini saya menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding dalam PRU 15 bagi mewakili kawasan Parlimen P143 Pagoh, iaitu kali kesebelas saya masuk ke gelanggang pilihan raya di sini semenjak 1978.

    Pagoh dan masyarakatnya ada tempat istimewa di hati saya. Dalam sejarah politik saya selama lebih 40 tahun, saya tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.

    Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh, dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya di setiap kali pilihan raya. Terima kasih.

    Dalam PRU 14 yang lalu, ada penyokong saya menasihatkan supaya saya berpindah ke kawasan lain. Kononnya Pagoh tak selamat untuk saya. Tetapi saya katakan tidak. Biarlah apapun yang terjadi, saya dan Pagoh berpisah tiada.

    Saya telah mencapai kemuncak dalam kerjaya politik saya apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020. Apabila saya meletak jawatan pada 21 Ogos 2022 saya mempunyai pilihan untuk bersara daripada politik.

    Itu adalah pilihan yang paling baik untuk diri saya dan keluarga saya. Orang kata “I’ve been there, done that”.

    “Perjuangan dan Amanah”

    Dua perkara inilah yang membuatkan saya terus gagahi segala kudrat ini demi rakyat yang saya sayangi. Saya masih memikul amanah sebagai pemimpin sebuah wadah politik yang saya asaskan iaitu BERSATU dan Perikatan Nasional. Wadah politik ini mempunyai prinsip perjuangan yang murni.

    Kerana itulah, walaupun saya telah bersara daripada jawatan Perdana Menteri, saya tidak boleh bersara daripada perjuangan. Saya akan dilihat tidak bertanggungjawab jika saya lari dari medan perjuangan semata-mata kerana saya tidak lagi berjawatan.

    Sukar. Memang sukar bagi diri saya untuk meneruskan perjuangan dalam keadaan ini. Banyak halangan dan cabaran yang terpaksa saya hadapi dalam memimpin sebuah gabungan parti politik besar yang membawa citra dan harapan murni rakyat malaysia, lebih-lebih lagi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

    Tetapi biasalah, itu adat orang berjuang.

    Insya-Allah, ini gelanggang PRU yang terakhir dalam perjalanan politik saya yang saya sertai kerana suatu tekad perjuangan.

    Saya memilih untuk memimpin PN dalam PRU ini kerana saya tidak rela negara ini jatuh ke tangan puak kleptokrat. Saya juga tidak mahu negara ini diperintah sekali lagi oleh sebuah pakatan politik yang gagal menunaikan janji kepada rakyat serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita.

    Perikatan Nasional yang saya pimpin menawarkan sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil untuk semua rakyat.

    Prihatin dengan ertikata sentiasa mempunyai rasa belas ihsan kepada rakyat serta tidak lokek membantu mereka ketika susah.

    Bersih dengan ertikata bebas daripada segala amalan rasuah dan penyelewengan.

    Stabil dengan memastikan kehidupan rakyat sentiasa aman, selamat dan harmoni serta mengelakkan daripada terjadinya perkara-perkara yang menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
    Ikhlas saya katakan, tiada apa yang saya nak kejarkan dengan jawatan Perdana Menteri itu. Jawatan tidak penting bagi saya.

    Kata orang kun fa yakun. Kalau jadi, maka jadilah. Kalau tak jadi pun, tak mengapa.

    Yang lebih penting ialah saya buat pilihan ini demi untuk menyelamatkan negara. Menawarkan Perikatan Nasional sebagai pilihan yang terbaik untuk anda semua.

    We are offering PN as the best option for all Malaysians.

    Anda juga berhak untuk membuat pilihan yang terbaik bagi diri, keluarga dan negara.

    Laksanakanlah tanggungjawab anda sebagai pengundi dan buatlah pilihan dengan jiwa yang sedar.

    Perikatan Nasional, Penyelamat Negara.

  • Digugurkan UMNO: Dua penyandang di Perlis tanding Bebas, PN

    Digugurkan UMNO: Dua penyandang di Perlis tanding Bebas, PN

    DUA penyandang kerusi Parlimen di Perlis, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin yang digugurkan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), akan mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket lain.

    Di Arau, Shahidan Kassim akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan akan ditentang oleh calon BN, Datuk Rozabil Abd Rahman, calon Pejuang, Abdul Razak Abdul Khalek dan calon PH, Fathin Amelina Fazlie lapor Malaysiakini.

    Shahidan, 71 menjadi wakil rakyat di Parlimen itu selama empat penggal sejak PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 dan ini kali kelima, bekas menteri besar itu akan mempertahankan kerusi berkenaan.

    Di Padang Besar, Zahidi akan ditentang empat calon lain termasuk Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Muhammad Saad @ Yahya (PH); Rusydan Rusmi (PN) dan Ko Chu Liang mewakili parti Warisan.

    Ketua UMNO bahagian Padang Besar itu akan turut bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, juga atas tiket Bebas.